Sabtu, 16 Disember 2017

Pemain boleh kena buang

ARKIB : 15/01/2009
KUALA LUMPUR - Pemain hoki remaja negara yang didapati terlibat dengan gejala merokok tidak akan diberi peluang dan akan dibuang jika didapati bersalah, lapor HISYAMUDDIN AYUB.

Pengurus pasukan Projek Hoki 2013 Malaysia, Mirnawan Nawawi menegaskan, dia telah memberi amaran kepada para pemain remaja negara agar menjauhi aktiviti itu atau dikenakan tindakan tegas.

"Saya telah menerangkan kepada mereka tentang etika seorang pemain hoki negara dan saya tidak boleh menerima mereka sebagai pemain hoki negara jika terlibat dengan gejala merokok.

"Ia merupakan kesalahan besar, terutamanya mereka itu masih di bangku sekolah. Secara jelasnya, jika mereka merokok, individu tersebut telah pun melanggar peraturan sekolah dan ia bertentangan dengan etika sebagai seorang pemain negara yang perlu menjaga kesihatan diri," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Ketua Pengarah Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Dr. Ramlan Aziz di dalam akhbar berbahasa Inggeris semalam mengenai isu merokok di kalangan pemain hoki yang menjadi antara penyumbang kemerosotan prestasi skuad negara.

Ditanya mengenai tindakan yang bakal dikenakan kepada pemain remaja yang terlibat dengan masalah tersebut, Mirnawan berkata, segala tindakan akan diteliti satu persatu terlebih dahulu.

"Apa yang pastinya, setiap kesalahan akan dikenakan tindakan tegas termasuk membuang mereka daripada senarai barisan pemain dan pihak saya tidak akan bertolak ansur dalam masalah disiplin pemain.

"Kumpulan ini adalah pemain pelapis negara di masa hadapan. Jika ingin membentuk skuad tersebut, masa ini adalah waktu terbaik untuk melentur mereka sebagai pemain terbaik negara," katanya.

Dalam pada itu, Penolong Jurulatih Negara, Tai Beng Hai menegaskan, gejala yang diutarakan oleh Dr. Ramlan itu hanya dilakukan oleh segelintir kecil pemain yang berada di bawah kendaliannya itu,

Namun katanya, tabiat buruk merokok bukanlah satu perkara yang dipandang remeh oleh pihaknya ataupun Persekutuan Hoki Malaysia (PHM), tetapi mereka mempunyai rancangan tersendiri bagi menangani gejala kurang sihat tersebut.

"Saya akui memang ada pemain hoki negara yang merokok, tetapi ia hanya dilakukan oleh segelintir kecil pemain dan sama sekali tidak melibatkan semua pemain hoki negara.

"Kami mempunyai perancangan serta program tersendiri bersama ISN dalam menangani masalah tersebut dan berharap perancangan tersebut akan memberi kesan positif kepada pemain," katanya.

Sehubungan itu katanya, pemain-pemain yang terlibat dengan masalah tersebut akan diarahkan untuk mengikuti program berhenti rokok ISN.

Kongsi Konten di :
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0115&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz51TVVA3it

© Utusan Melayu (M) Bhd

Isnin, 11 Disember 2017

Tiada niat jahat – Mirnawan

ARKIB : 17/10/2008
Oleh HISYAMUDDIN AYUB
KUALA LUMPUR – Bekas pemain hoki terkemuka negara, Mirnawan Nawawi menegaskan bahawa kertas cadangan yang diserahkan oleh 102 bekas pemain hoki kebangsaan yang turut dikenali sebagai Kumpulan 102 kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob semalam tidak mempunyai sebarang niat jahat.

Katanya, dokumen setebal 99 muka surat itu tidak bertujuan untuk menjatuhkan mana-mana pihak, tetapi sebaliknya hanyalah satu keprihatinan daripada kumpulan tersebut yang ingin melihat sukan hoki negara kembali menyerlah seperti yang pernah dikecapi suatu masa dahulu.

“Kertas cadangan yang diserahkan itu akan diterangkan secara terperinci pada 22 Oktober pada pukul 11 pagi di Parlimen merupakan inisiatif kumpulan ini dan tidak mempunyai agenda terselindung.

