Ahad, 3 November 2019

Hoki Malaysia masuk alaf baru


ARKIB : 20/09/1998

PRESIDEN Persekutuan Hoki Malaysia (PHM), Sultan Azlan Shah bersama beberapa pegawai turut sama meraikan kejayaan barisan pemain negara yang menewaskan India 1-0 di peringkat separuh akhir acara hoki KL '98 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, semalam.


Tiada hadiah yang bernilai lagi buat ketua pasukan negara, Mirnawan Nawawi yang menyambut hari jadinya ke-27 semalam selain jaringan emas tunggal sumbangannya pada minit ke-77 dalam masa tambahan untuk memastikan Malaysia ke perlawanan akhir hari ini menentang Australia.
India yang begitu garang lagi angkuh dengan kemahiran individu dan corak serangan pantas sepanjang majoriti perlawanan akhirnya tunduk lesu di bawah keutuhan semangat juang yang tak kunjung padam paparan barisan wira negara selain dibantu sokongan padu 12,000 penonton di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.
Sebaik sahaja tolakan tepat Mirnawan Nawawi menewaskan penjaga gol lawan, Jude Menezes, gegak-gempita di segenap penjuru stadium meletus dengan sorakan gamat dalam nada gembira tidak terhingga penonton meraikan kemenangan gemilang ini.
Jika separuh akhir Piala Dunia 23 tahun lalu menyaksikan Malaysia tumpas 2-3 kepada India juga dalam masa tambahan, kemenangan semalam tidak syak lagi merupakan pembalasan dendam yang paling tepat waktunya selain mengulangi kejayaan terakhir ke atas lawan yang sama, 3-2 ketika pusingan kelayakan Sukan Olimpik di Auckland pada 1991.
Roslan Jamaluddin sekalipun cuma bermain kurang daripada 20 kali dalam arena antarabangsa, berhak dijulang sebagai wira negara apabila seringkali mengecewakan lawan terutama ketika berada dalam situasi satu sama satu dengan penyerang lincah dan ketua pasukan, Dhanraj Pillay.
Roslan yang hanya melepaskan empat gol setakat ini, tetap tenang untuk menepis dengan tangan kiri menyelamatkan keadaan ketika cubaan pukulan kilas Pillay mengujinya pada minit ke-24.
Selain Pillay, Mukesh Kumar, Baljit Singh Dhillon bagaikan tiada belas untuk mendera barisan belakang negara bertali arus menerusi rentak pantas lagi mendebarkan.
Malaysia bagaimanapun berkubu utuh dengan bersandar harapan kepada Maninderjit Singh, R. Shankar dan Nor Azlan Bakar setia mendampingi Roslan untuk cekal menangkis segala ujian bawaan lawan.
Sesekali timbul peluang skuad negara untuk mencipta kejutan sekali gus melumpuhkan kegarangan India dalam serangan balas yang diperoleh menerusi pukulan percuma beberapa inci dari kawasan D.
Namun daripadanya, hantaran ke dalam daripada Nor Saiful Zaini Nasiruddin tidak pula berjawab oleh sesiapa pun pemain negara terutama Chairil Anwar yang sebelum ini jarang menghampakan dengan terpaan nekadnya.
Dua sudut penalti India ditangkis lagi Roslan pada minit ke-67 dan 68 sebelum pemain negara berjaya memaksa lawan diikat 0-0, terheret untuk berjuang lagi ke babak tambahan 15 minit.
Pillay yang menyusuli umpanan Lazarus Barla untuk mara ke kawasan D secara solo sekalipun melepasi Roslan pada minit ke-73, terlepas peluang keemasan untuk mencipta jaringan setelah kuisannya sedikit terkeluar dari gawang.
Saat yang dinanti ribuan rakyat Malaysia muncul dua minit sejurus kemudian sebaik sahaja skuad negara beroleh sudut penalti ketiganya dan Mirnawan beroleh ganjaran ulang tahun kelahirannya menerusi penyudahan yang menggegar gawang India.
''Apabila saya lihat India gagal dalam penyudahnya, saya mula yakin kita akan memperoleh sesuatu dengan jaringan emas masa tambahan,'' kata jurulatih Malaysia, Paul Lissek pada sidang berita sejurus selepas itu.
''Malaysia mempunyai penjaga gol yang cemerlang. Cubaan kami banyak dihampakannya,'' kata rakan sejawatannya dari India, M.K. Kaushik.
''Kami menguasai perlawanan ini sekalipun dalam masa tambahan. Pemain saya berjuang sehabis mungkin malangnya penyudah yang tumpul menidakkan India dengan kemenangan,'' kata pengurus pasukan, M.S. Balakrishnan.