Sabtu, 15 September 2018

Gol minit akhir gagal julang Malaysia


 

ARKIB : 15/05/2009
Oleh ZULKIFLI MANZOR
utusanpahang@utusan.com.my
Pemain Malaysia, Sukri Mutalib (bawah) diasak pemain Pakistan, Haider Abbas pada perlawanan separuh akhir Hoki Piala Asia VIII di Wisma Belia di Kuantan, semalam. Malaysia tewas 2-4. - UTUSAN/RUSHDI SALLEH

KUANTAN - Pasukan hoki Malaysia gagal mara ke peringkat akhir Kejohanan Hoki Asia VIII selepas tewas kepada pasukan Pakistan 2-4 malam tadi walaupun percubaan gol minit-minit akhir dilakukan.

Ternyata Pakistan yang merupakan antara pasukan gergasi dunia sukar ditandingi pasukan negara walaupun Malaysia memberi tentangan yang cukup sengit pada perlawanan berkenaan.

Dengan kekalahan itu bermakna pasukan negara akan berhadapan dengan China bagi menentukan kedudukan tempat ketiga dan keempat Sabtu ini di Stadium Hoki Indera Mahkota.

Pada perlawanan bermula pukul 7.30 petang malam tadi, kedua-dua pasukan dilihat memulakan rentak perlawanan dengan corak permainan sama iaitu saling melancarkan serangan mengejut ke pintu gol lawan.

Namun, corak permainan seperti itu ternyata memberi kelebihan buat pasukan hoki Pakistan yang dilihat lebih mudah menggoyahkan benteng pertahanan negara.

Manakala, serangan-serangan mengejut yang dilancarkan Malaysia pula kelihatan mudah dikekang benteng pertahanan Pakistan yang lebih berkeyakinan mengawasi pintu gol mereka.

Walaupun gol sulung perlawanan diperoleh oleh Malaysia melalui gerakan cantik Ismail Abu pada minit ke-3, tetapi pasukan negara sekadar mampu mengekalkan mata tersebut hingga minit-minit terakhir perlawanan.

Tetapi, pasukan hoki Pakistan yang tersentak dengan jaringan itu kembali memperkemaskan serangan dan mengasak pintu gol negara hingga akhirnya pemain mereka, Rehan Butt menyerikan kedudukan pada minit ke-19.

Pada perlawanan separuh masa, kedua-dua pasukan dilihat masih mengekalkan corak permainan yang sama dengan saling melancarkan serangan-serangan mengejut untuk mendapatkan mata dan mendahului pihak lawan.

Bagaimanapun, pada minit ke-47 permainan, kealpaan benteng pertahanan negara mengundang padah apabila pemain Pakistan, Akhtar Ali menjaringkan gol kedua buat pasukan itu untuk mendahului Malaysia.

Pasukan negara cuba bangkit menyamakan kedudukan, malangnya setiap serangan yang diatur oleh anak buah Tai Beng Hai seakan-akan mudah dibaca dan dihalang Pakistan.

Beberapa minit terakhir sebelum perlawanan tamat, pasukan negara sekali lagi tersentak apabila Butt sekali lagi menjaringkan gol pada minit ke-63.

Tidak sampai tiga minit, sekali lagi Pakistan melalui Haseem Khan menyumbat gol keempat yang menyaksikan pasukan negara mula kehilangan rentak permainan.

Pantang mengundur, pemain negara, Ismail Abu bagaimanapun mengurangkan aib kekalahan dengan memperoleh gol kedua negara pada minit-minit terakhir perlawanan melalui pukulan sudut penalti.

Sementara itu, Beng Hai ketika ditemui pemberita selepas tamat perlawanan berkata, walaupun tewas, dia tetap berpuas hati atas komitmen yang dipamerkan pemain negara sepanjang kejohanan.

''Ia satu perlawanan yang sengit menentang Pakistan dan saya berharap skuad negara akan memberi komitmen tinggi dalam penentuan tempat ketiga dan keempat ketika menentang China nanti,' katanya.

Beng Hai menambah, persediaan latihan selama empat setengah bulan yang dilalui Malaysia telah menunjukkan hasil yang baik dan pasukan hoki negara kini bertambah baik berbanding sebelum ini.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0515&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5RDSDQWGx
© Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 18 Mac 2018

Hoki: India juara kalahkan Malaysia


ARKIB : 13/04/2009
IPOH - India muncul juara kali keempat Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah ke-18 mengalahkan Malaysia 3-1 di Stadium Azlan Shah, Ipoh malam tadi.

India yang menduduki ranking ke-11 dunia pernah muncul juara kejohanan itu pada tahun 1985, 1991 dan 1995 lalu.

Kekalahan itu membuatkan Malaysia terus kempunan untuk menjulang piala yang diperkenalkan pada tahun 1983 itu.

Skuad bimbingan Tan Beng Hai yang menduduki ranking ke-15 dunia itu pernah muncul naib juara pada tahun 2007 dan 1985.

Apa pun, skuad negara berjaya mempamerkan persembahan mantap sejak awal permainan apabila Hafifihafiz Hanafi nyaris mendapat gol awal pada minit kedua tetapi tolakannya tersasar keluar.

Dalam keghairahan Malaysia menyerbu pintu lawan, India turut bangkit melakukan serangan balas.

Akhirnya, tolakan deras Arjun Halappa pada minit kelapan gagal diselamatkan oleh penjaga gol Malaysia, S. Kumar bagi gol pertama India.

Ketinggalan satu gol itu telah menyemarakkan semangat para pemain kebangsaan untuk mendapatkan gol penyamaan dengan melancarkan serangan yang bertali arus.

Dalam pada itu, New Zealand berjaya mengulangi kedudukan tahun lalu apabila mengalahkan Pakistan 2-1 bagi meraih tempat ketiga.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0413&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_10.htm#ixzz5A9lzKC1N
© Utusan Melayu (M) Bhd

Malaysia mula cemerlang


ARKIB : 06/04/2009
IPOH - Malaysia memulakan cabaran dengan baik apabila berjaya menjinakkan Pakistan 3-2 dalam perlawanan hoki Piala Sultan Azlan Shah ke-18 di Stadium Azlan Shah, Ipoh semalam.

Tirai jaringan gol Malaysia dibuka oleh Mohd. Amin Rahim pada minit ke-8 setelah berjaya menyempurnakan pukulan sudut pendek bagi menumpaskan penjaga gol Pakistan, Ehsan Ullah.

Serangan pantas Pakistan berjaya menyamakan kedudukan melalui rembatan kencang oleh Shakeel Abbasi pada minit ke-10.

Pasukan tuan rumah yang disokong oleh hampir 1,000 penonton tempatan berjaya mempamerkan persembahan yang menarik bagi menambahkan gol.

Kerja keras anak buah Tai Beng Hai turut membuahkan hasil apabila rembatan kencang Mohd. Nasrun Nabil Abdullah berjaya menggegarkan pintu gol Pakistan pada minit ke-29.

Separuh masa kedua, Pakistan yang menduduki ranking kelapan dunia itu bangkit semula melakukan serangan yang bertali arus.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0406&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_09.htm#ixzz5A9DEEH11
© Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 19 Januari 2018

Malaysia menang tipis ke atas Singapura


 

ARKIB : 14/03/2009
Malaysia menang tipis ke atas Singapura
Oleh ARIF NIZAM ABDULLAH
utusanjohor@utusan.com.my
PENYERANG Malaysia, Saari Faizal (kanan) dihalang pemain pertahanan Singapura, Mohd. Ali Muhammad Faris pada Kejohanan Hoki Remaja Undangan Empat di Stadium Taman Daya, Johor Bahru semalam. Malaysia menang 2-1. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU - Malaysia melengkapkan jadual perlawanan Kejohanan Hoki Remaja Undangan Empat Negara dengan kemenangan tipis 2-1 ke atas Singapura di Stadium Hoki Taman Daya di sini, semalam.

Tewas dua perlawanan awal kepada India dan Pakistan, kejayaan skuad bimbingan K.Rajan tidak memberi sebarang makna apabila kedua-dua pasukan akan bertemu sekali pada penentuan tempat ketiga dan keempat, petang esok.

Malaysia bermula garang apabila mendahului seawal minit ke-5 perlawanan menerusi ledakan Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin hasil gol padang selepas berjaya mengelecek dua pertahanan lawan.

