ARKIB : 14/09/2000
SYDNEY - Nor Saiful Zaini yang membatalkan hasratnya untuk bersara dua
tahun lepas bagi mengisi kekosongan posisi sebagai pemukul pukulan sudut
penalti dalam pasukan negara kini yakin beliau telah menemui penggantinya.
Bagaimanapun, S. Kuhan, 24, dan K. Gobinathan, 22, perlu berusaha lebih
keras sebelum membolehkannya berundur dari pasukan negara, katanya di Sydney,
semalam.
Namun begitu, Nor Saiful telah berkata bahawa Sukan Olimpik Sydney, yang
bermula Jumaat ini, merupakan penyertaannya yang terakhir selepas beraksi pada
Sukan Olimpik 1992 di Barcelona dan 1996 di Atlanta, Amerika Syarikat.
Nor Saiful, yang menyarung jersi negara buat kali pertama pada Sukan Asia
1986 di Seoul, Korea Selatan mengumumkan persaraannya pada 1998, tetapi
mengubah pendirian dan kembali membantu Malaysia melayakkan diri ke Sukan
Olimpik di Sydney.
''Khidmat saya masih diperlukan untuk pusingan kelayakan Sukan Olimpik di
Osaka pada Mac lepas. Kini saya yakin terdapat pemain yang mampu mengambil alih
tempat saya,'' katanya selepas perlawanan persahabatan menentang Argentina.
Nor Saiful berkata, beliau akan bersara selepas kedua-dua pemain itu
mempamerkan kematangan beraksi pada posisi itu.
Beliau berkata, pengalamannya beraksi pada dua Sukan Olimpik sebelum ini,
telah memberikannya keyakinan untuk membimbing pasukan negara pada Sukan
Olimpik Sydney.
''Kita cukup bersedia sekarang berbanding pada dua Sukan Olimpik yang lalu,''
kata Nor Saiful lagi.
Malaysia memulakan cabaran pada Sukan Olimpik dengan menentang Jerman pada
Sabtu ini.
Malaysia disenaraikan dalam kumpulan A bersama-sama dengan Kanada, Britain,
Jerman, juara bertahan Belanda dan Pakistan.
Manakala kumpulan B pula terdiri daripada Australia, Sepanyol, India, Korea
Selatan, Poland dan Argentina. - Bernama
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0914&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4b15rk4E3
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan