ARKIB : 20/04/2000
Jaringan Nor Azlan bantu remaja
mara
PEMAIN Pulau Pinang, Mohd. Asri
Mat Sani (kiri) cuba menyekat pemain Melaka, Nor Azmi Abu Samah pada perlawanan
kumpulan B hoki Piala Razak di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Kuala
Lumpur, semalam. Pulau Pinang menang 1-0. - Gambar ASWAD YAHYA
JARINGAN Nor Azlan Rahim pada
minit ke-31 memastikan Pasukan Remaja Kebangsaan (PRK) mara ke separuh akhir
selepas seri 1-1 dengan Perak dalam perlawanan kumpulan A hoki Piala Razak di
Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, semalam.
Skuad remaja yang mempamer aksi
kurang bertenaga dikejutkan dengan jaringan awal oleh penyerang Perak, Azlan
Misron pada minit ke-21.
Azlan yang tidak dikawal kemas
bijak melorongkan bola untuk menewaskan penjaga gol, Saiful Azhar dan
menyaksikan skuad remaja terpaksa berhempas pulas mencari gol penyamaan.
Sebaliknya, Perak yang kecundang
0-1 kepada Selangor kelmarin, cuba menggandakan asakan, namun kelalaian barisan
pertahanan membuka ruang buat Nor Azlan melakukan jaringan.
Nor Azlan yang menerima
hantaran silang, mudah menolak masuk bola pada minit ke-31 untuk menewaskan
penjaga gol Perak, Khairil Anwar Rozlan dan memastikan pasukan itu ke separuh
akhir.
Skuad remaja kini mengumpul
tujuh mata daripada tiga perlawanan, di belakang Kuala Lumpur yang mengumpul
sembilan mata penuh selepas menyelesaikan tiga pertemuan.
Mereka sebelum ini mengalahkan
Selangor 5-1, diikuti kemenangan lima gol tanpa balas ke atas Pahang.
Kuala Lumpur yang membariskan
pemain dan bekas pemain kebangsaan muncul pasukan pertama ke separuh akhir
kelmarin selepas memenangi kesemua tiga perlawanan awal mereka.
Skuad ibu kota itu sebelum ini
membelasah Selangor 10-3, mengatasi Perak 8-3, mengetepikan Pahang 6-1 dan akan
turun menentang pasukan Remaja Kebangsaan hari ini.
Pertemuan antara skuad senior
yang mewakili Kuala Lumpur dan pasukan junior ini dijangka menarik bagi menguji
sejauh mana keupayaan sebenar anak buah Yahya Atan menjelang hoki Piala Remaja
Asia, yang akan berlangsung bulan depan.
Skuad remaja sebelum ini sering
dikecewakan olah barisan senior dalam beberapa perlawanan persahabatan yang
diadakan.
Sementara itu, dalam perlawanan
kumpulan B, Pulau Pinang menamatkan cabaran peringkat kumpulan dengan
kemenangan tipis 1-0 ke atas Melaka.
Keputusan itu sekali gus
membuka ruang buat dua pasukan di tangga teratas kumpulan yang tidak beraksi
semalam iaitu Johor dan Tentera untuk mara ke separuh akhir.
Jaringan tunggal Pulau Pinang
dirembat masuk oleh Shaikh Muhammad Salim pada minit ke-10 yang menyekat impian
lawannya itu untuk mara ke separuh akhir.
Melaka kini mengumpul tiga mata
di tangga keempat selepas mengharungi tiga perlawanan dengan berbaki satu
perlawanan menentang Tentera, hari ini.
Johor di tangga teratas
kumpulan B dengan tujuh mata hasil kemenangan ke atas Pulau Pinang 2-0,
membelasah Melaka 8-0 dan seri 2-2 dengan pasukan Tentera.
Tentera juga mengutip tujuh
mata selepas mengalahkan Terengganu 6-2, mengalahkan Pulau Pinang 2-0 dan seri
2-2 dengan Johor.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0420&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4THe36WJK
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan