Isnin, 12 Disember 2016

Kita perlu banyak gol

ARKIB : 19/11/1999
 SHINJI Iwata (kiri) dari Jepun dengan mudah diperdayakan oleh penyerang India, Dhanaraj Pillay pada perlawanan kumpulan B Kejohanan Hoki Piala Asia di Stadium Hoki Nasional, semalam. India menang 3-1.

TERLALU awal untuk menurunkan S. Shankar dalam kesebelasan utama walaupun skuad negara cuma menghadapi pasukan lemah, Hong Kong dalam aksi sulungnya pada Kejohanan Hoki Piala Asia Kelima, hari ini.

Ketua jurulatih negara, Stephen van Huizen berkata, Shankar tidak boleh diberikan tekanan kerana kejohanan itu berbeza dengan perlawanan persahabatan atau ujian.

''Jangan pandang rendah kemampuan Hong Kong kerana apa saja boleh berlaku,'' kata Stephen di Bukit Jalil, Kuala Lumpur, semalam.

Shankar, 19, benteng bertubuh kecil mula memikat Stephen ketika perlawanan persahabatan menentang Korea Selatan, Selasa lalu.

Pemain Projek 2001 ini menyerlah biarpun cuma lima kali bersama skuad kebangsaan sejak Ogos lalu.

Dalam pada itu, peranan tulang belakang utama ketika ini masih menjadi rebutan antara K. Gobinathan dan Zam Zam Mohd. Ali.

''Selepas Maninderjit Singh digugurkan, saya mesti memilih salah satu daripada mereka.

Sementara pemain lain yang pasti diturunkan termasuk Mirnawan Nawawi, Nor Saiful Zaini Nasiruddin, Suhairi Saidi serta S. Kuhan.

Malaysia membelasah Hong Kong 9-0 dalam pertemuan terakhir mereka pada Sukan Asia Bangkok, tahun lalu.

Stephen berkata, setiap perlawanan amat penting bagi Malaysia dan cuma kemenangan dapat memastikan sasaran mara ke separuh akhir tercapai.

''Kita perlu cari seberapa banyak gol yang mampu membantu jika kedudukan terikat dengan pasukan dalam kumpulan B,'' katanya.

Sementara itu, India membuka kumpulan B dengan meyakinkan apabila membenam Jepun 3-1 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, semalam.

Dilip Tirkey menggegar gawang Jepun, minit keempat serta Ajit Singh Gagan (22) dan Dinesh Nayar (51).

Jepun beroleh gol tunggalnya apabila Akira Takahashi memanfaatkan sudut penalti ketiga pasukannya (56).

Dalam perlawanan kumpulan A, China menewaskan Sri Lanka 4-0 menerusi dua jaringan Gao Feng, Guo Jie dan Wang Yang.

Oleh: ABDUL HAFIZ AHMAD

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1119&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4ShNK8abq © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan