Selasa, 29 November 2016

Jangan cuai

ARKIB : 05/04/1999
ALASAN kurang pengalaman mungkin ada benarnya namun menilai aksi Malaysia dalam dua perlawanan, sukar mempercayai bagaimana pemain negara boleh terdorong membuat kesilapan yang tidak sepatutnya pada Hoki Piala Sultan Azlan Shah ke-9.

Menguatkan kesangsian itu ialah kecuaian berturut-turut Chua Boon Huat dalam dua perlawanan sedangkan pemain remaja ini adalah antara tenaga barisan pemenang pingat perak Sukan Komanwel lalu.

Boon Huat terkuis ke gawang sendiri ketika Malaysia kalah 1-4 kepada New Zealand malah kawalan bola lemahnya turut menyumbangkan gol penyamaan Kanada sebelum skuad negara kalah 1-2.

Ia masih boleh dimaafkan sekiranya Jiwa Mohan atau Badrul Hisham Osman yang melakukan kesilapan itu kerana mereka diakui belum matang dengan aksi antarabangsa.

Tetapi tindakan Boon Huat itu seolah-olah dia baru berjinak-jinak dengan kayu hoki di sebalik kemunculannya dalam dua temasya, Sukan Komanwel dan Sukan Asia Bangkok, tahun lalu.

Memikul dua kekalahan itu meletakkan Malaysia menghadapi misi mustahil untuk mencatat kebangkitan apatah lagi berdepan dengan pasukan gergasi, Jerman hari ini selain Pakistan (esok) dan Korea Selatan.

Jika berhasrat mengelak tempat tercorot seperti kejohanan lalu di Ipoh, sudah sampai masanya pengajaran New Zealand dan Kanada itu dipandang serius untuk menampung kelemahan ketara itu.

''Pengajaran dua perlawanan itu patut mematangkan pemain. Mereka harus cepat membuat keputusan, bukan lagi teragak-agak hingga lawan mencuri peluang.

''Kami harap mencatat keputusan membanggakan dalam dua perlawanan awal itu tapi lain jadinya.

''Memang berat tugas pasukan negara dan ia semakin berat bila menentang 'gergasi' seperti Jerman dan Pakistan,'' kata ketua jurulatih Malaysia, Stephen van Huizen.

Dengan kelemahan barisan pertahanan menjadi tumpuan utama Stephen ketika ini, Malaysia diragui dapat menggunakan khidmat tulang belakang pasukan, Maninderjit Singh.

Siswa Universiti Malaya itu walaupun cuma dianggap mengalami cedera ringan oleh Stephen, terpaksa keluar sebentar ketika perlawanan menentang Kanada, kelmarin.

Menentang Jerman hari ini turut menjadi pertemuan semula guru dengan murid tetapi Paul Lissek pastinya tidak mengendahkan lagi kenangan manis yang dicatatnya bersama Stephen dan Malaysia pada Sukan Komanwel lalu.

Cuma Jerman menjadi keutamaan Lissek ketika ini apatah lagi apabila menoleh rekod pertemuan kedua-dua pasukan sepanjang tahun lalu yang menyaksikan negaranya cuma menang sekali 5-1 di Ipoh.

Lissek kemudian membimbing Malaysia yang menewaskan negaranya tiga kali 5-2, 1-0 dan 2-1 sepanjang siri ujian menjelang Sukan Komanwel di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, Ogos tahun lalu selain seri dua kali, 1-1.

Oleh: ABDUL HAFIZ AHMAD

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0405&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4RS7EZelu © Utusan Melayu (M) Bhd

Pertahanan hampakan Malaysia


 

ARKIB : 04/04/1999
PEMAIN pertahanan Malaysia, Jiwa Mohan (4) hampir tersungkur diasak keras pemain Kanada, Rick Roberts pada Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah di Stadium Hoki Nasional, semalam. Malaysia tumpas lagi 1-2.

JELMAAN baru corak permainan Malaysia semalam masih tidak memadai untuk mencatat kemenangan sulung apabila terus kecundang, kali ini 1-2 kepada Kanada dalam Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah ke-9, semalam, lapor ABDUL HAFIZ AHMAD.

Segala sentuhan mengagumkan berbanding menentang New Zealand kelmarin, diragut dek kelemahan barisan pertahanan negara di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, semalam.

Menerusi jaringan Ken Pereira dan Sean Campbell pada minit ke-56 dan 65, Kanada melunaskan dendam kekalahan 1-2 ketika bersaing untuk ke separuh akhir Sukan Komanwel, September lalu.

Malaysia bagaimanapun membuka gol seawal minit keenam menerusi tolakan tepat S. Kuhan daripada pukulan sudut penalti sulung.

Selepas itu, kesebelasan pemain negara bagaikan mengulangi aksi cemerlang separuh akhir Sukan Komanwel lalu dengan hantaran kemas dan kejituan semangat berpasukan.

Sentuhan kemahiran Mirnawan Nawawi dan kekangan padu lagi tenang penjaga gol Roslan Jamaluddin antara aksi yang mengesahkannya.

Anak buah Stephen van Huizen ini nyaris menambah gol pada minit ke-37, sayangnya pukulan kilas Mirnawan selepas kawalan bola yang kemas, tersasar beberapa inci dari sasaran.

Hantaran jauh Kuhan, 10 minit kemudian kepada Suhaimi Ibrahim pula gagal disudahkannya sekalipun cuma berdepan satu sama satu dengan penjaga gol Kanada, Hari Kant.

Sebaliknya Kanada mencuri situasi kelam-kabut kubu Malaysia selepas kawalan bola yang lemah oleh Chua Boon Huat untuk gol penyamaan Pereira. Campbell pula mencipta jaringan kemenangan hasil umpanan lintang, 11 minit kemudian.

Stephen, ketua jurulatih negara berkata: ''Mutu permainan pasukan negara meningkat (berbanding ketika kalah 1-4 kepada New Zealand). Hantaran mereka kali ini tepat dan kawalan bola juga kian baik.

''Cuma pemain muda khususnya teragak-agak mengeluarkan bola. Akibatnya kami dihukum dengan kesilapan yang memberi gol pertama lawan,'' kata Stephen.

Tentu sahaja jurulatih Kanada, Shiaz Virjee gembira dengan kemenangan sulung anak buahnya ini selepas tumpas teruk 3-6 kepada Pakistan, kelmarin.

''Selepas kalah, kemenangan sungguh bermakna. Malaysia bermain bagus dengan corak pantas mereka. Kami sentiasa bimbang apabila Malaysia mendapat sudut penalti,'' kata Virjee.

Sementara itu, Pakistan terus melebarkan rekod kemenangan mereka sekali gus mendahului kedudukan mata apabila membenam Korea Selatan 6-2 pada satu lagi perlawanan.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0404&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4RRtIXver © Utusan Melayu (M) Bhd

Kesilapan bawa padah

ARKIB : 03/04/1999
PENYERANG Malaysia, Suhaimi Ibrahim (tengah) mara ke kawasan D New Zealand biarpun cuba dikekang oleh dua pemain pertahanan New Zealand pada Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah ke-9 di Stadium Hoki Nasional, semalam. Malaysia tumpas 1-4. - Gambar HANAFI KHAMIS.

SEGALANYA serba hambar buat Malaysia apabila membuka tirai Hoki Piala Sultan Azlan Shah ke-9 dengan sentuhan kecundang 1-4 kepada New Zealand di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, semalam.

Aksi Malaysia tidak ubah sekadar menempuh perlawanan persahabatan selain ditambah dengan kesilapan yang memalukan oleh pemain tengah remaja, Chua Boon Huat.

Sedang New Zealand turun tanpa ancaman berbisa, tuan rumah pula seperti bermain separuh hati untuk membiarkan lawan mendahului 2-0 sehingga tamat babak pertama.

Bevan Hari mengejutkan Malaysia menerusi tolakan sudut penalti selepas suatu pergelutan untuk gol sulung pasukan Kiwi pada minit ke-10.

Luka Malaysia bertambah parah dengan kesilapan besar Boon Huat yang terkuis masuk ke gawang sendiri.

Biarpun pukulan Bradley Apter tidak begitu berbahaya, kuisan Boon Huat itu menuju ke gawang tanpa sempat disapa penjaga gol Nasihin Nubli Ibrahim, seminit sebelum tamat.

Babak kedua menyaksikan sedikit perubahan oleh anak buah Stephen van Huizen ini namun kecergasan pemain dan ketepatan umpanan sesama sendiri masih berada di tahap yang begitu rendah.

Mujurlah ihsan pengadil memberikan penalti stroke buat Malaysia apabila penyerang remaja, Shaiful Azli Rahman dihalang keras pemain lawan.

Menerusi tolakan tepat S. Kuhan, skuad negara merapatkan kedudukan 1-2 pada minit ke-45.

Gawang Malaysia berggegar lagi setelah rembatan kencang Hari melepasi jangkauan kaki Nasihin pada minit ke-53 untuk membawa Kiwi mara 3-1.

Ryan Archibald mengesahkan usaha New Zealand untuk mengutip tiga mata penuh selepas membiaskan masuk pukulan sudut penalti pasukannya, tiga minit kemudian.

Tanpa sebarang gol sekalipun beroleh lima sudut penalti, Stephen turut mengakui persembahan anak buahnya semalam begitu buruk.

''Banyak kesilapan yang tidak patut dibuat dan gol kedua lawan merupakan salah satu daripadanya,'' katanya.

Pengurus pasukan, R. Yogeswaran pula berkata, pemain negara seakan tidak mahu bergerak aktif sebaliknya memilih untuk bermain secara selamat.

''Mereka hanya menunggu bola. Kurang minat untuk menyerang. Umpanan sesama sendiri juga kurang lancar,'' kata Yogeswaran lagi.

''Saya fikir Malaysia terlalu sukar untuk ditentang dan saya terkejut juga dengan kemenangan 4-1. Kami bertuah kerana semua peluang berjaya dimanfaatkan,'' kata jurulatih New Zealand, Robin Wilson.

Malaysia akan menentang Kanada pada perlawanan kedua hari ini tapi Yogeswaran dan Stephen berharap, kesilapan semalam mampu dibaiki untuk mengelak daripada terus diaibkan.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0403&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4RPYgg17k © Utusan Melayu (M) Bhd

Nasihin atau Roslan penunggu gawang?

1999
ARKIB : 01/04/1999
TEMPOH sehari lagi menjelang Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah ke-9 membangkitkan debaran kencang buat dua penjaga gol negara, Roslan Jamaluddin dan Nasihin Nubli Ibrahim.

Persembahan kedua-duanya yang sama hebat turut mengheret ketua jurulatih, Stephen van Huizen kebingungan untuk menamakan siapa paling layak dalam kesebelasan utama mengawal gawang Malaysia.

Namun Nasihin dianggap mampu memintas Roslan jika tempoh aksi pada perlawanan persahabatan menentang Kanada kelmarin diambil kira.

Berbanding Roslan yang hanya turun di penghujung babak ketiga perlawanan, Nasihin bermain sepanjang dua babak sebelumnya dalam perlawanan yang berkesudahan seri 2-2 itu.

Menentang New Zealand esok untuk perlawanan pembukaan mungkin menjadi detik permulaan terbaik Nasihin, 24, kembali ke posisi yang kerap terlepas dari tangannya itu.

Pada Piala Dunia di Utrecht, Nasihin sering berputih mata untuk memberi peluang kepada Paul Lopez dan terus memanaskan bangku simpanan dalam hampir semua perlawanan Sukan Komanwel, September lalu.

Andainya ini terjadi, Piala Sultan Azlan akan mencatat penampilan sulung dalam perlawanan antarabangsa sebenar buat Nasihin pada tahun ini setelah direhatkan daripada Kejohanan Akhbar El Yom di Kaherah, Mesir, Februari lalu.

''Nasihin tampak bermain baik kebelakangan ini,'' kata Stephen ketika ditemui selepas majlis pelancaran Kelab Penyokong Hoki Malaysia di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, semalam.

''Tapi ini tidak bermakna prestasi Roslan menjadi sebaliknya. Saya akan menunggu sehingga Jumaat ini (esok) untuk membuat penentuan siapa penjaga gol utama,'' tambah Stephen.

Peluang juga condong untuk menyebelahi Nasihin apabila Stephen mendapati Roslan mengalami sedikit kecederaan pada tumitnya ketika ini.

Malaysia mempunyai rekod yang setara dengan New Zealand sepanjang tahun lalu apabila masing-masing mencatatkan satu kemenangan.

Skuad negara menang 4-0 pada Piala Sultan Azlan di Ipoh tetapi tumpas 2-3 untuk penentuan tempat kesembilan hingga ke-12 di Utrecht.

Stephen juga melepaskan Nor Azlan Rahim untuk perlawanan persahabatan Projek 2001 menentang Kanada, semalam sambil menyelitkan peringatan penting buat pemain remaja itu.

''Azlan dinasihat supaya tidak memandang serius atau bermain sepenuh masa dalam perlawanan itu. Dia bebas bermain kerana Projek kekurangan pemain,'' tambahnya.

Projek yang dibentuk bagi menghadapi Piala Asia Remaja dan pusingan kelayakan Piala Dunia Remaja 2001, dibelasah teruk 14-1 oleh Kanada.

Skuad remaja bimbingan Colin Sta Maria itu mendapat gol tunggalnya menerusi Mohd. Fairuz Ramli.

Oleh: ABDUL HAFIZ AHMAD

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0401&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4RPKBQX1I © Utusan Melayu (M) Bhd

Maninderjit penyudah sudut penalti

RKIB : 29/03/1999
MALAYSIA akan kembali menyandarkan harapan kepada Maninderjit Singh untuk memikul peranan perembat deras pukulan sudut penalti bagi menghadapi Hoki Piala Sultan Azlan Shah ke-9 bermula Jumaat ini.

Sesudah K. Gobinathan digugurkan daripada pemilihan 18 pemain, Khamis lalu, kemampuan Maninderjit melaksanakan tugas itu bagaimanapun agak diragui.

Siswa Universiti Malaya, Kuala Lumpur itu yang turut digelar 'Mike', belum teruji sepenuhnya sepanjang siri perlawanan persahabatan menentang Institut Sukan Australia (AIS), baru-baru ini.

Ia berikutan kesulitannya untuk bersama skuad negara dalam kelima-lima perlawanan apabila terpaksa menduduki peperiksaan di institusi pengajian tinggi tersebut pada waktu yang sama.

Skuad negara yang membariskan sebilangan besar muka baru dari kalangan skuad remaja Projek 2001, cuma menang sekali dan tewas dalam perlawanan selebihnya.

''Gobinathan tidak banyak diuji sebagai perembat deras sudut penalti ketika menentang AIS. Bagaimanapun kita tiada masalah untuk menggunakan semula Maninderjit kerana dia sendiri pernah memegang tugas itu ketika Sukan Asia lalu.

''Jika dia kurang berkesan, kita mungkin beralih kepada penyudah menerusi sungkitan dengan menggunakan S. Kuhan atau Chua Boon Huat,'' kata ketua jurulatih negara, Stephen van Huizen.

Katanya, 18 pemain yang dipilih Khamis lalu, akan didaftarkan untuk sepanjang Piala Sultan Azlan selama lapan hari itu tetapi cuma 16 daripada mereka disenaraikan bagi setiap perlawanan.

''Tiada lagi pemain yang digugurkan selepas perlawanan persahabatan menentang Kanada esok,'' katanya yang memikul misi antarabangsa pertama tahun ini selepas tidak menyertai skuad negara pada Kejohanan Akhbar El Yom di Kaherah, bulan lalu.

Malaysia akan membuka tirai Piala Sultan Azlan, petang Jumaat ini dengan menentang New Zealand.

Empat lagi pasukan pada kejohanan 2-10 April itu ialah naib johan Trofi Juara-Juara tahun lalu, Pakistan serta Korea Selatan, Jerman dan Kanada

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0329&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4ROssA9bE © Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 13 November 2016

India sekat keghairahan skuad Malaysia

ARKIB : 09/02/1999
INDIA mencuri peluang daripada keghairahan Malaysia yang mahu memburu tempat ke perlawanan akhir Kejohanan Hoki Antarabangsa El Yom apabila menewaskan skuad negara 4-1 di Kaherah, kelmarin.

Berbanding India yang cuma memerlukan seri, skuad bimbingan Yahya Atan turun dengan misi hidup atau mati mulanya berjaya mengekang lawan 0-0 sehingga tamat separuh masa pertama.

