Rabu, 21 Disember 2016

Malaysia ke separuh akhir

ARKIB : 11/05/2000
MALAYSIA melengkapkan kuota empat pasukan ke separuh akhir Kejohanan Hoki Lelaki Piala Remaja Asia selepas mengalahkan Pakistan 3-1 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, semalam.

Skuad negara memberi aksi terbaik pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan itu untuk menafikan hasrat Pakistan dalam perebutan status naib juara kumpulan.

Kemenangan itu sekali gus meletakkan Malaysia hanya setapak lagi untuk meneruskan cabaran pada Kejohanan Piala Remaja Dunia di Hobart, Australia, Mei tahun depan.

Pada perlawanan semalam, Malaysia mendahului 2-1 di babak pertama menerusi jaringan M. Jiwa seawal minit ke-15, sebelum penyerang kebangsaan, Suhaimi Ibrahim menyumbat masuk gol kedua negara di minit ke-17.

Begitupun, Sameer Hussain kembali mendekatkan jurang apabila merembat masuk gol tunggal Pakistan pada minit ke-20.

Kedua-dua pasukan terus bersaing hebat di babak kedua, tetapi jaringan ketiga oleh Norazlan Rahim pada minit ke-48 akhirnya meleburkan impian Pakistan untuk beraksi di Hobart, tahun depan.

Malaysia yang kini naib juara kumpulan A akan bertemu juara kumpulan B, India esok manakala juara kumpulan A, Korea Selatan menentang Jepun bagi menentukan tempat ke perlawanan akhir.

Dalam perlawanan kumpulan B, Jepun berjaya melayakkan diri ke separuh akhir selepas mengalahkan Uzbekistan 6-2.

Begitupun, Doniyorbek Holmirzaev mengejutkan skuad negara matahari terbit itu dengan jaringan pendahuluan pada minit ke-12, sebelum Watanabe Daisaku menyamakan kedudukan, minit ke-22.

Tamekuni Takeshi memastikan Jepun mendahului 2-1 pada babak pertama permainan hasil jaringan pada minit ke-24.

Pada babak kedua, dia melengkapkan hatrik dengan dua gol lagi di minit ke-46 dan 56 manakala dua gol lagi hasil jaringan Ozawa Kazuyuki pada minit ke-38 dan 59. Gol kedua Uzbekistan disumbat masuk oleh Sherzod Bayaraev pada minit ke-53.

Kemenangan Jepun itu sekali gus menghampakan hasrat China dalam perebutan tempat selaku naib juara kumpulan B yang menjadi milik Jepun dengan kelebihan 10 mata berbanding 9 oleh China.

China sebelum itu menggunakan sepenuhnya kesempatan untuk membelasah Iran 14-0, sambil mengharapkan pertemuan Jepun dan Uzbekistan akan berkesudahan seri bagi membolehkan mereka menerus cabaran ke separuh akhir namun impian itu tidak kesampaian.

Pasukan itu mendahului tujuh jaringan tanpa balas di babak pertama dan meneruskan penguasaan di babak kedua.

Na Yubo membuka tirai jaringan untuk China menerusi rembatannya seawal minit ketiga permainan, diikuti jaringan pertama Song Yi, di minit keenam.

Song yang muncul penjaring terbanyak perlawanan kemudian menambah lima gol lagi pada minit ke-14, 20, 38, 48 dan 61, Qiaq Yundan dengan dua gol pada minit ke-31 dan 63.

Yu Yang turut menyumbat masuk dua gol pada minit ke-40 dan 64 manakala gol-gol lain oleh Yang Guangsen (11), Jiang Xishang (22) dan He Xu (66).

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0511&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4TSvUBq8n © Utusan Melayu (M) Bhd

Giliran belasah Singapura

ARKIB : 09/05/2000
MALAYSIA meneruskan aksi cemerlang apabila membelasah Singapura 9-0 dalam perlawanan kumpulan A Kejohanan Hoki Lelaki Piala Remaja Asia di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, semalam.

Begitupun, kemenangan besar itu tidak mengubah kedudukan skuad negara yang kekal di tangga ketiga kumpulan, di belakang Pakistan dan Korea Selatan.

Malaysia kini perlu menewaskan Pakistan bagi memastikan tempat ke separuh akhir dan ia turut bergantung kepada keputusan perlawanan antara Pakistan dan Korea Selatan hari ini.

Chua Boon Huat muncul penjaring terbanyak dengan lima gol hasil jaringan pada minit keenam, 14, 24, 37 dan 43 pada perlawanan yang dikuasai sepenuhnya oleh skuad negara.

Norazlan Rahim menambah dua gol pada minit ke-15 dan 38, manakala K. Keevan Raj dan Tajol Rosli masing-masing menyumbat masuk satu gol pada minit ke-55 dan 57.

Malaysia akan meneruskan cabaran menentang pendahulu, Pakistan esok pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan.

Sementara itu, India hampir mencipta rekod dunia apabila mencatat kemenangan terbesar 22-0 ke atas Iran bagi memperkukuhkan kedudukan di tangga teratas kumpulan B.

Rekod dunia kini dipegang oleh skuad senior negara itu yang mengalahkan Amerika Syarikat 24-0 pada Sukan Olimpik 1932.

Pasukan itu yang sudah mengesahkan tempat ke separuh akhir bertindak garang tanpa memberi peluang kepada lawan untuk bangkit selepas mendahului 8-0 pada babak pertama.

Prabjot Singh muncul penjaring terbanyak perlawanan ini dengan enam gol pada minit ke-14, 22, 60, 61, 65 dan 67, Ajit Singh Gagan menyumbat tiga gol pada minit ketujuh, kesembilan dan 27.

Len Ayappa membolosi tiga gol pada minit ke-25, 54 dan 68, begitu juga dengan Bikramjit Singh menerusi jaringan minit ke-44, 46 dan 59, manakala Inderjit Singht menyumbang dua gol minit ke-13 dan 20.

Shamsuz Zoha, Arjun Halappa, Bimal Lakra, Amarjit Singh dan Paramjit Singh masing-masing menambah satu gol pada minit ke-41, 50, 57, 63 dan 65 untuk membolehkan India berpesta gol.

Sementara itu, Jepun dan Bangladesh sekadar mencatat keputusan seri tanpa jaringan dalam satu lagi perlawanan kumpulan B, sekali gus membuka persaingan merebut satu lagi tempat ke separuh akhir.

Bangladesh menguasai perlawanan semalam, tetapi gagal menemui aksi penyudah termasuk sembilan pukulan sudut penalti tanpa jaringan.

Oleh: SAADON JAAFAR

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0509&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4TSlb4Rnd © Utusan Melayu (M) Bhd

Hoki Lelaki Piala Remaja Asia -- Chua sekat Korea

ARKIB : 08/05/2000
DUA jaringan oleh pemain pertahanan, Chua Boon Huat memastikan Malaysia bangkit daripada ketinggalan dua gol pada babak pertama ketika seri 2-2 dengan Korea Selatan pada perlawanan kumpulan A Kejohanan Hoki Lelaki Piala Remaja Asia di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, semalam.

Korea Selatan yang juga pasukan pilihan bermula garang dengan mengasak kubu negara dan hampir mendapat gol awal pada minit ke-13 apabila Jung Seong Tae merembat bola hantaran Lee Hee Seong, tetapi pukulannya tersasar.

Begitupun, usaha keras Seong Tae itu membuahkan hasil apabila dia menyumbat masuk gol pertama Korea Selatan pada minit ke-24 selepas berlaku pergelutan di depan pintu gol negara.

Malaysia mendapat peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-30, tetapi Mohd. Fairuz Ramli yang hanya berdepan penjaga gol lawan, Lee Myung Ho gagal melakukan aksi penyudah.

Sebaliknya, Korea Selatan yang melakukan serangan balas, memperoleh gol kedua pada minit ke-34 apabila Lee Jung Seon yang tidak dikawal kemas melakukan rembatan terus bola ke bahagian atas gawang negara.

Ketinggalan dua gol bagaimanapun tidak menjejaskan rentak permainan skuad negara yang menggandakan serangan di babak kedua.

Malaysia kembali mendekatkan jurang apabila Chua Boon Huat pantas merembat masuk bola hantaran pukulan sudut penalti keenam negara oleh K. Keevan Raj pada minit ke-52.

Enam minit selepas itu, Malaysia yang melakukan serangan balas, dihadiahkan pukulan penalti strok oleh pengadil, Gerald Curran akibat kesilapan pertahanan Korea Selatan.

Chua yang mengambil pukulan itu tidak teragak-agak untuk menewaskan Myung Ho sekali lagi bagi mengikat kedudukan 2-2.

Kedudukan seri itu sekali gus mencerahkan peluang Malaysia ke separuh akhir dan terpaksa memastikan kemenangan besar ke atas Singapura pada perlawanan hari ini.

''Saya tidak kisah beraksi di posisi pertahanan mahupun serangan. Saya bertindak untuk turut memikul tugas penyerang selepas mendapati jentera serangan kurang berkesan berbanding pertahanan,'' ujar Chua.

Sementara itu, China mencatat kemenangan pertama apabila membelasah Uzbekistan 11-1 pada perlawanan kumpulan B.

