ARKIB : 23/11/2001
SKUAD negara terus gigih
menjalani latihan dalam bulan puasa untuk persediaan menghadapi Kejohanan
Cabaran Juara-Juara yang akan berlangsung di Stadium Hoki Nasional, Bukit
Jalil, bulan depan.
SELAMA tiga bulan Mohd. Nasihin
Nubli Ibrahim tidak menjejak kaki di padang hoki yang berpunca daripada
kecederaan pada lutut kanannya menjelang Sukan SEA September lepas.
Kali terakhir penjaga gol
kebangsaan itu beraksi ialah ketika mewakili negara pada Kejohanan Piala Sultan
Azlan Shah Ogos lepas.
Harapannya untuk segera beraksi
bagaimanapun hampa sekali pun kecederaannya telah pulih apabila Kejohanan
Afro-Asia di New Delhi yang dijadualkan berlangsung selepas Sukan SEA
dibatalkan.
Kini dia kembali bersama skuad
negara dengan satu tujuan - merebut semula kedudukannya sebagai penjaga gol
nombor satu negara.
Namun, dia terlebih dulu perlu
meningkatkan kecergasan dan mendapatkan semula ketangkasan yang pernah
ditunjukkannya sebelum ini.
``Ketika ini saya buat dua-dua
sekali...latihan kecergasan dan latihan permainan,'' katanya.
Nasihin kini sedang menjalani
latihan bersama skuad negara untuk menghadapi Kejohanan Cabaran Juara-Juara di
Bukit Jalil bulan depan.
``Saya mahu merebut semula
kedudukan (penjaga gol) nombor satu.
``Saingan memang sengit tetapi
ia baik untuk pasukan negara,'' katanya.
Nasihin juga menjelaskan bahawa
dia amat terkilan kerana tidak dapat beraksi dalam Sukan SEA XXI.
``Saya mengidamkan pingat emas
Sukan SEA tetapi masih belum mendapatnya. Peluang terbaik saya terlepas apabila
cedera beberapa hari sebelum temasya itu berlangsung,'' jelasnya.
Untuk itu, Nasihin berazam bagi
memastikan Malaysia mencatat keputusan baik pada Kejohanan Cabaran Juara-Juara
yang menjadi penentu untuk layak ke Kejohanan Trofi Juara-Juara.
Selain itu, Nasihin juga ingin
menggunakan kejohanan itu sebagai medan terbaik menguji kehebatan sendiri
sebelum Piala Dunia berlangsung tahun depan.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=1123&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bpTPXMNI
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan