Selasa, 13 April 2021

Arul kekal 21 pemain hadapi Great Britain, Jepun

| | 13 April 2021




Penyerang berbisa, Faizal Saari antara pemain yang dikekalkan dalam skuad kebangsaan.
SERAMAI 22 pemain termasuk seorang muka baharu disenaraikan ketua jurulatih skuad hoki kebangsaan, Arul Sevaraj bagi menghadapi siri aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil bermula 17 hingga 24 April ini.
Khidmat pertahanan Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Muhammad Azri Hassan kembali ditagih untuk menguatkan barisan terakhir skuad kebangsaan sementara 21 pemain lagi dikekalkan menjelang aksi tiga penjuru menentang Great Britain dan Jepun dalam siri perlawanan tersebut.
Arul menyifatkan barisan pemain berpengalaman dan memiliki kualiti amat diperlukan pada kem latihan skuad kebangsaan bermula Khamis ini, selain melihat aksi persahabatan yang telah diatur bukan sesuatu yang mudah untuk anak buahnya.
Beliau berkata, beberapa pemain dipanggil turut masih dihimpit kecederaan ringan yang dialami sewaktu saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) yang berakhir awal bulan ini, namun ia sedang dipantau rapi pakar fisioterapi skuad kebangsaan daripada Institut Sukan Negara (ISN).
“Aksi persahabatan bersama Great Britain dan Jepun pastinya bukan mudah kerana mereka dalam fasa persiapan secara mental dan fizikal menuju Sukan Olimpik Tokyo sementara skuad negara masih dalam fasa mempersiapkan pasukan bagi kejohanan antarabangsa yang akan datang.
"Saya juga perlu pemain berpengalaman dan Muhammad Azri pemain yang bagus, beliau telah beraksi dengan cukup baik pada saingan liga baru-baru ini selain tidak asing dalam pasukan kebangsaan, jadi tidak salah saya memberi beliau peluang sekali lagi," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Muhammad Azri, 29, telah mengumpul 101 penampilan bersama skuad kebangsaan dan antara pemain yang beraksi pada aksi final temasya Sukan Asia 2018 di Indonesia.
Seramai 22 pemain yang dipanggil menyertai pasukan kebangsaan kali ini terdiri daripada 10 pemain Tenaga Nasional Berhad (TNB), tujuh pemain UniKL, tiga pemain Maybank dan dua pemain mewakili pasukan Terengganu Hockey Team (THT).
Dalam pada itu, Arul komited untuk memberikan fokus sepenuhnya termasuk kepada perkara-perkara kecil dalam membentuk kembali keampuhan skuad The Speedy Tigers.
"Ini termasuk bekerjasama dengan mereka (pemain) dari sudut rasa bertanggungjawab, kepimpinan dalam pasukan sama ada di dalam mahupun di luar padang serta membuat keputusan demi pasukan. Saya juga akan memberikan fokus bagi memperkukuhkan lagi struktur di barisan pertahanan,” katanya. - Bernama
SUMBERArtikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/133417/BERITA/Sukan/Arul-kekal-21-pemain-hadapi-Great-Britain-Jepun© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf