Khamis, 24 September 2020

Faizal, Fitri pacu Terengganu ke final

 SUKAN



FAIZAL (kanan) mendahului senarai penjaring terbanyak dengan 15 gol dan berjaya membantu Terengganu menewaskan Pahang 4-3 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil semalam. – HOKITA

Faizal, Fitri pacu Terengganu ke final

Oleh MUHAMMAD ZUHAILY BADLISHAH

24 September 2020, 10:22

PASANGAN adik-beradik, Faizal dan Mohd. Fitri Saari menepati tanggapan bahawa mereka berdua berhak disenaraikan dalam barisan pemain skuad hoki kebangsaan selepas ini.

Arena hoki negara sebelum ini dikejutkan dengan berita pengguguran Faizal, 29, dan Fitri, 27, daripada skuad kebangsaan ketika di bawah kendalian bekas pengendali dari Belanda, Roelant Oltmans awal tahun ini.

Walaupun sudah lama tidak beraksi, namun ia tidak menjejaskan prestasi kedua-dua pemain itu yang menjadi tunjang utama kejayaan Terengganu mara ke pentas final Piala Tun Abdul Razak musim ini.

Mereka berdua terutama Faizal yang kini mendahului senarai penjaring terbanyak dengan 15 gol, berjaya membantu Terengganu menewaskan Pahang 4-3 dalam aksi sengit separuh akhir di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil semalam.

Saya mahu membantu Terengganu muncul juara musim ini. Jika berjaya, ia amat bermakna buat saya selain meraih anugerah sebagai penjaring terbanyak,” katanya selepas tamat perlawanan.

Dalam aksi itu, Fitri berjaya memainkan peranan sebagai arkitek bahagian tengah selain berjaya menjaringkan dua gol pantas dalam tempoh seminit iaitu pada minit kelima dan keenam.

Faizal yang selama ini diberi gelaran sebagai ‘mesin gol’ Malaysia terus mempamerkan ketajamannya apabila turut berjaya menjaringkan dua gol buat Terengganu pada minit ke-20 dan 59.

Pahang yang berhempas pulas dalam perlawanan itu terpaksa akur gagal ke final walaupun berjaya meledak tiga gol melalui Muhammad Firdaus Noor Rosdi pada minit ketiga dan Muhammad Idris Samad (m-52, m-59)..SUMBER-SUKAN KOSMO ONLINE

Selasa, 22 September 2020

Piala Razak : Perak, Selangor seri

MyMetroArena



Ferzalfie Fauzi

ferzalfie@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Walaupun seri 2-2 menentang Selangor pada aksi terakhir peringkat kumpulan, Perak tetap berasa lega kerana salah satu objektif mereka di Kejohanan Hoki Piala Tun Abdul Razak tercapai iaitu melayakkan diri ke suku akhir.

Menurut jurulatih Perak, Roslan Jamaluddin, beliau bersyukur kerana anak buahnya berjaya berdepan skuad Selangor yang dilihatnya sangat berdisiplin.

"Walaupun perlawanan agak seimbang saya tidak nafikan kita ada banyak terlepas peluang untuk menjaringkan gol. Pasukan Selangor pula berdisiplin cuba gagal menambahkan jaringan," katanya selepas perlawanan tamat.

Ujar bekas penjaga gol kebangsaan itu, selepas ini mereka perlu mempertingkatkan lagi ketajaman di depan gol apabila beraksi di suku akhir.

"Jadi kami harus lebih fokus pada perlawanan akan datang. Bagaimanapun, saya tetap puas hati walaupun di bahagian pertahanan terdapat beberapa kesilapan dilakukan," katanya.

Dalam aksi petang tadi di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, pasukan Selangor berada di depan hasil gol padang Zafri Afiq Nor Azlan pada minit ke-24.

Bagaimanapun, gol penyamaan Perak berjaya disumbang pemain kebangsaan, Azrai Aizad Abu Kamal pada minit ke-31.

