Ahad, 20 Jun 2021

Malaysian Tigers lupakan Olimpik Tokyo



Oleh ROZAIDI ZULKIFLI

20 Jun 2021, 12:23 pm

PETALING JAYA: Peluang hoki Malaysia untuk menyertai Sukan Olimpik Tokyo amat tipis biarpun Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) belum memberi jawapan kerana Afrika Selatan sudah menyerahkan senarai nama pemain ke temasya berkenaan.

Naib Presiden Kesatuan Hoki Malaysia (MHC), Datuk Dr S. Shamala berkata, beliau memahami harapan yang diletakkan peminat hoki negara untuk menyaksikan Malaysian Tigers beraksi di pentas tertinggi itu sejak kali terakhir membuat penampilan di Sydney 2000.

Katanya, secara realitinya peluang Malaysia menggantikan Afrika Selatan di Olimpik Tokyo sangat tipis.

Bagi saya peluang untuk Malaysia menggantikan tempat Afrika Selatan sangat tipis dan boleh dikatakan pasukan itu 99 peratus pasti bermain di Olimpik.

Mungkin tindakan mereka menguar-uarkan masalah kewangan yang dihadapi kepada umum bagi mendapatkan bantuan supaya dana diperlukan mencukupi.

Kalau tidak silap saya, Afrika Selatan mempunyai 11 hari untuk mengesahkan penyertaan kepada FIH dan kita juga tidak mendapat maklum balas daripada FIH,” katanya kepada Mingguan Malaysia semalam.

Afrika Selatan sebelum ini kekurangan dana untuk beraksi di Tokyo dan terpaksa memohon sumbangan RM1 juta daripada orang ramai bagi melakukan persiapan serta membiayai kos penyertaan.

Situasi itu meletakkan Malaysia, pasukan No. 11 dunia berada dalam keadaan bersedia untuk ‘terbang’ ke Jepun pada bila-bila masa kerana menduduki tangga teratas senarai simpanan.

Jurulatih Afrika Selatan Garreth Ewing mengakui, pasukannya kurang persediaan untuk menghadapi Olimpik yang bermula 23 Julai ini, namun amat bersemangat mahu beraksi.1

________________________________________________