“Selepas penyerahan itu hari ini (semalam) secara automatik, kumpulan ini dibubarkan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Sehubungan itu katanya, tidak timbul soal Kumpulan 102 itu mahu mengambil alih kedudukan dalam Persekutuan Hoki Malaysia (PHM) kerana kumpulan tersebut hanyalah bersifat sementara.

Tanpa mahu memberitahu isi butiran kertas cadangan yang dikemukakan oleh Kumpulan 102 itu, Mirnawan berkata, ia hanya melibatkan cadangan penambahbaikan pengurusan sukan hoki negara, secara menyeluruh.

Katanya, ahli kumpulan itu telah memberi cadangan terbaik berhubung semua elemen yang berkait dengan sukan hoki di negara ini, sama ada ia meliputi kekuatan atau kelemahan yang dimiliki.

“Tugas kami (Kumpulan 102) adalah untuk memastikan pihak tertentu mengangkat kembali maruah sukan hoki negara dan sebagai sumbangan bekas pemain negara yang ingin melihat hoki kembali menyerlah di persada dunia,” katanya.

Namun begitu katanya, jika ada ahli kumpulan itu masih ingin memperjuangkan cadangan yang telah dikemukakan, ia akan hanya melibatkan individu tersebut sahaja.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1017&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz50wryxSKS

© Utusan Melayu (M) Bhd

Rabu, 6 Disember 2017

Hoki: Malaysia muncul naib juara

ARKIB : 06/10/2008
KUALA LUMPUR - Malaysia muncul naib juara Kejohanan Hoki Empat Negara Master Hamburg selepas membelasah Belgium 6-2 dalam perlawanan terakhir, semalam.

Tuan rumah Jerman muncul juara selepas menewaskan Pakistan 6-1 untuk mengumpul tujuh mata dari tiga perlawanan.

Pasukan bimbingan Sarjit Singh muncul naib juara apabila mengumpul lima mata selepas mencatat dua keputusan seri 1-1 dengan Jerman dan 2-2 dengan Pakistan.

Kedudukan itu sekali gus memperbaiki pencapaian di tempat ketiga pada kejohanan edisi 2002.

Pada perlawanan semalam, Belgium yang dibarisi pemain muda dan kurang berpengalaman ternyata bukan tandingan Malaysia apabila pasukan negara selesa mendahului 3-0 di babak pertama. sementara tiga gol lagi dihasilkan pada minit ke-43, m-50 dan m-51
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1006&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz50X9iErFL

© Utusan Melayu (M) Bhd

Malaysia nyaris kejutkan Pakistan

ARKIB : 05/10/2008

KUALA LUMPUR - Malaysia terlepas peluang untuk mencapai kemenangan sulung dan mencipta kejutan apabila diikat Pakistan 2-2 dalam perlawanan keduanya pada Kejohanan Hoki Empat Negara Master Hamburg, semalam.

Skuad negara bimbingan Sarjit Singh mendahului lawan dua kali menerusi pukulan sudut penalti oleh Amin Rahim pada minit keempat dan tampanan Azlan Misron (52) tetapi membazirkan dua lagi peluang menambah gol.

Malaysia menguasai perlawanan dengan mencipta lebih banyak peluang jaringan manakala barisan pertahanan serta penjaga gol, S. Kumar turut bertindak cemerlang menyekat percubaan lawan khususnya daripada sudut penalti.

Pukulan deras Amin pada minit ke-69 terutamanya cuma sipi beberapa sentimeter dari gawang Pakistan selepas Malaysia mensia-siakan dua sudut penalti dalam tempoh dua minit sebelumnya.

Pakistan yang membenam Belgium 6-3 kelmarin, nyaris berputih mata sebelum diselamatkan dengan jaringan Shakeel Abbasi pada minit ke-50 dan Abdul Haseem Khan, tujuh minit kemudian.

Skuad negara akan menentang Belgium pada perlawanan terakhirnya pukul 6 petang hari ini waktu Malaysia yang mungkin mampu memperbaiki pencapaian tempat ketiga pada 2002 sekiranya mencapai kemenangan sulung.

Kelmarin, Malaysia mengejutkan tuan rumah yang juga juara Sukan Olimpik Beijing, Jerman 1-1 hasil jaringan penyamaan S. Selvaraju yang baru-baru ini bermain dengan sebuah kelab Berlin di negara Eropah itu.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1005&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz50Wlpz31s
© Utusan Melayu (M) Bhd