ARKIB : 03/12/2001
Perlawanan perpisahan raikan
Nor Saiful
NOR SAIFUL ZAINI mengumpul 328
cap selepas Sukan Olimpik di Sydney tahun lalu.
DENGAN 328 cap antarabangsa
dalam koleksinya, Nor Saiful Zaini Nasiruddin, 35, muncul pemain paling banyak
beraksi untuk pasukan kebangsaan dalam sejarah hoki negara.
``Nor Saiful telah bermain
sebanyak 328 kali untuk negara. Rekod ini tidak pernah dicapai oleh mana-mana
pemain hoki negara,'' Timbalan Presiden Persekutuan Hoki Malaysia (PHM) Datuk
Seri P. Alagendra melahirkan kekagumannya kepada pemain dari Perak itu.
``Saya juga tidak tahu jika ada
pemain lain di dunia ini yang mengatasi jumlah cap yang dikumpul oleh Nor
Saiful,'' tambah Alagendra melahirkan penghormatannya kepada bekas ketua
pasukan itu.
Sebagai mengenang jasa Nor
Saiful kepada negara, PHM membuat keputusan untuk mengadakan perlawanan
perpisahan untuknya yang bersara selepas Sukan Olimpik Sydney tahun lalu.
``Perlawanan ujian dengan
Afrika Selatan Selasa ini (esok) akan dijadikan sebagai perlawanan perpisahan
untuk Nor Saiful sebagai mengenang pemain terhebat dalam sukan hoki negara,''
jelas beliau di Kuala Lumpur.
Ini adalah satu sejarah bagi
Nor Saiful dan PHM sendiri kerana buat kali pertama satu perlawanan perpisahan
diadakan untuk seorang pemain hoki yang bersara.
Perlawanan itu akan berlangsung
di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil pada pukul 8 malam esok.
Nor Saiful akan bermain selama
lima minit dalam perlawanan itu.
Nor Saiful boleh bermain di
pelbagai posisi. Dia pernah menjadi penyerang bersama-sama Mirnawan Nawawi,
menjadi pemain tengah dan menjelang tempoh persaraannya beraksi sebagai pemain
pertahanan.
Beberapa tahun sebelum
menamatkan aksi, Nor Saiful juga mula dipertanggungjawabkan sebagai pakar
pukulan sudut penalti bersama-sama S. Kuhan dan Chua Boon Huat.
Afrika Selatan menggunakan
perlawanan itu sebagai persediaan menjelang Kejohanan Cabaran Juara-Juara yang
akan bermula pada Jumaat ini di Bukit Jalil.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=1203&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4bpcEQ7Kk
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan