Selasa, 18 April 2017

Malaysia menang

ARKIB : 23/04/2004
SYDNEY - Malaysia menewaskan Afrika Selatan 2-1 dalam kejohanan Hoki Empat Negara di sini semalam dan kelihatan bakal menempah tempat ke perlawanan akhir bertemu Australia, Ahad ini. Kemenangan itu dicapai sehari selepas pasukan negara mengejutkan India 3-0 kelmarin. Australia seri 2-2 dengan India dalam perlawanan kemudian.
Dalam kejohanan pertama di Canberra minggu lalu, Malaysia menamatkan kempen di tempat terakhir daripada empat pasukan selepas tewas 3-2 kepada Afrika Selatan pada perlawanan penentuan tempat ketiga/empat. Ia dimenangi oleh Australia.
Dalam perlawanan semalam, Malaysia mendahului menerusi jaringan S. Kuhan hasil pukulan sudut penalti pertama yang menerjah ke sebelah kanan gawang Afrika Selatan.
Afrika Selatan menyamakan kedudukan menerusi Ian Symons pada awal babak kedua permainan sebelum Kuhan sekali lagi menemui sentuhan daripada satu lagi pukulan sudut penalti, kali ini merembat masuk ke sebelah kiri gawang Afrika Selatan untuk gol kemenangan.

Sabtu, 15 April 2017

Kita perlu jurulatih baru - Mirnawan

ARKIB : 11/03/2004
BEKAS ketua pasukan hoki kebangsaan, Mirnawan Nawawi berpendapat sudah tiba masanya pasukan hoki kebangsan beralih angin dengan mencari pembimbing baru yang berupaya memacu skuad negara bersaing dengan pasukan handalan dunia.
Beliau berkata, kegagalan skuad hoki negara layak ke Sukan Olimpik 2004 di Athens kelmarin membuktikan keupayaan pasukan negara sudah mencapai tahap di mana ia tidak mampu pergi lebih jauh.
``Apa yang saya maksudkan ialah apabila satu-satu pasukan dibimbing terlalu lama oleh orang yang sama, keupayaan pasukan terhenti setelah mencapai satu tahap kecemerlangan.
``Maksudnya kecemerlangan sesebuah pasukan itu terhenti atau tidak mampu pergi lebih jauh setelah ia melepasi satu peringkat kegemilangan.
``Untuk itu saya berpendapat pasukan hoki kebangsaan perlu bertukar angin setelah sekian lama dibimbing orang yang sama,'' katanya.
Kelmarin, pasukan hoki negara gagal layak ke Sukan Olimpik di Athens selepas kalah 2-1 kepada Belgium dalam perlawanan kelayakan Kumpulan B di Stadium Club de Campo, Madrid, Sepanyol.
Malaysia yang hanya perlu keputusan seri dikecewakan dengan gol kemenangan Belgium pada minit ke-50 hasil jaringan Jean-Philippe Brule.
Dalam perlawanan kelayakan terdahulu, Malaysia tewas 1-0 kepada New Zealand, kalah 5-3 kepada India, menang 3-2 ke atas Kanada dan seri 0-0 menentang Pakistan.
Malaysia tidak pernah gagal layak ke Sukan Olimpik sejak pertama kali layak pada Sukan Olimpik di Melbourne 1956.
Mirnawan turut menyifatkan kegagalan pasukan negara layak ke Olimpik 2004 sebagai detik hitam dalam sejarah sukan negara.
Menurutnya, kegagalan itu sekali gus menyebabkan pasukan negara tersisih dari kelompok pasukan terbaik dunia.
``Kita terpaksa menunggu empat tahun lagi iaitu pada Sukan Olimpik seterusnya untuk menebus kegagalan di Sepanyol,'' katanya.
Mirnawan yang pernah beraksi pada tiga Sukan Olimpik sejak 1992 berkata, kegagalan itu menyebabkan pengorbanan dan penat lelah para pemain setahun setengah menjalani persediaan ke Olimpik menjadi sia-sia.
``Sebagai pemain saya memahami betapa perit menjalani latihan untuk berdepan kejohanan besar,'' katanya.

Kita gagal ke Olimpik

 PEMAIN pertahanan Malaysia, Nor Azlan Bakar (kanan) berusaha menghalang kemaraan penyerang Belgium, Mike Dewever dari memasuki kawasan bahaya pada perlawanan terakhir masing-masing dalam Kumpulan B hoki kelayakan Olimpik di Madrid semalam. Belgium menang 2-1. - Gambar AFP.
SKUAD hoki lelaki negara mencacatkan sejarah gemilangnya sebelum ini apabila buat pertama kali gagal layak ke Sukan Olimpik setelah tewas 2-1 kepada Belgium di pusingan kelayakan di Madrid semalam.
Malaysia tidak pernah gagal ke Sukan Olimpik sejak hoki dipertandingkan pada 1956 di Melbourne.
Malaysia hanya memerlukan keputusan seri daripada perlawanan terakhirnya dalam Kumpulan B itu untuk terus berada dalam persaingan merebut tempat kelima hingga lapan.
Kekalahan itu menyebabkan Malaysia akan bersaing dalam perebutan tempat kesembilan hingga dua belas - yang tidak membawa sebarang makna.
Malaysia memulakan perlawanan dengan mendahului Belgium dari segi kedudukan dalam kumpulan B. Skuad negara berada di tangga keempat dengan empat mata manakala Belgium kelima dengan tiga mata.
Bagaimanapun, pencabar mereka dari Eropah itu pantas menguasai permainan apabila Patrice Houssein menjaringkan gol pertama perlawanan pada minit ke-13 dengan pukulan lambung selepas bola melantun setelah terkena penjaga gol, Roslan Jamaluddin.
Malaysia bangkit dengan asakan garang dan berjaya mendapatkan tiga pukulan penalti sudut dalam tempoh tujuh minit terakhir babak pertama, dan ketua pasukan, S. Kuhan menemui sasaran menerusi pukulan kedua untuk mengikat kedudukan sebelum rehat.
Tetapi, ketika gerakan Roslan terus menyelamatkan Malaysia daripada beberapa serangan, Belgium akhirnya memperoleh gol kemenangan menerusi Jean-Philippe Brule hasil serangan balas daripada kegagalan skuad negara menyempurnakan pukulan penalti sudut minit ke-50.
Pusingan kelayakan di Madrid menyediakan tujuh tempat untuk ke Athens dengan dua pasukan teratas setiap kumpulan layak secara automatik. - Agensi

Malaysia cerahkan peluang

ARKIB : 09/03/2004
MALAYSIA mencerahkan peluang untuk sekurang-kurangnya bermain dalam perlawanan klasifikasi tempat kelima/lapan untuk layak ke Athens selepas seri tanpa jaringan dengan pendahulu, Pakistan dalam saingan Kumpulan B kelayakan hoki Sukan Olimpik di Madrid, semalam.
Skuad negara kini mengumpul empat mata selepas empat perlawanan untuk menduduki tempat keempat di belakang Pakistan, India dan New Zealand.
Kedudukan tempat keempat itu dibantu oleh saingan terdekat Malaysia, Belgium yang turut mencatat seri dalam perlawanan terdahulu, seri 2-2 dengan Kanada untuk menduduki tempat kelima kumpulan.
Hanya pasukan tempat ketiga dan keempat dari setiap kumpulan layak bermain dalam perlawanan klasifikasi tempat kelima hingga kelapan dalam kelayakan ini.
Begitupun, Malaysia perlu menang dengan Belgium dalam perlawanan terakhir kumpulan yang berlangsung hari ini bagi mengekalkan kedudukan itu, atau mungkin layak ke separuh akhir.
Jika Malaysia berjaya ke separuh akhir, tempat ke Athens sudah terjamin secara automatik.
Bagaimanapun, New Zealand dan India dilihat lebih berpeluang untuk mengiringi Pakistan layak ke Athens secara automatik dari Kumpulan B jika melihat kedudukan mereka.
Dua pasukan itu berkongsi tujuh mata tetapi India memiliki kelebihan jaringan untuk di tangga kedua. Pakistan di tangga teratas dengan sepuluh mata selepas mencatat tiga kemenangan berturut-turut dan seri dengan Malaysia.
Dalam perlawanan semalam, Pakistan mendapat tiga pukulan sudut penalti yang gagal disempurnakan oleh bintang mereka, Sohail Abbas.
Begitupun penjaga gol negara, Roslan Jamaluddin harus diberi pujian tinggi apabila berjaya menyelamatkan percubaan sudut penalti pertama Pakistan pada minit ke-15 dengan meluru keluar menampan bola pukulan Sohail.
Malaysia bagaimanapun hanya mendapat satu pukulan sudut penalti yang turut gagal dimanfaatkan oleh ketua pasukan negara, S. Kuhan.
Skuad negara bermain dengan corak bertahan dan kawalan ketat ke atas setiap pemain lawan yang menyebabkan Pakistan sukar bergerak walaupun pasukan lawan menguasai permainan.
Begitupun, Malaysia sesekali berjaya melancarkan serangan balas dan peluang terbaik diperoleh oleh Chua Boon Huat pada minit ke-15 yang menyaksikan bola rembatannya ditampan keluar oleh penjaga gol lawan.
Keputusan seri dengan Pakistan itu adalah yang kedua dalam tempoh dua bulan selepas seri 1-1 pada Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah di Kuala Lumpur, Februari lalu.
Malaysia tewas 1-0 kepada New Zealand pada perlawanan pertama, tewas 5-3 kepada India sebelum bangkit dengan kemenangan 3-2 ke atas Kanada.
Sementara itu, India memberi kekalahan pertama kepada New Zealand dengan kemenangan 2-0 dalam perlawanan terdahulu.

Jumaat, 14 April 2017

Malaysia pasti layak - Mirnawan

ARKIB : 01/03/2004
BEKAS pemain negara, Mirnawan Nawawi yakin pasukan kebangsaan bakal layak ke sukan Olimpik 2004 di Athens tetapi memberi ingatan supaya para pemain mengetepikan masalah remeh seperti cuaca sejuk dan sukar mendapat makanan yang sesuai yang dilihat boleh mengganggu tumpuan mereka, lapor syed hisham idris.
Bekas ketua pasukan hoki kebangsaan itu berkata, tiada alasan untuk mereka gagal melayakkan diri dan jika ia terjadi, Mirnawan menyifatkan ia sebagai satu malapetaka dalam sukan itu di negara ini.
``Tiada sebab mereka gagal melepasi pusingan kelayakkan Olimpik kerana mereka sudah membuat persediaan sejak tahun hampir dua tahun.
``Lagipun kita berada bersama pasukan yang boleh ditewaskan seperti New Zealand, Kanada, Belgium dan saingan hanya dari pasukan India dan Pakistan tetapi kita pernah menewaskan kedua-dua pasukan pilihan itu.
``Saya berharap barisan pemain kita mampu meneruskan rekod Malaysia yang tidak pernah gagal ke sukan Olimpik, kecuali pada 1988 di Seoul, Korea.
``Jika kita gagal, kita akan tersisih dari pasukan terbaik dunia dalam tempoh empat tahun,'' katanya ketika ditemui di Petaling Jaya, semalam.
Malaysia bakal berdepan New Zealand pada perlawanan kelayakkan Olimpik di Madrid, Sepanyol, esok.
Malaysia berada dalam Kumpulan B bersama New Zealand, India, Kanada, Pakistan dan Belgium.
Mirnawan yang telah beraksi dalam tiga sukan Olimpik sejak 1992 berkata, skuad kebangsaan juga berada di ranking terbaik iaitu antara tujuh pasukan terbaik dunia buat masa ini, berbanding pasukan lain dalam kumpulan B.
Selain itu, katanya para pemain juga sudah dapat menyesuaikan diri dengan cuaca sejuk di Madrid kerana mereka pernah mengadakan perlawanan persahabatan di sana sebelum ini.
``Saya juga yakin kombinasi pemain senior dan muda tidak berdepan laluan getir untuk ke Olimpik cuma mereka perlu memperkuatkan mental kerana kejo-hanan sebesar pra-Olimpik menuntut pengalaman yang cukup luas,'' katanya.
Tambahnya, pemain senior seperti ketua pasukan, S. Kuhan, Keevan Raj, K. Gopinathan, Jiva Mohan, Roslan Jamaluddin dan Azlan Misron mampu berganding dengan baik bersama pemain muda.
``Saya berpendapat skuad nasional sekarang cukup mantap kerana mereka sudah membuat persediaan secukupnya untuk ke Olimpik,'' ujarnya.
Mirnawan turut menegaskan bahawa pemain muda perlu sedar kejohanan pra-Olimpik bukanlah kejohanan untuk mendapatkan pendedahan antarabangsa.
Sebaliknya, kata Mirnawan kejohanan sebesar itu merupakan kejohanan untuk menghasilkan keputusan yang baik.
``Sama ada pemain cukup pendedahan atau sebaliknya, mereka harus memikul tanggungjawab meneruskan rekod cemerlang skuad hoki kebangsaan yang tidak terlepas dari beraksi di sukan Olimpik,'' katanya.

Selasa, 11 April 2017

Malaysia dapat suntikan semangat



ARKIB : 09/02/2004

SKUAD hoki negara mendapat suntikan semangat menjelang kelayakan Sukan Olimpik di Madrid, Sepanyol bulan depan apabila mencatat kemenangan 2-1 ke atas Poland dalam aksi persahabatan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, semalam.

Ia adalah perlawanan pertama daripada empat aksi persahabatan yang diatur dengan Poland, selepas menentang Korea Selatan dalam tiga perlawanan sebelum ini.

Malaysia tewas dalam ketiga-tiga aksi dengan Korea Selatan itu.

Begitupun, gol kemenangan Malaysia diperoleh seminit sebelum wisel penamat dibunyikan, selepas skuad negara ketinggalan 1-0.

Poland, yang juga dalam persiapan untuk kelayakan temasya yang sama, mendahului pada minit ke-45 menerusi Zbigniew Juszczek hasil satu pukulan sudut penalti.

Muhd. Amin Rahim menyamakan kedudukan 10 minit kemudian hasil rembatan padu hasil pukulan sudut penalti.

Gol kemenangan Malaysia dijaringkan oleh Nishel Kumar yang melayangkan badan menghulur kayu hokinya untuk menampan masuk bola hantaran silang Chua Boon Huat pada minit ke-69.

``Walaupun menang, saya masih nampak beberapa kelemahan di posisi tertentu dalam skuad ini. Apa pun, ini adalah pasukan yang dibarisi oleh pemain baru.

``Saya yakin kita mampu mencipta lebih banyak peluang gol jika saya turunkan barisan utama,'' kata jurulatih negara, Paul Lissek selepas perlawanan itu.

Beberapa pemain tonggak tidak diturunkan semalam kerana cedera.

Dalam kelayakan di Madrid yang berlangsung 2-13 Mac ini, Malaysia diletakkan dalam Kumpulan B bersama juara Piala Asia, India, Pakistan, Kanada, Belgium dan New Zealand.

Malaysia akan membuka kempen kelayakan itu menentang New Zealand pada 3 Mac.

Poland pula dalam Kumpulan A yang membariskan juara Olimpik 1998, Belanda, England, Sepanyol, Jepun dan Afrika Selatan.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0209&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4dvpLIa4c
© Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 9 April 2017

Malaysia seri Pakistan ke babak akhir



ARKIB : 15/01/2004

PAKISTAN menjadi pasukan pertama menempah tempat ke perlawanan akhir Hoki Piala Sultan Azlan Shah selepas seri 1-1 dengan Malaysia di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, semalam.

Bagaimanapun, Pakistan dikejutkan gol pendahuluan Malaysia menerusi jaringan S. Kuhan yang menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-42.

Pakar pukulan sudut penalti, Sohail Abbas kemudian menyelamatkan maruah pasukannya apabila menghasilkan jaringan penyamaan minit ke-48.

Kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada separuh masa pertama.

Pakistan hanya memerlukan seri untuk layak ke perlawanan akhir Ahad ini.

Sebelum itu, penyerang Sepanyol Santiago Santiago Freixa dan ketua pasukan Jerman Florian Kunz masing-masing menghasilkan jaringan hatrik sebelum kedua-dua pasukan terikat 4-4.

Freixa membuka jaringan minit ketiga sebelum Sebastian Biederlack menyamakan kedudukan buat Jerman tujuh minit kemudian.

Pol Amat meletakkan Sepanyol kembali di depan pada minit ke-27 dan Freixa membuka kembali ruang saingan sebelum berakhir separuh masa pertama menerusi gol minit ke-30 dan 35.

Jerman berterima kasih kepada Kunz yang menyelamatkan Jerman menerusi gol minit ke-52, 66 dan 68.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0115&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4dkkVuQaC
© Utusan Melayu (M) Bhd