Song Yi muncul penjaring terbanyak perlawanan dengan enam gol pada minit ke-24, 27, 32, 47, 47 dan 63, selepas He Xu membuka tirai jaringan seawal minit keenam permainan.

Yang Guangsen menambah empat gol pada minit ke-11, 22, 42 dan 45, manakala gol tunggal Uzbekistan dijaringkan oleh ketua pasukannya, Ravshanjonzakirov pada minit ke-59

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0508&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4TSjTcyBd © Utusan Melayu (M) Bhd

Malaysia kalah tipis kepada China

ARKIB : 07/05/2000
MALAYSIA berjaya menyekat penguasaan sepenuhnya naib juara 1996, China apabila kalah tipis 1-0 pada Kejohanan Hoki Wanita Piala Remaja Asia di Stadium Hoki Kuala Lumpur, semalam, lapor DALLIA DUNSTAN.

China memperoleh gol tunggal itu pada minit ke-65 menerusi Mai Shaoyan yang merembat masuk bola hantaran percuma dari kanan pintu gol negara.

Kekalahan tipis itu bagaimanapun tidak begitu meresahkan skuad negara yang baru dibentuk sejak enam minggu lalu.

Jurulatih negara, Siva Subramaniam menyifatkan kekalahan 1-0 di tangan China itu adalah satu ''kejayaan'' pada pertemuan pertama Malaysia.

''Saya amat gembira dengan prestasi keseluruhan anak buah saya yang hanya mula membuat persediaan enam minggu yang lalu,'' katanya.

Siva menganggap aset utama pasukannya adalah semangat yang kental ketika bertemu China dan berharap ia akan diteruskan pada setiap perlawanan.

''Saya berharap mereka akan teruskan semangat ini ketika menentang juara bertahan, Korea Selatan nanti kerana mereka mempunyai corak perlawanan berbeza berbanding China,'' katanya.

Cabaran Malaysia diketuai oleh pemain Sukan SEA Brunei, Nor Saliza Ahmad Soobni mendapat peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-67 hasil pukulan sudut penalti, tetapi Ayu Afnida Hamdani gagal menjaringkannya.

China yang menguasai perlawanan itu memperoleh 10 pukulan sudut penalti.

Jurulatih China, Liu Shouzhong mengakui pasukan Malaysia bermain dengan baik dan menepati jangkaannya bahawa Malaysia pasti memberikan tentangan sengit.

Dalam satu lagi perlawanan kumpulan A, Korea membelasah Uzbekistan sembilan gol tanpa balas di stadium yang sama.

Jepun pula berpesta gol apabila menewaskan Taiwan 8-0 ketika membuka cabaran dalam perlawanan kumpulan B manakala India membelasah teruk Thailand 17-0 dalam perlawanan kedua kumpulan itu.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0507&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4TSaSVTxg © Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 20 Disember 2016

Kita belasah Taiwan 12-0


 

ARKIB : 05/05/2000
PEMAIN Malaysia, Mohd. Madzli Ikmar Mohd. Nor (kanan) cuba mengelakkan pukulan pemain Taiwan, Ching Yen-Yuan pada perlawanan kumpulan A Kejohanan Hoki Lelaki Piala Remaja Asia di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, semalam. Malaysia menang besar 12-0. - Gambar AHMAD ZAKKI JILAN

MALAYSIA membuka tirai cabaran penuh bergaya apabila membelasah Taiwan 12-0 pada perlawanan kumpulan A Kejohanan Hoki Lelaki Piala Remaja Asia di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, semalam.

Skuad remaja negara yang menguasai permainan memperoleh jaringan pertama seawal minit kelima permainan menerusi Norazlan Rahim yang menyempurnakan pukulan bebas oleh Chua Boon Huat.

Begitupun, Malaysia terpaksa menunggu 16 minit untuk mendapatkan gol kedua selepas lima serangan yang dilancarkan gagal menemui sentuhan penyudah.

Pada minit ke-20, skuad remaja negara terus mendahului lawan dengan gol kedua apabila Mohd. Fairuz Ramli menyumbat masuk bola pantulan hasil pukulan sudut penalti.

Dua jaringan oleh M. Jiwa pada minit ke-26 dan 34 memastikan Malaysia mendahului 4-0 pada babak pertama, sebelum meneruskan aksi cemerlang selepas rehat.

Pada minit ke-41, barisan serangan negara memperoleh gol kelima menerusi jaringan pukulan sudut penalti oleh Chua Boon Huat, sebelum gol keenam menyusul hasil rembatan penyerang kebangsaan, Suhaimi Ibrahim.

Taiwan yang cuba bangkit daripada kekalahan 13-1 kepada Korea Selatan kelmarin bagaimana gagal dalam usaha mendekatkan jurang hasil kekentalan jentera serangan Malaysia.