Namun Yahya ketika dihubungi di Kaherah semalam berkata, India ternyata cukup pintar mengintai ruang yang terdedah ketika anak buahnya membuat serangan dalam usaha mencari empat gol atau lebih.

''Kita mendapat gol tunggal menerusi pemain pertahanan, Nor Azlan Bakar dalam salah satu serangan pada separuh masa kedua.

''Biarpun kalah, kita masih ada perlawanan penentuan tempat ketiga-keempat esok (hari ini) menentang Kanada yang tentunya mengidam untuk membalas dendam kerana kalah 2-3, Sabtu lalu,'' kata Yahya.

Ujarnya, Chairil Anwar Aziz, penjaring gol kemenangan perlawanan itu kemungkinan besar tidak diturunkan apabila menghadapi Kanada sekali lagi.

''Chairil mengalami kekejangan otot paha hingga memaksanya dikeluarkan pada separuh masa kedua menentang India semalam (kelmarin),'' katanya lagi.

Tuan rumah Mesir yang mengumpul sembilan mata mengetuai kedudukan mata kini, diekori dengan India tetapi kedua-duanya akan berentap sekali lagi bagi penentuan juara pukul 5.30 petang ini (waktu Kaherah).

Satu lagi pasukan, Kenya menduduki tangga tercorot selepas tumpas dalam tiga perlawanan sekalipun sempat menewaskan Malaysia 3-2, Rabu lalu.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0209&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_10.htm#ixzz4PspufK1H

© Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 12 November 2016

S. Kuhan pikul tanggungjawab penting

ARKIB : 30/01/1999
KEKOSONGAN yang ditinggalkan enam tenaga senior dalam skuad hoki negara memaksa ketua jurulatih Yahya Atan membuat sedikit rombakan terhadap posisi pemain bagi menghadapi Kejohanan Antarabangsa El Yom di Kaherah, bermula Selasa ini, lapor ABDUL HAFIZ AHMAD.

Sesudah dilantik menjadi ketua pasukan negara Rabu lalu, S. Kuhan menerima satu lagi peranan baru apabila Yahya meletakkannya sebagai benteng tengah terakhir.

Dengan kelebihan susuk tubuhnya yang tinggi lampai, Kuhan tidak syak lagi merupakan calon terbaik Yahya mengemudi barisan pertahanan Malaysia sepanjang kejohanan melibatkan lima negara itu.

Kuhan juga memegang tugas tetapnya selaku penyudah pukulan sudut penalti negara menerusi gaya sungkitan.

Posisi benteng terakhir sebelum ini menjadi milik tetap Maninderjit Singh sepanjang Piala Dunia, Sukan Komanwel dan Sukan Asia tahun lalu tetapi pemain itu terpaksa menarik diri kerana komitmen pelajaran di Universiti Malaya.

''Buat masa ini, Kuhan tampak calon paling layak untuk posisi itu. Saya juga bercadang menggunakan sepenuhnya khidmat Madzli Ikmar untuk menjana bahagian tengah di Kaherah nanti,'' kata Yahya.

Barisan belakang Malaysia dianggap antara yang terbaik sepanjang Sukan Komanwel XVI di Kuala Lumpur, September lalu tetapi selain Kuhan, cuma Nor Azlan Bakar masih menyambung bakti untuk ke Kaherah.

Malah ketika Sukan Asia XIII di Bangkok, barisan pertahanan negara hanya dibolosi tiga gol dalam perlawanan menentang Jepun dan Pakistan, bulan lalu.

Malaysia bakal bertandang ke Kaherah tanpa khidmat tenaga senior seperti Mirnawan Nawawi, Lam Mun Fatt, K. Keevan Raj, Lailin Abu Hassan, Nasihin Nubli Ibrahim yang kebanyakannya menarik diri atas alasan pelajaran dan kecederaan.

Skuad negara akan membuka tirai kejohanan di negara Afrika itu, Rabu ini dengan menentang Kenya, lawan yang ditewaskan 4-0 dalam pertemuan terakhir ketika Sukan Komanwel.

Yahya menambah, Roslan Jamaluddin masih lagi menjadi pertaruhan utamanya untuk melindungi gawang skuad negara pada kejohanan yang melibatkan India, Kenya, Kanada dan tuan rumah, Mesir itu.

Katanya lagi, ketiadaan Mirnawan turut membuka ruang buat penyerang muda berbakat, Syayrim Uda Karim di ketengahkan sebagai penjaring negara menerusi gerakan padang.

''Syayrim bakal digandingkan dengan Chairil Anwar Aziz di bahagian serangan,'' ujarnya yang mengambil alih tugas jurulatih skuad negara daripada Stephen van Huizen selepas Sukan Asia.

Chairil dalam pada itu menurut Yahya, mengalami sedikit kecederaan di bahagian belakang tetapi dijangka pulih apabila skuad negara berlepas ke Kaherah, hari ini.

''Kesemua 18 pemain ke Kaherah bakal mendapat peluang untuk bermain kerana saya bercadang untuk melakukan giliran sesama mereka,'' kata Yahya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0130&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4PrjFaROD © Utusan Melayu (M) Bhd

Skuad negara berwajah baru

ARKIB : 28/01/1999
SKUAD hoki negara sekali lagi tampil dengan wajah baru dalam tempoh dua bulan apabila menyertai Kejohanan Antarabangsa Akhbar El Yom di Kaherah, bermula Selasa ini.

Penjaga gol berpengalaman, Nasihin Nubli Ibrahim semalam diumumkan oleh jawatankuasa pemilihan PHM sebagai pemain berikutnya daripada skuad Sukan Asia yang tidak akan dibawa ke Kaherah.

Sesudah kehilangan Mirnawan Nawawi, Maninderjit Singh, K. Keevan Raj, Lam Mun Fatt dan Lailin Abu Hassan, jawatankuasa itu berpendapat Nasihin perlu direhatkan untuk memberi peluang kepada muka baru.

Sebagai gantinya, Izwan Suhardi Selamat yang tercicir daripada Piala Dunia, Sukan Komanwel dan Sukan Asia tahun lalu, meraih slot penjaga gol kedua skuad negara kali ini.

''Nasihin sudah banyak pendedahan dan patut kita beri pendedahan kepada Izwan pula. Sementara Roslan Jamaluddin masih lagi menjadi pilihan utama pasukan,'' kata pengurus pasukan, R. Yogeswaran.

Kali terakhir Izwan beroleh penampilan antarabangsanya ialah ketika menyertai siri ujian lima perlawanan di Seoul, Korea Selatan, Julai tahun lalu sebagai persediaan menghadapi Sukan Komanwel.

Pemilihan yang dipengerusikan Presiden PHM, Sultan Azlan Shah juga membawa skuad negara terpaksa meminjam lapan pemain Projek 2001 untuk menampung kekosongan akibat pengunduran tenaga senior itu.

Mirnawan, Maninderjit dan Keevan masing-masing menarik diri kerana komitmen pelajaran sementara Lailin atas alasan kecederaan dan Mun Fatt perlu mencari pekerjaan tetap.

Daripada lapan pemain Projek yang dibentuk khusus untuk menghadapi Piala Asia Remaja 2000 dan Piala Dunia Remaja 2001, cuma Jiwa Mohan dan Shaiful Azli Rahman merupakan muka baru skuad negara.

Manakala Chua Boon Huat, Azlin Fairuz Kamal, Madzli Ikmar, Suhaimi Ibrahim, K. Logan Raj dan Syayrim Uda Karim pernah mewakili skuad negara sama ada ketika Sukan Komanwel, Sukan Asia ataupun siri ujian menentang Mesir di Kaherah, November lalu.

Agak mengejutkan ialah bekas penyerang Piala Dunia di Utrecht, Aphtar Singh tidak terpilih sekalipun namanya tersenarai dalam kelompok besar 50 pelatih di samping pemain terbaik perlawanan akhir Piala Razak tahun lalu, Badrul Hisham Osman

Timbalan Presiden PHM, Datuk Seri P. Alagendra berkata: ''Yogeswaran tidak akan ke Kaherah kerana mempunyai masalah peribadi dan Wallace Tan akan mengambil alih tugas pengurus pasukan negara.''

Perubahan turut terpapar pada penjawat peranan ketua jurulatih negara apabila Yahya Atan diamanahkan sebagai pengganti Stephen Van Huizen yang kontraknya berakhir bulan lalu selepas Sukan Asia.