Selangor sekali lagi kembali di depan kali ini menerusi jaringan padang Syamil Azim Dzulkafly pada minit ke-35, sebelum Perak menyamakan kedudukan lima minit kemudian hasil pukulan sudut penalti Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan.

Mengiringi Perak ke suku akhir dari Kumpulan B ialah Sabah yang berjaya membelasah Johor 5-0.

sumber-Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 September 2020 @ 8:23 PM

Selasa, 15 September 2020

Faizal intai skuad kebangsaan

MyMetroArena



Malik Muhamad

sukan@hmetro.com.my

BEKAS penyerang pasukan hoki kebangsaan, Faizal Saari tekad mahu jadikan Kejohanan Hoki Piala Tun Abdul Razak yang bakal membuka tirainya pada Jumaat ini di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil sebagai medan terbaik buatnya untuk menambat hati pengendali pasukan kebangsaan, Arul Selvaraj.

Penyerang Terengganu itu juga mahu buktikan kelibatnya masih berbisa walaupun sebelum ini disisihkan oleh bekas ketua jurulatih kebangsaan dari Belanda, Roelant Oltmans bersama adiknya, Fitri.

"Saya rasa bangga dan berbesar hati mewakili Terengganu pada tahun ini, saya harap dengan penampilan dalam kejohanan Piala Razak ini bakal menjadi penanda aras untuk kembali mewarnai pasukan kebangsaan.

"Sebelum ini saya ada mewakili Terengganu dalam kejohanan ini (Piala Razak), tapi dua tahun lepas saya tidak dapat mewakili Terengganu kerana perlu dahulukan pasukan kebangsaan, jadi ini peluang terbaik untuk membuktikan kemampuan kerana sudah tentu saya bersemangat tinggi untuk mendapatkan Piala Razak ini yang sudah pasti menjadi rebutan semua pasukan termasuk Terengganu," katanya.

Faizal (kanan) dan adiknya, Fitri

Mengenai saingan dalam pasukannya yang turut dibarisi ramai pemain kebangsaan, Faizal yang pernah berkelana bersama kelab Mumbai Magicians di India pada 2013 menjelaskan perkara itu normal dan perlu ada dalam pasukan jika mahu meningkat.

"Bagi saya lagi banyak saingan lagi bagus kerana kita perlu bersaing secara sihat dalam pasukan untuk maju, jadi harapan saya kepada rakan sepasukan juga begitu dan paling penting kami perlu serasi ketika bermain dan fokus.

"Ini kerana saingan Piala Razak tahun ini bukan mudah buat kami sebab kita lihat pasukan lain juga seperti Kuala Lumpur dan Perak juga menyenaraikan ramai pemain kebangsaan, lagipun piala ini ada prestijnya yang tersendiri iaitu trofi paling lama.

"Tapi pasukan mana yang mengambil peluang terbaik mereka sudah pasti akan berjaya, jadi mereka yang terpilih dalam pasukan perlu menonjolkan persembahan menarik bagi memastikan piala itu menjadi milik Terengganu musim ini," katanya.

Sebelum ini Persatuan Hoki Negeri Terengganu (PHNT) menyenaraikan bekas pengendali berpengalaman kebangsaan, Tai Beng Hai untuk membimbing pasukan itu yang dibantu bekas pemain Terengganu, Nordin Musa.

Berdasarkan rekod, Terengganu yang bakal membuat perhitungan dengan Selangor dan PDRM pada Jumaat ini hanya menduduki tempat ketiga musim lalu dan naib juara pada 2018, namun dengan deretan pemain kebangsaan termasuk Akhimullah Anuar Essok, Shahrun Nabil dan penjaga gol, Zaimi Mat Deris, sudah pasti skuad itu mempunyai peluang cerah untuk merangkul kejuaraan musim ini.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 September 2020 @ 6:10 PM