Sebaliknya, skuad negara terus berpesta gol dengan dua lagi jaringan Jiwa pada minit ke-46 dan 49, sebelum pemain gantian, Muhammad Amin Rahim menyumbat dua gol lagi pada minit ke-50 dan 53 untuk menjadikan kedudukan 10-0.

Gol ke-11 Malaysia disumbat masuk oleh K. Logan Raj pada minit ke-65 sebelum Boon Huat melengkapkan kemenangan besar hasil jaringan keduanya dalam perlawanan ini pada minit ke-67.

Jurulatih negara, Yahya Atan berpuas hati dengan persembahan anak buahnya dan mengharapkan aksi terbaik itu diteruskan pada perlawanan kedua menentang Korea Selatan, Ahad ini.

''Para pemain telah mencuba sedaya upaya mereka, tetapi jentera serangan beberapa kali gagal menemui sentuhan untuk melakukan lebih jaringan di babak pertama.

''Kita akan rehat dua hari sebelum bertemu Korea Selatan dan barisan serangan akan digilapkan lagi. Saya harap pemain akan memberi aksi lebih baik pada pertemuan itu nanti,'' katanya.

Jurulatih Taiwan, Tsai Yi-Ming yang kecewa dengan kekalahan kedua pasukan itu bagaimanapun tetap berharap pertemuan berikutnya menentang Pakistan akan mengubah nasib mereka.

''Kita kalah dengan jaringan besar kepada Malaysia, tetapi prestasi pemain agak meningkat berbanding semalam (kelmarin).

''Pada saya, Malaysia dan Korea Selatan sama hebat, tetapi kami akan mencuba yang terbaik pada kejohanan ini,'' katanya.

Oleh: SAADON JAAFAR

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0505&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4TSI3xpit © Utusan Melayu (M) Bhd

Sasaran kita ke separuh akhir

ARKIB : 28/04/2000
MALAYSIA tidak akan memandang remeh keupayaan lawan sekali pun meletakkan sasaran untuk mara ke separuh akhir dalam acara hoki lelaki kumpulan A Piala Remaja Asia bermula Rabu ini di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.

Skuad negara sebelum ini diundi bersama Pakistan, Korea Selatan, Singapura, Taiwan dan Sri Lanka yang mengambil alih tempat Oman selepas pasukan itu menarik diri atas alasan kebanyakan pemainnya sedang menghadapi peperiksaan.

Berbekal persediaan mental selama tiga hari di Port Dickson, skuad remaja kini diharap lebih bersedia menghadapi cabaran besar bagi melepasi halangan peringkat kumpulan.

Jurulatih negara, Yahya Atan berkata, tumpuan utama pasukan bimbingannya itu ialah untuk memastikan Malaysia melangkah ke separuh akhir, sekali gus mencerahkan laluan ke pusingan akhir Piala Dunia nanti.

''Latihan di Port Dickson ini mampu membentuk keyakinan tinggi para pemain dan itu yang kita harapkan sebelum berdepan mana-mana pasukan sekumpulan termasuk Pakistan dan Korea Selatan.

''Selepas ini para pemain akan didedahkan dengan sesi latihan lebih sukar kerana sasaran kita ialah sekurang-kurangnya mara ke separuh akhir,'' kata Yahya ketika dihubungi semalam.

Menurutnya, masalah utama yang dihadapi sekarang ialah mencari flicker terbaik yang mampu melakukan aksi penyudah bagi pukulan sudut penalti.

''Masalah kita ialah tiada hitter yang baik dan mungkin terpaksa menggunakan khidmat Chua (Boon Huat) dan M. Jiwa untuk itu.

''Kita akan turunkan barisan yang sama seperti Piala Razak kerana kita tidak banyak pilihan berbanding skuad senior,'' ujarnya.

Malaysia katanya, tetap menghormati kemampuan pasukan lawan dan mungkin terpaksa lebih berhati-hati dalam memburu tempat terbaik pada kejohanan itu yang juga merupakan pusingan kelayakan Asia ke Piala Dunia

''Bagi saya, mana-mana kejohanan tetap sukar walau siapa pun lawan dan kali ini kita juga tidak mengetahui sejauh mana keupayaan pasukan lain termasuk Sri Lanka yang menggantikan tempat Oman.

''Oleh itu, kita tidak akan memandang rendah pasukan lain dalam kumpulan A dan kita akan turun nanti dengan satu tekad mencari kemenangan pada setiap perlawanan,'' tambahnya.

Pasukan pilihan India pula akan membawa cabaran dalam Kumpulan B bersama China, Jepun, Uzbekistan, Iran dan Bangladesh.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0428&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4TNEzHxHK © Utusan Melayu (M) Bhd

Isnin, 19 Disember 2016

Final Hoki Piala Razak -- KL hadapi Remaja

ARKIB : 23/04/2000
JUARA bertahan, Kuala Lumpur dan Pasukan Remaja Kebangsaan menepati ramalan apabila mara ke perlawanan akhir dengan mengetepikan pencabar masing-masing pada Kejohanan Hoki Piala Razak di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, semalam.

Kuala Lumpur membuka tirai separuh akhir semalam dengan membelasah Tentera 9-0 manakala Pasukan Remaja Kebangsaan menewaskan Johor 4-2.

Kuala Lumpur yang dibarisi kebanyakan pemain dan bekas pemain kebangsaan bagaimanapun memberi aksi kurang bertenaga ketika berdepan Tentera yang bermain di tahap rendah.

Ketua pasukan, Mirnawan Nawawi melakukan hatrik selepas membuka tirai perlawanan dengan jaringan pertama seawal minit kelima permainan.

Pada minit ke-11, Tentera mendapat peluang keemasan untuk menyamakan kedudukan, tetapi rembatan yang dilakukan oleh Md. Noor Saad ditampan kemas oleh penjaga gol Kuala Lumpur, Roslan Jamaluddin.

Sebaliknya, Kuala Lumpur yang menggandakan serangan memperoleh gol kedua apabila lorongan yang dilakukan oleh Nor Saiful Zaini Nasiruddin dirembat masuk oleh M. Kaliswaran.

Dua minit kemudian, S. Kuhan menjadikan kedudukan 3-0 apabila merembat masuk bola pukulan sudut penalti untuk menewaskan penjaga gol Tentera, Ku Baharuddin Ku Sulaiman dan kedudukan itu kekal sehingga tamat babak pertama.

Pada babak kedua, Kuala Lumpur terus menguasai permainan dan mempoleh gol keempat menerusi Nishel Kumar, sebelum Mirnawan menjaringkan dua lagi gol pada minit ke-46 dan 49, menjadikan kedudukan 6-0.

Gol ketujuh Kuala Lumpur yang disumbat masuk oleh Kuhan pada minit ke-51, memaksa Tentera melakukan pertukaran penjaga gol dengan memasukkan Khairi Daud.

Namun, usaha itu gagal menghalang asakan lawan yang menambah jaringan menerusi M. Neruji (55) dan gol kemenangan jaringan Mohd. Faizal Daud pada minit ke-65.

Pasukan Remaja Kebangsaan (PRK) pula diberi tentangan sengit sebelum memastikan tempat ke akhir dengan mengalahkan Johor 4-2.

K. Keevan Raj membuka tirai jaringan buat Remaja Kebangsaan pada minit ke-12, tetapi lapan minit kemudian Simon Mathew berjaya menyamakan kedudukan buat pasukan dari selatan tanah air itu.

Skuad Remaja yang menggandakan asakan memperoleh gol kedua apabila Tajol Rosli merembat masuk bola pada minit ke-29 untuk kedudukan 2-1 sehingga tamat babak pertama.

Aksi kemas jentera serangan memastikan skuad Remaja memperoleh gol ketiga hasil rembatan Mohd. Fairus Ramli pada minit ke-43.

Begitupun, kekasaran yang dilakukan barisan pertahanan skuad itu membawa padah apabila pengadil memberikan pukulan penalti strok kepada Johor yang disempurnakan oleh Suhairi Saidi pada minit ke-48.

Gol kemenangan skuad Remaja dijaringkan oleh Keevan pada minit ke-69, sekeli gus menempah pertemuan dengan Kuala Lumpur pada perlawanan akhir, hari ini.

Kedua-dua pasukan sebelum ini pernah terikat 3-3 pada persaingan peringkat kumpulan A.Keputusan lain
Tempat ke-9/10: Selangor kln Terengganu 3-2; Tempat ke-5/8: Perak kln Melaka 2-2 (Perak menang penentuan penalti 4-3); Pahang kln Pulau Pinang 4-0.
Jadual Hari Ini
Tempat ke-7/8: Melaka lwn P.Pinang (9.30 pg); Tempat ke-5/6: Perak lwn Pahang (9.30 pg); Tempat ke-3/4: Tentera lwn Johor (4 ptg); Akhir: Kuala Lumpur lwn Remaja Kebangsaan (6 ptg).
* Semua perlawanan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpu

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0423&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4TIXnZK8l © Utusan Melayu (M) Bhd

Jaringan Nor Azlan bantu remaja mara


 

ARKIB : 20/04/2000
Jaringan Nor Azlan bantu remaja mara
PEMAIN Pulau Pinang, Mohd. Asri Mat Sani (kiri) cuba menyekat pemain Melaka, Nor Azmi Abu Samah pada perlawanan kumpulan B hoki Piala Razak di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, semalam. Pulau Pinang menang 1-0. - Gambar ASWAD YAHYA

JARINGAN Nor Azlan Rahim pada minit ke-31 memastikan Pasukan Remaja Kebangsaan (PRK) mara ke separuh akhir selepas seri 1-1 dengan Perak dalam perlawanan kumpulan A hoki Piala Razak di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, semalam.

Skuad remaja yang mempamer aksi kurang bertenaga dikejutkan dengan jaringan awal oleh penyerang Perak, Azlan Misron pada minit ke-21.

Azlan yang tidak dikawal kemas bijak melorongkan bola untuk menewaskan penjaga gol, Saiful Azhar dan menyaksikan skuad remaja terpaksa berhempas pulas mencari gol penyamaan.

Sebaliknya, Perak yang kecundang 0-1 kepada Selangor kelmarin, cuba menggandakan asakan, namun kelalaian barisan pertahanan membuka ruang buat Nor Azlan melakukan jaringan.

Nor Azlan yang menerima hantaran silang, mudah menolak masuk bola pada minit ke-31 untuk menewaskan penjaga gol Perak, Khairil Anwar Rozlan dan memastikan pasukan itu ke separuh akhir.

Skuad remaja kini mengumpul tujuh mata daripada tiga perlawanan, di belakang Kuala Lumpur yang mengumpul sembilan mata penuh selepas menyelesaikan tiga pertemuan.

Mereka sebelum ini mengalahkan Selangor 5-1, diikuti kemenangan lima gol tanpa balas ke atas Pahang.

Kuala Lumpur yang membariskan pemain dan bekas pemain kebangsaan muncul pasukan pertama ke separuh akhir kelmarin selepas memenangi kesemua tiga perlawanan awal mereka.

Skuad ibu kota itu sebelum ini membelasah Selangor 10-3, mengatasi Perak 8-3, mengetepikan Pahang 6-1 dan akan turun menentang pasukan Remaja Kebangsaan hari ini.

Pertemuan antara skuad senior yang mewakili Kuala Lumpur dan pasukan junior ini dijangka menarik bagi menguji sejauh mana keupayaan sebenar anak buah Yahya Atan menjelang hoki Piala Remaja Asia, yang akan berlangsung bulan depan.

Skuad remaja sebelum ini sering dikecewakan olah barisan senior dalam beberapa perlawanan persahabatan yang diadakan.

Sementara itu, dalam perlawanan kumpulan B, Pulau Pinang menamatkan cabaran peringkat kumpulan dengan kemenangan tipis 1-0 ke atas Melaka.

Keputusan itu sekali gus membuka ruang buat dua pasukan di tangga teratas kumpulan yang tidak beraksi semalam iaitu Johor dan Tentera untuk mara ke separuh akhir.

Jaringan tunggal Pulau Pinang dirembat masuk oleh Shaikh Muhammad Salim pada minit ke-10 yang menyekat impian lawannya itu untuk mara ke separuh akhir.

Melaka kini mengumpul tiga mata di tangga keempat selepas mengharungi tiga perlawanan dengan berbaki satu perlawanan menentang Tentera, hari ini.

Johor di tangga teratas kumpulan B dengan tujuh mata hasil kemenangan ke atas Pulau Pinang 2-0, membelasah Melaka 8-0 dan seri 2-2 dengan pasukan Tentera.

Tentera juga mengutip tujuh mata selepas mengalahkan Terengganu 6-2, mengalahkan Pulau Pinang 2-0 dan seri 2-2 dengan Johor.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0420&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4THe36WJK © Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 17 Disember 2016

Selepas gagal menyaingi kehebatan Britain -- Malaysia puas hati di tempat keenam

ARKIB : 20/03/2000
MALAYSIA sekadar menamatkan cabaran di tempat keenam keseluruhan selepas gagal menyaingi kehebatan Britain yang mencatat kemenangan 2-1 pada perlawanan penentuan hoki kelayakan Olimpik di Stadium Hoki Nagai, Osaka, semalam.

Britain yang memberi aksi terbaik hampir mendahului seawal minit ketiga permainan tetapi hantaran Calum Giles gagal dirembat tepat oleh Stuart Head.

Malaysia cuba bangkit menerusi pukulan sudut penalti pertama di minit ke-11, namun pukulan yang dilakukan oleh S. Kuhan ditampan keluar oleh pertahanan lawan.

Pasukan lawan turut mendapat kesempatan terbaik untuk menghasilkan gol pertama pada minit ke-20 dan 26, tetapi berjaya diselamatkan oleh penjaga gol negara, Mohd. Nasihin Nubli dan kedudukan kekal tanpa jaringan.

Pada babak kedua, Britain yang menggandakan serangan membolosi gawang negara buat kali pertama apabila Giles merembat masuk pukulan sudut penalti pada minit ke-45.

Giles juga mencipta peluang untuk gol kedua Britain dengan menolak bola yang disempurnakan oleh Head pada minit ke-60.

Usaha keras barisan serangan negara hampir membuahkan hasil, dua minit kemudian apabila Shaiful Azli Abdul Rahman merembat masuk bola selepas pergelutan di depan pintu gol lawan, tetapi jaringan itu dibatalkan oleh pengadil.

Begitupun, Malaysia berjaya mendekatkan jurang seminit sebelum tamat permainan dengan ketua pasukan, Mirnawan Nawawi merembat masuk pukulan sudut penalti, tetapi sudah terlewat untuk memastikan tempat kelima.

Jurulatih negara, Stephen van Huizen bagaimanapun berpuas hati dengan persembahan anak buahnya walau pun hanya mampu menamatkan cabaran di tempat keenam.

''Bagi saya para pemain tidak hilang konsentrasi tetapi sudah memberikan persembahan terbaik mereka. Kita kurang mendapat pukulan sudut penalti, begitu juga serangan balas tersekat oleh pihak lawan.

''Tentang gol yang dibatalkan itu, bagi saya keputusan pengadil memang tepat dan tidak perlu dipersoalkan. Apa yang penting sekarang kita sudah layak ke Olimpik,'' kata Stephen.

Pengurus pasukan, R. Yogeswaran menyifatkan pertemuan menentang Jepun tetap kekal dalam ingatan kerana ia menjadi penyebab Malaysia ke Olimpik buat kali ketiga berturut-turut.

''Pertemuan itu akan kekal dalam ingatan kami. Jepun memberikan aksi terbaik mereka dengan semangat juang tinggi. Kami mendoakan Jepun berjaya dalam sukan ini di masa depan,'' katanya. - Daripada SAADON JAAFAR Utusan

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0320&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4T6tZyLQr © Utusan Melayu (M) Bhd

Detik gemilang -- Mirnawan, Saiful tunjuk aksi terbaik bantu Malaysia atasi Jepun

ARKIB : 19/03/2000
MELANGKAH ke Sukan Olimpik Sydney menjadi detik gemilang buat dua bekas pemain skuad Olimpik Barcelona 1992, Mirnawan Nawawi dan Nor Saiful Zaini Nasiruddin yang bakal mewakili negara buat kali ketiga berturut-turut.

Mirnawan, 28, dan Nor Saiful, 34, memberikan persembahan terbaik untuk memastikan Malaysia mencatat kemenangan 2-1 ke atas Jepun, semalam, sekali gus layak ke Olimpik.

''Jika tiada halangan saya dan Nor Saiful akan beraksi kali ketiga di Olimpik dan saya berjanji memberikan persembahan terbaik di Sydney nanti,'' kata Mirnawan yang juga ketua pasukan negara.

''Kami berjuang hingga tamat permainan dan ia lebih getir berbanding persaingan kelayakan di Auckland pada 1992 mahupun di Barcelona 1996, tetapi syukur kepada Tuhan kerana kami berjaya melakukannya,'' kata Nor Saiful.

Bagi penjaring gol kemenangan Malaysia, S. Kuhan, 24, pula kejayaan itu paling penting sepanjang kariernya dan menghadiahkan kemenangan itu buat semua penyokong Malaysia.

''Gol kemenangan ini paling penting sepanjang pembabitan saya dalam hoki. Saya tujukan kejayaan ini untuk pegawai, rakan sepasukan dan seluruh rakyat Malaysia yang memberi sokongan terhadap perjuangan kami di sini,'' ujar Kuhan.

Pemain pertahanan, Nor Azlan Bakar, 22, bersyukur kepada Tuhan kerana membolehkan kejayaan itu menyebelahi Malaysia.

''Saya bersyukur kepada Tuhan yang merestui perjuangan kami, selain kerjasama mantap sepasukan yang membuahkan hasil untuk kami ke Sukan Olimpik,'' ujarnya.

Pengurus pasukan, R. Yogeswaran lega dengan kejayaan itu walaupun Malaysia diberi tentangan sengit pasukan tuan rumah.

''Saya rasa cukup lega. Kejayaan ini hasil semangat berpasukan yang tinggi. Ia juga menaikkan martabat hoki di Malaysia,'' katanya.

Sebaik tamat sidang akhbar semalam, barisan pemain negara dengan penuh semangat menyanyikan lagu 'Barisan Kita' khusus untuk wartawan yang memberi sokongan kepada skuad negara. - Utusan

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0319&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4T6s8bxSM © Utusan Melayu (M) Bhd

Van Huizen yakin pemainnya dapat atasi Jepun -- Selangkah ke Sydney atau gulung tikar

ARKIB : 18/03/2000
HANYA satu langkah lagi bakal menjadi penentu sama ada Malaysia mampu menempah tiket buat kali ketiga berturut-turut ke Sukan Olimpik apabila menentang tuan rumah, Jepun pada pertemuan kalah mati di Stadium Hoki Nagai, Osaka, hari ini.

Walau pun rekod menyebelahi Malaysia dalam beberapa pertemuan sebelum ini, tetapi kebangkitan Jepun di peringkat kelayakan ini cukup menggambarkan kesediaan mereka untuk menamatkan kemarau penyertaan sejak 32 tahun lalu.

Jepun kali terakhir beraksi di Sukan Olimpik Mexico City pada 1968 dengan menduduki tangga ke-13 manakala Malaysia yang meraih tempat kesembilan di Barcelona 1992 kemudian jatuh ke tangga ke-11 di Atlanta, empat tahun lalu.

Begitupun, jurulatih negara, Stephen van Huizen tetap yakin Malaysia berupaya mencapai impian ke Olimpik kali ini jika mampu mengekang tuan rumah yang cukup mahir menghasilkan gol padang serta mendapatkan pukulan sudut penalti sebanyak mungkin.

''Jepun memiliki kelebihan kerana beraksi di gelanggang sendiri, tetapi mereka lebih tertekan dengan sokongan penonton dan kita mungkin bermain secara taktikal.

''Saya yakin kita mampu mencapai kemenangan jika barisan pertahanan berjaya melakukan tugas cemerlang untuk menyekat usaha mereka, selain mencari jalan mendapatkan pukulan sudut penalti,'' kata van Huizen.

Jurulatih negara itu terus giat melatih anak buahnya melakukan pukulan sudut penalti dan mengambil masa hampir setengah jam ketika sesi latihan untuk menajamkan lagi aspek tersebut.

Pengurus pasukan Jepun, Yuji Nagai pula menyifatkan Malaysia sebuah pasukan yang kuat dan mempunyai jentera pertahanan mantap, tetapi sudah merangka strategi untuk menggegarkan gawang negara.

''Ia pertemuan terpenting buat kami ke Olimpik, tetapi saya percaya kami juga berpeluang menang jika mampu mengatur serangan balas dengan cepat.

''Kami juga terpaksa berusaha memastikan Malaysia tidak mendapat pukulan sudut penalti kerana mereka bijak menggunakannya untuk menghasilkan gol. Kami akan cuba sekat mereka,'' kata Yuji.

Jurulatih Poland, Jerzy Wybieralski yang turut mengulas pertemuan getir itu berkata, Malaysia berpeluang menempah tempat ke Olimpik, tetapi perlu bersedia menghadapi kejutan pihak lawan.

''Jangan kata Jepun pasukan yang mudah dikalahkan, saya lihat mereka cukup bersemangat untuk mencipta kemenangan selain mahir mengawal bola.

''Malaysia pula perlu mencari jalan memperbaiki lagi prestasi turun naik mereka sekian lama, kalau tidak tentu sukar mencipta kemenangan lebih-lebih lagi berdepan tuam rumah,'' ujarnya.

Pandangan jujur Wybieralski ini perlu diambil kira jika prestasi sebenar negara pada peringkat kumpulan menjadi kuran di mana Malaysia tumpas 1-7 kepada Sepanyol dalam perlawanan pertama.

Ini diikuti kemenangan 7-1 ke atas Belarus, mengikat seri 4-4 dengan Argentina, menag 4-2 ke atas Switzerland dan kalah 2-5 kepada Pakistan.

Jepun pula kalah 2-4 kepada Britain, menang 2-0 ke atas Poland, diikuti jaringan sama ke atas New Zealand, sebelum tunduk 1-5 kepada Korea Selatan.

Pada pertemuan terakhir kumpulan Jepun diberi tentangan sengit untuk seri 3-3 dengan Belgium, tetapi semangat tinggi pemain menjadi pertaruhan utama mereka.

Apapun, pertemuan Malaysia-Jepun hari ini adalah segala-galanya buat skuad negara untuk ke Sydney dan hanya persembahan terbaik mampu meletakkan nama Malaysia di Sukan Olimpik buat kali ketiga berturut-turut. - Daripada SAADON JAAFAR Utusan

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0318&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4T6rGKM2W © Utusan Melayu (M) Bhd