ARKIB : 25/09/2003
SKUAD negara hanya mampu mencipta
kemenangan 2-1 ke atas pasukan lemah, Hong Kong pada perlawanan Kumpulan A
kejohanan hoki Piala Asia di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil semalam ketika
dua musuh tradisi, Pakistan dan India bertemu dalam perlawanan sengit untuk
merebut juara Kumpulan B.
Kemenangan tipis itu tidak
memberi sebarang makna kecuali mengesahkan tempat selaku pasukan di tangga
ketiga kumpulan di belakang Korea Selatan dan Jepun.
Malah, skuad negara
mempersembahkan permainan tidak bermaya untuk menerima kejutan awal apabila
Hong Kong menjaringkan gol sulung perlawanan menerusi Ali Asghar pada minit
ke-20.
Tertekan untuk menjaga maruah,
skuad negara mula mengatur rentak lebih kemas dan berjaya menyamakan kedudukan
melalui Tajol Roslie Mohamed, tetapi terpaksa menunggu sehingga minit ke-32.
Akur dengan peluang yang sudah
tertutup untuk ke separuh akhir, Malaysia hanya menambah satu lagi gol menerusi
pukulan penalti sudut ketua pasukan, S. Kuhan pada minit ke-59.
Jurulatih negara, Paul Lissek
bagaimanapun tetap berpuas hati dengan kemenangan tipis dalam perlawanan itu,
yang menurutnya digunakan untuk menguji taktik baru.
``Pertama, kami menang perlawanan
itu dan kedua, kami bermain secara taktikal,'' katanya.
Skuad negara akan bertemu pasukan
di tempat keempat Kumpulan B, Bangladesh, yang tumpas 8-0 kepada China, dalam
perlawanan klasifikasi tempat ke-5/8 esok.
China mendapat tujuh gol menerusi
Song Yi (minit ke-4, 13, 19, 36, 42, 56 dan 69) manakala Yu Haiao menambah satu
gol di minit ke-17.
Sementara itu, Korea Selatan
menundukkan Jepun 6-0 untuk muncul juara Kumpulan A dengan tujuh mata, satu di
depan Jepun.
Korea memperoleh gol-golnya
menerusi Seo Jong Ho (minit 1 dan 58), You Hyo Sik (11), Kim Kyung Seok (17 dan
44), Lee Jung Seon (27).
Namun, perlawanan tumpuan semalam
ialah pertemuan Pakistan-India. Pakistan kelihatan selesa pada 20 minit pertama
apabila mendahului 2-0 menerusi dua jaringan Kashif Jawad masing-masing pada
minit ke-11 dan 19.
Namun, Deepak Thakur yang
kemudiannya mendapatkan gol pertama minit 24 sebelum membantu jaringan gol
kedua.
Pakistan yang bermain lebih
tenang akhirnya kembali di depan apabila mendapat pukulan penalti sudut
pertamanya pada minit ke-60, yang disempurnakan oleh Wasim Ahmad.
Ketika perlawanan berbaki
seminit, Pakistan sekali lagi mendapat pukulan penalti sudut, dan kali ini
Sohail Abbas menolak kencang ke penjuru atas gawang untuk gol keempat untuk
mematikan saingan India, sekali gus meletakkan juara tiga kali itu selaku juara
Kumpulan B.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0925&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4da2IgAs2
© Utusan Melayu (M) Bh
Tiada ulasan:
Catat Ulasan