ARKIB : 06/11/1998
PELATIH penjaga gol negara,
Aidil Adnan Ahmad sugul mengenangkan namanya yang tidak tersenarai ke Mesir
dalam ujian pemilihan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, semalam.
NASIB empat pemain yang tidak
kesampaian menyertai barisan pemenang pingat perak hoki Sukan Komanwel XVI
lalu, berubah apabila tersenarai dalam skuad negara ke Mesir untuk siri ujian
persediaan Sukan Asia XIII, Bangkok, bulan depan.
K. Gobinathan mengetuai mereka
yang berjaya memikat jawatankuasa pemilihan Persekutuan Hoki Malaysia (PHM)
semalam bersama-sama Madzli Ikmar, Azlin Fairuz, Syayrim Uda Karim.
Pemilihan tersebut turut
menyaksikan kembalinya Lailin Abu Hassan yang menarik diri daripada Sukan
Komanwel kerana menjalani pemulihan kecederaan belakang badannya di samping
kemunculan muka baru, Razak Saidin.
Lailin bagaimanapun tidak
diiringi rakan sepasukan ketika Piala Dunia di Utrecht, Mei lalu - Aphthar
Singh yang digugurkan daripada skuad 18 pemain untuk menghadapi siri ujian lima
perlawanan di Kaherah pada 13-22 November ini.
''Apa boleh buat. Mungkin pada
pandangan jurulatih, saya belum cukup bagus untuk turut dipilih. Apa pun,
selagi belum ke Bangkok, saya fikir peluang mewakili negara masih ada,'' kata
Aphthar yang agak sugul.
Lima lagi pelatih negara yang
digugurkan semalam ialah dua penjaga gol, Izwan Suhardi Selamat dan Aidil Adnan
Ahmad di samping Saiful Azli, Nizam Nordin serta Badrul Hisham Osman.
Sementara tempat kesemua pemain
yang merangkul perak Sukan Komanwel ke Mesir terjamin penuh setelah
jawatankuasa sekali lagi menaruh kepercayaan kepada mereka.
Dua belas pemain skuad ini
turut terpilih termasuk K. Keevan Raj yang baru-baru ini menghadapi kesulitan
pertembungan tarikh peperiksaan di sebuah kolej swasta.
Suhaimi Ibrahim dan Maninderjit
Singh tetap disenaraikan sekalipun kedua-duanya kelmarin mengalami kecederaan
kecil di paha kiri dan kaki kanan masing-masing pada sesi latihan.
Timbalan Presiden PHM, Datuk
Seri P. Alagendra berkata, pemilihan 18 pemain tersebut tidak bermakna ia suatu
pengesahan barisan negara ke Sukan Asia, 6-20 Disember nanti.
''Sesiapa pun boleh digugurkan
daripada 18 yang tersenarai ini. Tempat mereka belum dapat dijamin lagi.
''Namun mereka yang tidak ke
Mesir akan terus menjalani latihan di bawah bimbingan penolong jurulatih, Colin
Sta Maria,'' tambah Alagendra di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, semalam.
Penjaring gol emas Sukan
Komanwel, Mirnawan Nawawi sekali lagi diamanahkan sebagai ketua pasukan negara
untuk siri ujian pada 15, 16, 18, 19 dan 21 November itu.
Oleh: ABDUL HAFIZ AHMAD
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1106&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4PDVlmvA0
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan