ARKIB : 06/03/2002
PEMAIN pertahanan Malaysia S.
Kuhan (tengah) dipeluk oleh Tajol Rosli Mohamed ketika meraikan gol penyamaan
pada perlawanan dengan Poland dalam Kejohanan Hoki Piala Dunia 2002 di Bukit
Jalil, semalam. Malaysia dan Poland seri 2-2.
MALAYSIA terpaksa bertungkus
lumus sebelum memastikan keputusan seri 2-2 dengan Poland pada perlawanan
terakhir kumpulan B Kejohanan Hoki Piala Dunia 2002 di Stadium Hoki Nasional,
Bukit Jalil, semalam.
Keputusan itu mengesahkan
Malaysia di tangga ketiga kumpulan B dengan 13 mata, di belakang Australia dan
Korea Selatan bagi memburu kedudukan kelima hingga lapan, manakala Poland
bersaing untuk tempat ke-13 hingga 16 selepas mengumpul empat mata.
Namun cabaran berikutnya lebih
sukar apabila skuad negara dijadualkan bertemu Pakistan, penghuni tangga
keempat kumpulan A, yang tumpas 3-2 kepada Jerman semalam.
Turun dengan harapan tipis ke
separuh akhir selepas Korea Selatan tewas mengejut 2-0 kepada England, anak
buah Paul Lissek bertekad memburu jaringan besar sebaik memperoleh gol pertama
menerusi pukulan sudut penalti oleh M. Jiwa seawal minit ketujuh permainan.
Namun Poland bangkit menyamakan
kedudukan juga menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Eugeniusz
Gaczkowski untuk menewaskan penjaga gol negara, Roslan Jamaluddin, lima minit
kemudian.
Pada minit ke-16, jentera
serangan negara sekali lagi menguji gawang Poland hasil hantaran 1-2 antara
Mohd. Fairuz Ramly dan ketua pasukan, Mirnawan Nawawi sebelum bola dilorongkan
kepada Mohd. Rodhanizam Mat Radzi, namun percubaan penyerang itu berjaya
digagalkan oleh penjaga gol lawan, Marcin Pobuta.
Selepas menamatkan babak pertama
terikat 1-1, Poland menggandakan asakan dan kembali mendahului permainan
menerusi Gaczkowski yang menghasilkan gol keduanya hasil pukulan sudut penalti
pada minit ke-46.
Kira-kira 10 minit kemudian,
Poland hampir menambah jaringan, namun rembatan masuk yang dilakukan Tomasz
Spalek hasil pukulan sudut penalti dibatalkan oleh pengadil.
Skuad negara bagaimanapun tidak
patah semangat dan berjaya menjadikan kedudukan 2-2 menerusi pukulan sudut
penalti yang disempurnakan oleh S. Kuhan pada minit ke-62.
Sebelum aksi Malaysia, England
membuka sedikit ruang kepada skuad negara apabila menumpaskan Korea Selatan
2-0, namun anak buah Lissek perlu memastikan kemenangan besar
sekurang-kurangnya 9-0 jika mahu mencapai impian itu dan keputusan seri
meleburkan impian itu.
England menebus kembali kekalahan
5-4 kepada Korea Selatan, pemenang pingat perak Sukan Olimpik Sydney dua tahun
lalu, apabila memulakan aksi bergaya dengan memperoleh kedua-dua gol pada babak
pertama permainan.
Dave Mathews muncul wira England
apabila menyumbat masuk kedua-dua gol menerusi pukulan sudut penalti pada minit
ke-31 dan 33, sekali gus memastikan pasukannya berpeluang merebut tempat ke
lima hingga lapan pada edisi ke-10 ini.
Sekali pun kalah, Korea Selatan
yang mengumpul 15 mata di tangga kedua, masih gagah untuk meneruskan cabaran ke
separuh akhir bertemu juara kumpulan A, Jerman esok.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0306&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bxVsWAGi©
Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan