Selasa, 6 Disember 2016

Hoki: Malaysia terus cemerlang

ARKIB : 14/08/1999
PEMAIN Malaysia, Amin Mohd Rahim berjaya menewaskan pemain Indonesia, Yohannes Parera pada perlawanan hoki lelaki Sukan SEA XX semalam. Malaysia menang 8-0.

MALAYSIA mencatat jaringan terbesar acara hoki lelaki Sukan SEA XX Brunei dengan mengganyang Indonesia 8-0 pada perlawanan terakhir secara liga di Stadium Hoki Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan, semalam.

Pesta gol dirayakan melalui hatrik dari pakar pukulan sudut penalti negara, S. Kuhan di samping satu gol masing-masing daripada Faizal Daud, Amin Rahim, Razak Saidin, S. Nishel Kumar dan V. Vasan untuk terus memperkukuhkan kedudukan Malaysia menjelang perlawanan akhir hari ini.

Indonesia yang masih belum setaraf sekalipun dengan barisan kelab Liga Hoki Remaja, ternyata akur dengan ledakan kencang Kuhan pada minit ketiga, 28 dan 34 serta Faizal (keenam), Amin (15), Razak (23), Nishel (37) dan Vasandan (49).

LDibarisi sebahagian besar pemain remaja Projek 2001, Malaysia akan mempertahankan pingat emasnya buat kali keempat berturut-turut sejak Sukan SEA 1993 apabila menentang Singapura, hari ini.

Cuma enam pemain kebangsaan berada dalam barisan ke Brunei kali ini iaitu Kuhan, Mirnawan Nawawi, Chairil Anwar Aziz, M. Kaliswaran, Razak Saidin dan Badrul Hisham Osman.

Pada pusingan awal, anak buah V. Sasidharan ini membenam Singapura 7-0 selain mara dengan rekod cemerlang menerusi deretan kemenangan ke atas Thailand 5-0 dan Brunei 1-0.

''Tiada masalah untuk kami mempertahankan emas. Hanya yang perlu dibuat oleh pemain ialah jangan terlalu yakin dan sentiasa berwaspada,'' kata Sasidharan.

Jumlah 21 gol selepas empat perlawanan tanpa bolos, sudah cukup mengesahkan emas dalam genggaman Malaysia yang turun ke Brunei dengan reputasi naib juara Sukan Komanwel XVI Kuala Lumpur, tahun lalu.

Sementara itu, Thailand yang membuat persiapan rapi di Korea Selatan sebelum Sukan SEA, kian menunjukkan peningkatan aktif dan mampu mengulangi kejayaan meraih emas hoki wanita pada temasya di Chiang Mai 1995.

Malaysia tetap tampil selaku pilihan utama apabila menentang Thailand pada perlawanan akhir lelaki hari ini dan tidak patut mensia-siakan peluang meraih gelaran sulung dalam kejohanan antarabangsa sejak Sukan Komanwel, September tahun lalu.

Malaysia memiliki pengalaman dan bimbingan bekas pemain berpengalaman antarabangsa, Wallace Tan tetapi kadang-kala mudah alpa dengan membiarkan diri bermain di bawah tekanan sehingga lawan mencipta gol mudah.

Pemain berpengalaman Sukan Komanwel - Daring Nyoking dan pasangan bersaudara, Che Kueylani dan Che Inan Melati Ibrahim merupakan antara tenaga utama untuk diharap mengalungkan emas kali kedua selepas Jakarta 1997. - Utusan.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0814&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4S809wDya © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan