Selasa, 28 November 2017

Jepun sekat langkah Malaysia dengan kemenangan 3-1

ARKIB : 15/07/2008
HYDERABAD - Malaysia gagal melangkah ke peringkat separuh akhir Kejohanan Hoki Remaja Piala Asia selepas tewas 1-3 kepada Jepun di Stadium Gachibowli di sini, semalam.

Walaupun Malaysia mendahului pada minit ke-19 menerusi ledakan Mohd. Marhan Mohd. Jalil hasil gol padang, pasukan muda itu gagal menyaingi kepantasan dan kemahiran pemain Jepun.

Jepun yang hanya memerlukan keputusan seri untuk melangkah ke perlawanan separuh akhir, menyamakan kedudukan pada minit ke-28 menerusi gol padang oleh Ken Yoshikawa.

Ryota Kubos menjaringkan gol kedua Jepun pada minit ke-35 menerusi pukulan sudut penalti, dan Yoshikawa sekali lagi bertindak cemerlang untuk menjaringkan gol ketiga Jepun pada minit ke-60.

Dalam perlawanan Kumpulan B, semalam Pakistan menumpaskan Bangladesh 8-2 untuk mara ke separuh akhir, dan satu lagi pasukan yang akan beraksi di peringkat separuh akhir dalam kumpulan itu ialah Korea Selatan.

Dalam Kumpulan A selain Jepun, tuan rumah yang juga penyandang juara, India, melayakkan diri ke peringkat separuh akhir.

Sementara itu, Malaysia sebagai tuan rumah bersama Kejohanan Hoki Remaja Piala Dunia tahun depan, secara automatik layak ke kejohanan itu nanti. Malaysia dan Singapura akan menjadi tuan rumah bersama Kejohanan Hoki Remaja Piala Dunia 2009.

- Bernama
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0715&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4zjtbRxmJ

© Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 25 November 2017

Skuad kita tercorot

ARKIB : 16/05/2008
IPOH - Malaysia menduduki tangga tercorot selepas tumpas 2-4 kepada Belgium pada Kejohanan Hoki Piala Azlan Shah, semalam, lapor KAMARUDDIN ISMAIL.

Skuad bimbingan jurulatih, Sarjit Singh dikejutkan dengan gol pertama Belgium menerusi Charles Vandeweghe pada minit ke-20.

Para pemain negara telah bekerja keras bagi mengekang kemaraan pemain-pemain Belgium yang semakin bersemangat.

Bagaimanapun, Malaysia bangkit menyamakan kedudukan melalui pukulan sudut pendek Mohd. Amin Rahim pada minit ke-25.

Belgium yang akan beraksi dalam Sukan Olimpik Beijing kembali di depan apabila rembatan kencang Vandeweghe gagal diselamatkan oleh penjaga gol S. Kumar pada minit ke-43.

Kedudukan tersebut tidak kekal lama apabila pakar pukulan sudut pendek negara, Mohd. Amin bingkas menyamakan kedudukan pada minit ke-46 menerusi pukulan sudut pendek.

Belgium terus memburu gol dan berjaya mendapatkan gol ketiga melalui pukulan sudut pendek yang disempurnakan oleh Jerome Dekeyser pada minit ke-52.

Pasukan lawan terus mengukuhkan kedudukan apabila Jerome Truyens menjaringkan gol keempat pada minit ke-68.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0516&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4zWHsLJwj

© Utusan Melayu (M) Bhd

Malaysia catat kemenangan pertama

ARKIB : 12/05/2008
IPOH - Malaysia mencatat kemenangan pertama menumpaskan New Zealand 2-0 dalam Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah di Stadium Azlan Shah, Ipoh malam semalam.

Penyerang berpengalaman, Azlan Misron dan penyerang muda, S. Selvaraju menyumbangkan gol kemenangan tersebut minit ke-34 dan minit ke-43.

Malaysia yang kalah dalam perlawanan pembukaan kepada Pakistan 2-3, Khamis lalu telah mempamerkan persembahan menarik dari awal permainan.

Kombinasi Chuan Boon Huat, S. Selvaraju, Kavinder Singh dan Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil telah bekerja keras bagi mendapatkan gol.

Namun begitu, benteng pertahanan Kiwi yang dibarisi oleh Dean Couzins, Hayden Shaw, Blair Hopping dan Andrew Hayward begitu liat untuk dibolosi oleh penyerang negara.

Penjaga gol Malaysia, S. Kumar perlu diberi pujian apabila berjaya menangkis beberapa cubaan berbahaya New Zealand melalui Simon Child dan Phillip Burrows.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0512&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz4zS6O3L5T

© Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 19 November 2017

Malaysia bernafas kembali



ARKIB : 11/04/2008

KUALA LUMPUR - Malaysia kembali menghidupkan peluang untuk layak ke Sukan Olimpik Beijing Ogos ini, selepas mencatatkan kemenangan ke atas pasukan Switzerland 4-3 di Kakamigahara, Jepun semalam, lapor FERZALFIE FAUZI.

Gol Malaysia disumbangkan oleh Muhd. Razie Abd. Rahim pada minit ke-15, 67, manakala dua gol lagi dijaringkan oleh Chua Boon Huat pada minit ke-35 dan Kevinder Singh Makbul Singh pada minit ke-41 yang memberikan tiga mata berharga buat Malaysia.

Perlawanan pada separuh masa pertama agak seimbang di antara kedua-dua pasukan walaupun Malaysia mendahului pada separuh masa pertama melalui jaringan padang Muhd. Razie pada minit ke-15.

Selang beberapa saat selepas itu Malaysia dikejutkan dengan jaringan penyamaan pantas Switzerland menerusi sentuhan mudah Thomas Gahwiler.

Bagaimanapun Malaysia kembali mendahului pasukan dari Eropah itu menerusi jaringan pemain berpengalaman, Chua Boon Huat pada minit ke-35 menerusi pukulan cantik sebelum perlawanan separuh masa pertama ditamatkan.

Enam minit selepas perlawanan bersambung Kevinder Singh menjaringkan gol ketiga Malaysia tatkala pemain negara menguasai permainan pada awal babak kedua dan pada minit ke-51, Ismail Abu mempunyai peluang untuk menjadikan kedudukan 4-1 namun pukulannya tersasar.

Switzerland menambah jaringan menerusi Thomas Gahwiler pada minit ke-64 selepas menerima hantaran kebelakang yang menarik dari Ulrich Bergman, bagaimanapun Malaysia yang menguasai permainan pada babak kedua berjaya menambah jaringan menerusi Muhd. Razie lima minit sebelum perlawanan tamat.

Dalam masa tambahan Switzerland berjaya menjaringkan gol ketiga melalui pukulan sudut penalti oleh Philip Keller tetapi sudah terlambat untuk menyekat kemenangan Malaysia.

Skuad negara harus mencatatkan kemenangan ketika bertemu Jepun esok dalam perlawanan terakhir peringkat round robin. Dua pasukan teratas kumpulan itu akan bertemu dalam perlawanan akhir.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0411&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4ysFKKZCX
© Utusan Melayu (M) Bhd