Namun tempo permainan skuad remaja bawah 21 itu kembali mendatar dan keputusan 1-0 kekal hingga separuh masa pertama.

Empat minit babak kedua bersambung, Singapura yang dilatih oleh bekas pemain negara, Lim Chiow Chuan hampir menyamakan kedudukan namun kecekapan penjaga gol, Abdul Hakim Adnan berjaya menafikan pukulan sudut penalti pemain lawan.

Malaysia terus berada di depan pada minit ke-47 apabila Faizal Saari menjaringkan gol kedua Malaysia menerusi gerakan cantik hasilan pukulan sudut penalti yang mengelirukan penjaga gol lawan, Lee Quan Hwa.

Selepas gol itu, perlawanan tiba-tiba menjadi rancak apabila kedua-dua pasukan saling bertukar serangan namun Abdul Hakim tetap ampuh mengawal gawang apabila melayang badan menepis pukulan sudut penalti pemain lawan pada minit ke-51.

Singapura bagaimanapun mendapat sedikit penawar apabila pukulan sudut penalti yang diambil Silas Abdul Razak menerjah tepat ke dalam jaring tuan rumah pada minit ke-59.

Malaysia mampu menjarakkan kedudukan pada minit ke-60 namun pukulan kilas Izwan Firdaus terkena tiang gol Singapura manakala dua minit berselang, peluang berdepan satu dengan satu antara penjaga gol lawan juga tidak dapat disempurnakan oleh pemain sama dan memaksa keputusan 2-1 kekal hingga ke wisel penamat.

Sementara itu pada perlawanan terdahulu, India menewaskan Pakistan 3-1 bagi mengekalkan kemenangan bersih tiga perlawanan.

Kedua-dua pasukan akan bertemu pada perlawanan akhir esok apabila berjaya menduduki dua pasukan teratas kumpulan.



SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0314&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz54gN0eHOr

© Utusan Melayu (M) Bhd

Skuad remaja negara tumpas

ARKIB : 12/03/2009
Oleh ARIF NIZAM ABDULLAH
sukan@utusan.com.my
JOHOR BAHRU - Malaysia gagal mengutip mata penuh dalam perlawanan pembukaan Kejohanan Hoki Remaja Undangan Empat Negara apabila tumpas 1-3 kepada India di Stadium Hoki Taman Daya di sini, semalam.

Kepantasan lawan dan kegagalan skuad negara mengawal permainan merupakan faktor utama kekalahan tersebut hingga membenarkan India mendapat 11 pukulan sudut pendek dalam perlawanan yang dianggap berat sebelah itu.

India dilihat bijak menggunakan kelajuan pemainnya ketika menewaskan skuad kendalian K. Rajan itu apabila berjaya mempamerkan aksi menggelecek menerusi kawalan bola yang baik.

Namun pujian harus diberikan kepada penjaga gol negara, Adnan Abdul Hakim yang menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya lawan terutamanya menerusi pukulan sudut pendek yang bertali arus.

India yang mengasak sejak minit pertama perlawanan bagaimanapun terpaksa menunggu hingga ke penghujung separuh masa pertama untuk mendapat gol sulung hasil kelam-kebut di depan pintu gol menerusi jaringan padang S.Victo.

Namun gerakan menarik hasil pukulan sudut pendek antara Saari Faizal dan Ahmad Tajuddin Izwan Firdaus pada minit ke-42 membolehkan Malaysia menyamakan kedudukan menjadi 1-1.

Kedudukan itu hanya bertahan lima minit sahaja apabila India kembali di depan menerusi gol H. Belsegar yang tepat menuju ke jaring hasil pukulan sudut penalti.

Koordinator pasukan Malaysia, Paul Lissek yang ditemui berkata, kekalahan skuad negara itu berpunca sikap pemain yang membiarkan pasukan lawan merasakan diri mereka lebih kuat.

"Pemain perlu bijak mengawal permainan dan mengelak melakukan kesilapan mudah. Mereka harus mengetahui bagaimana untuk menghadapi ancaman lawan yang pantas menyerang dan bertahan," katanya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0312&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz54gEeHLJt

© Utusan Melayu (M) Bhd