Stephen baru-baru ini menghadapi kesulitan mendapatkan pelepasan daripada majikannya, Bank Of Commerce (BOC) untuk terus melatih skuad negara.

Di Kaherah, Yahya akan dibantu oleh Kon Chen Choon, penolong jurulatih skuad Bakat Bawah 16 Tahun negara.

Mengenai apakah tiga lagi negara peserta, India, Kenya dan Kanada akan menghantar barisan utamanya ke Kaherah, Alagendra berkata, PHM belum menerima sebarang makluman lanjut tentang senarai pemain mereka.

Skuad negara akan bertandang ke negara Afrika itu pada 30 Januari dan kembali menjalani latihan di Kuala Lumpur selepas pulang ke tanah air, 12 Februari untuk menghadapi Kejohanan Enam Negara di Dubai, sebulan kemudian.

Oleh: ABDUL HAFIZ AHMAD

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0128&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4PrLUwivh © Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 6 November 2016

Nasib 4 pemain berubah

ARKIB : 06/11/1998
PELATIH penjaga gol negara, Aidil Adnan Ahmad sugul mengenangkan namanya yang tidak tersenarai ke Mesir dalam ujian pemilihan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, semalam.

NASIB empat pemain yang tidak kesampaian menyertai barisan pemenang pingat perak hoki Sukan Komanwel XVI lalu, berubah apabila tersenarai dalam skuad negara ke Mesir untuk siri ujian persediaan Sukan Asia XIII, Bangkok, bulan depan.

K. Gobinathan mengetuai mereka yang berjaya memikat jawatankuasa pemilihan Persekutuan Hoki Malaysia (PHM) semalam bersama-sama Madzli Ikmar, Azlin Fairuz, Syayrim Uda Karim.

Pemilihan tersebut turut menyaksikan kembalinya Lailin Abu Hassan yang menarik diri daripada Sukan Komanwel kerana menjalani pemulihan kecederaan belakang badannya di samping kemunculan muka baru, Razak Saidin.

Lailin bagaimanapun tidak diiringi rakan sepasukan ketika Piala Dunia di Utrecht, Mei lalu - Aphthar Singh yang digugurkan daripada skuad 18 pemain untuk menghadapi siri ujian lima perlawanan di Kaherah pada 13-22 November ini.

''Apa boleh buat. Mungkin pada pandangan jurulatih, saya belum cukup bagus untuk turut dipilih. Apa pun, selagi belum ke Bangkok, saya fikir peluang mewakili negara masih ada,'' kata Aphthar yang agak sugul.

Lima lagi pelatih negara yang digugurkan semalam ialah dua penjaga gol, Izwan Suhardi Selamat dan Aidil Adnan Ahmad di samping Saiful Azli, Nizam Nordin serta Badrul Hisham Osman.

Sementara tempat kesemua pemain yang merangkul perak Sukan Komanwel ke Mesir terjamin penuh setelah jawatankuasa sekali lagi menaruh kepercayaan kepada mereka.

Dua belas pemain skuad ini turut terpilih termasuk K. Keevan Raj yang baru-baru ini menghadapi kesulitan pertembungan tarikh peperiksaan di sebuah kolej swasta.

Suhaimi Ibrahim dan Maninderjit Singh tetap disenaraikan sekalipun kedua-duanya kelmarin mengalami kecederaan kecil di paha kiri dan kaki kanan masing-masing pada sesi latihan.

Timbalan Presiden PHM, Datuk Seri P. Alagendra berkata, pemilihan 18 pemain tersebut tidak bermakna ia suatu pengesahan barisan negara ke Sukan Asia, 6-20 Disember nanti.

''Sesiapa pun boleh digugurkan daripada 18 yang tersenarai ini. Tempat mereka belum dapat dijamin lagi.

''Namun mereka yang tidak ke Mesir akan terus menjalani latihan di bawah bimbingan penolong jurulatih, Colin Sta Maria,'' tambah Alagendra di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, semalam.

Penjaring gol emas Sukan Komanwel, Mirnawan Nawawi sekali lagi diamanahkan sebagai ketua pasukan negara untuk siri ujian pada 15, 16, 18, 19 dan 21 November itu.

