ARKIB : 19/01/2002
CHUA BOON HUAT (kanan) diserbu
oleh rakannya, Maninderjit Singh, dan Mohd. Madzli Ikmar Mohd. Nor (9) sebaik
sahaja menjaringkan gol kedua Malaysia ketika bertemu Jepun, di Bukit Jalil,
semalam. Malaysia menang 2-1. - Gambar GAIE UCHEL.
Oleh A. JAILANI ABDULLAH
DUA gol yang dijaringkan oleh
pemain pertahanan, Chua Boon Huat mengelakkan Malaysia daripada menanggung aib
ketika menewaskan Jepun 2-1 pada hari pertama hoki Jemputan Enam Negara di
Bukit Jalil, semalam.
Kedua-dua gol Malaysia
diperoleh menerusi kepakaran Chua menyempurnakan pukulan sudut penalti pada
minit ke-10 dan 62 sekali gus menyelamatkan maruah pasukan yang mempersembahkan
aksi menggelabah sepanjang perlawanan di Stadium Hoki Nasional itu.
Ini kemenangan kedua
berturut-turut pasukan negara ke atas Jepun dalam tempoh dua bulan. Kemenangan
pertama dengan 2-0 dicatatkan pada Cabaran Juara-Juara juga di Bukit Jalil
hujung tahun lepas.
Namun, kemenangan pertama itu
yang dicatatkan dalam bulan puasa, nyaris gagal diulangi apabila Malaysia hanya
mempersembahkan permainan tidak bertenaga.
Anak-anak buah Paul Lissek juga
jelas beraksi tanpa koordinasi dan kurang berkomunikasi di dalam padang.
Selepas Chua menjaringkan gol
pertama, barisan pertahanan negara pula yang terpaksa bekerja keras mengekang
asakkan Jepun.
Hanya nasib dan kecekapan
penjaga gol, Mohd. Nasihin Nubli Ibrahim menyelamatkan gawang negara daripada
dibolosi apabila Jepun membuat asakan bertubi-tubi sambil dianugerahkan empat
pukulan sudut penalti.
Jepun nyaris menyamakan
kedudukan menerusi serang balas pada minit ke-34 - setelah Malaysia diberikan
pukulan sudut penalti - tetapi pukulan Kenji Asai tersasar sedikit.
Namun, skuad negara Matahari
Terbit itu menemui sasaran tiga minit selepas rehat menerusi Takahiko Yamabori
setelah menerima hantaran lintang Naohiko Tobita yang mengutip bola hasil
tolakan Nasihin daripada pukulan sudut penalti.
Gol penyamaan Jepun
membangkitkan semangat skuad negara untuk menambah jaringan tetapi menyaksikan
percubaan ketua pasukan, Mirnawan Nawawi, K. Logan Raj dan Tajol Rosli ditepis
oleh penjaga gol Jepun, Jun Takahashi masing-masing pada minit ke-43, 54 dan 55.
Takahashi juga bertindak
cemerlang menepis dua pukulan sudut penalti oleh M. Jiwa pada minit ke-56 dan
Chua lima minit selepas itu.
Tetapi kekentalan penjaga gol
itu runtuh akhirnya oleh tolakan kencang Chua pada minit ke-62.
Lissek, selepas perlawanan
berkata, perlawanan itu mendedahkan kelemahan pemain muda terutama di barisan
pertahanan negara yang begitu mudah gugup apabila diasak oleh lawan.
``Mereka hilang tumpuan dan
lupa kepada sistem permainan sendiri kerana terlalu gugup apabila ditekan,'' kata
jurulatih dari Jerman itu.
Katanya lagi, ketiadaan dua
tonggak pertahanan, S. Kuhan dan Nor Azlan Bakar juga menyebabkan bahagian
pertahanan tidak mempunyai peneraju untuk memimpin gerakan.
Kuhan tidak tersenarai untuk
kejohanan ini akibat kecederaan hamstring manakala Nor Azlan terpaksa
direhatkan hanya selepas beraksi kira-kira lima minit babak pertama, juga
dikhuatiri akibat cedera hamstring.
Dalam perlawanan lain, pemenang
tempat kedua Trofi Juara-Juara, Australia menepati ramalan apabila menundukkan
New Zealand 4-2.
Michael McCann menjaringkan dua
gol pertama Australia pada minit ke-22 dan pukulan sudut penalti minit 26.
New Zealand sempat memberikan
saingan apabila menyamakan kedudukan menerusi Brett Leaver pada minit ke-42 dan
Phillip Burrows minit 56.
Namun, Jamie Dwyer muncul wira
skuad Kanggaru dengan dua gol pada minit ke-60 dan 70, masing-masing menerusi
pukulan sudut penalti dan jaringan padang.
Sementara itu, pertembungan
yang dinanti-nanti antara juara dunia dan Olimpik, Belanda dengan Pakistan
menyebelahi gergasi Asia dengan kemenangan 3-0.
Pakistan mendahului 2-0 pada
babak pertama menerusi Kashif Jawad seawal minit ke-10 sebelum Saqlain Muhammad
menambah pada minit ke-24.
Pakistan yang tewas kepada
Belanda pada perlawanan penentuan tempat ke-3/4 pada Trofi Juara-Juara tahun
lepas, menambah sengsara skuad Orange itu menerusi pakar sudut penalti, Sohail
Abbas pada minit ke-63.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0119&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4bqWj9ZkJ
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan