Khamis, 17 Disember 2015

Skuad jurulatih baharu terbongkar

Oleh MUHAMMAD ZUHAILY BADLISHAH
 
SELVARAJ yang sebelum ini melatih pasukan remaja lelaki kebangsaan dikatakan bakal membimbing skuad pembangunan.

TEKA-TEKI berhubung barisan kejurulatihan baharu bagi pasukan-pasukan hoki negara yang bakal dilantik Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) selepas ini, akhirnya terbongkar.

Umum mengetahui, Jawatankuasa Kejurulatihan MHC yang dipengerusikan naib presiden badan induk itu, Datuk Ow Soon Kooi te­lah melantik Stephen Van Huizen sebagai ketua jurulatih skuad hoki lelaki dan dibantu Lim Chiow Chuan selaku penolong jurulatih pada September lalu.

Penyandang sebelum ini, Tai Beng Hai pula diberikan tugasan baharu apabila dilantik sebagai Pengarah Program Pembangunan 1MAS yang sebelum ini disandang Chiow Chuan.

Bagaimanapun, MHC memilih untuk ‘kunci mulut’ berhubung calon-calon yang bakal mengisi barisan kejurulatihan tertinggi skuad hoki wa­nita senior, remaja lelaki atau remaja wanita sebelum ini, namun ia terbongkar semalam.

Menurut laporan laman blog themalaysianhockey.blogspot.my, ia mendedahkan senarai jurulatih yang dikenalpasti bakal menerajui pasukan-pasukan hoki kebangsaan pada tahun depan.

Antara calon dikaitkan ialah bekas ketua jurulatih skuad hoki lelaki, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah yang menggantikan tugas Mohd. Nasihin Nubli Ibrahim sebagai pengendali baharu pasukan wanita.

Pasukan ‘adik’ kepada skuad senior wanita turut dikatakan akan mengalami perubahan dan dipercayai bekas pembantu Dhaarma Raj, K. Gobinathan disebut-sebut menggantikan tugas Lailin Abu Hassan sebagai ketua jurulatih baharu.

Bagi pasukan remaja lelaki yang gagal mela­yakkan diri ke Piala Dunia Remaja 2016 baru-baru ini, ketua jurulatihnya, Arul Selvaraj dijangka ‘beralih angin’ menyertai pasukan pembangunan negara, manakala Nor Saiful Zaini Nasiruddin akan membimbing Skuad Projek 2020.

Lebih menarik, sumber dalaman MHC turut mengakui senarai tersebut sudah dikenal pasti sejak Mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan di Hotel Wisma Olimpik Malaysia (MOM) diadakan di Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

“Senarai ini sudah bocor sejak minggu lepas lagi. Buat masa ini memang (sah) senarai tersebut tetapi tidak pasti kalau ada perubahan pada minit-minit terakhir nanti,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1218&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz3uccaUqlU Hakcipta terpelihara