Oleh: ABDUL HAFIZ AHMAD

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1106&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4PDVlmvA0 © Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 4 November 2016

Pertahanan lemah

ARKIB : 08/10/1998
 
JURULATIH baru kebangsaan, Stephen Van Huizen (kanan sekali) yang memulakan tugas semalam, memerhatikan aksi para pemain negara yang giat menjalani latihan di gelanggang berhampiran Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil. - Gambar ZULAZHAR SHEBLEE.

SKUAD hoki negara perlu memperbaiki kelemahan bahagian pertahanan bagi menghadapi tiga pasukan gergasi iaitu Korea Selatan, Pakistan, India dan Jepun pada Sukan Asia ke-13 di Bangkok, Disember ini.

Korea Selatan selaku juara Asia dilihat sebagai pasukan yang paling sukar ditumbangkan dan mempunyai jentera serangan mantap bagi menghancurkan kubu negara.

Pengurus pasukan, R. Yogeswaran bagaimanapun tidak mahu barisan negara memandang remeh keupayaan pasukan underdog seperti Jepun, Sri Lanka, Uzbekistan, Singapura yang turut beraksi dalam Kumpulan A.

''Jepun sudah mempamerkan aksi mereka ketika bertandang pada pertemuan ujian sebelum Sukan Komanwel lalu. Kita tidak boleh hanya memandang kekuatan Korea Selatan sahaja.

''Saya akui kita masih mempunyai kelemahan di bahagian pertahanan dan oleh itu, tidak boleh memandang mudah pasukan sekumpulan, termasuk yang dianggap kerdil seperti Sri Lanka,'' katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil.

Menurutnya lagi, gandingan beberapa muka baru yang bakal mengisi kekosongan empat pemain utama iaitu Nur Saiful Zaini, R. Shanker, Calvin Fernandez dan K. Logan Raj, dijangka mampu menyerlah di Bangkok nanti.

''Lailin Abu Hassan sudah kembali mengikuti latihan hari ini (semalam) dan kecederaan bahagian belakangnya hampir sembuh sepenuhnya.

''Namun dia tetap terpaksa menunjukkan keupayaan bersaing merebut tempat dengan beberapa muka baru yang dipanggil untuk berlatih, begitu juga pemain lainnya,'' kata Yogeswaran.

Antara muka baru yang dipanggil, termasuk Abdul Razak Saidin, Mohd. Nizam Nordin, serta empat pemain yang pernah digugurkan daripada skuad KL '98 iaitu Izwan Suhardi Selamat, Mohd. Syayrim Uda Karim, Azlin Zairuz Ahmad Kamal dan Mazli Ikmal.

''Kita semua terasa kehilangan R. Shanker dan Nur Saiful yang memutuskan untuk bersara. Ini perkara biasa berlaku dalam mana-mana sukan.

''Kita harap yang hilang akan berganti dan muka baru ini mampu memantapkan cabaran negara nanti,'' ujarnya.

Mengenai senarai akhir pemain, katanya, ia mungkin dikemukakan kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) selewat-lewatnya dua minggu sebelum temasya bermula.

''Kita masih mempunyai masa memilih yang terbaik. Jadi biarlah para pemain muda ini menunjukkan keupayaan masing-masing untuk dinilai.

''Kita tidak perlu tergesa-gesa dalam soal ini. Kita perlu sedar bukan calang-calang pasukan yang bakal dihadapi di Bangkok nanti,'' tambahnya.

Sementara itu, tiga pemain negara iaitu Aphthar Singh, Minarwan Nawawi dan Maninderjit Singh tidak menghadiri sesi latihan pertama bersama jurulatih baru negara, Stephen Van Huizen petang semalam.

''Saya turut dukacita kerana Aphthar tidak dapat mengikuti latihan kerana pak ciknya meninggal dunia tengah hari ini (semalam).

''Minarwan dan Maninder pula terpaksa menumpukan perhatian kepada ujian universiti sekarang. Mereka akan kembali mengikuti latihan 10 Oktober ini,'' ujar Yogeswaran.

Oleh: SAADON JAAFAR

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1008&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4P5AOOXak © Utusan Melayu (M) Bhd