Ahad, 9 April 2017

Malaysia melawan tetapi tewas



ARKIB : 10/01/2004

Ia adalah kemenangan kedua Jerman, yang menundukkan India 3-1 kelmarin manakala Malaysia tidak perlu berasa kerdil selepas membuktikan mereka mampu memberikan tentangan kuat sekalipun berdepan dengan pasukan terkuat dunia.

Bjoern Michel meraikan rekodnya selaku pemain paling banyak mewakili Jerman semalam dengan menjaringkan gol pembukaan perlawanan pada minit ke-18.

Jaringan itu bagaimanapun segera dibalas oleh skuad negara apabila Ismail Abu menggelecek seorang pertahanan lawan sebelum menolak masuk dari jarak dekat selepas menerima hantaran pemain serba boleh, Chua Boon Huat.

Permainan bersemangat Malaysia berterusan ke babak kedua. Usaha berterusan mereka berbaloi apabila memperoleh gol pada minit ke-43 menerusi penalti strok pemain pertahanan, Muhamad Amin Rahim.

Jerman menukar penjaga golnya, dengan memasukkan Christian Schulte yang tinggi lampai.

Tetapi muslihat itu tidak menjejaskan tumpuan Amin yang menolak ke sebelah kiri gawang ketika Schulte rebah ke kanan.

Ketinggalan 2-1 menyaksikan Jerman tetap tenang mengatur gerakan menuju kubu Malaysia.

Jerman berjaya memperoleh penalti sudut pada minit ke-59 dan ia digunakan dengan baik untuk mengatur muslihat yang menyaksikan Bjoern Emmerling memukul masuk untuk gol penyamaan.

Jaringan itu menambah semangat juara dunia dan pilihan pertama itu untuk menambah gol.

Mereka mendahului 3-2 apabila Bjoern Emmerling menampan masuk tanpa melihat gawang selepas menyambar pukulan lintang Scharowsky pada minit ke-66.

Jaringan itu belum cukup memuaskan hati juara Eropah itu, yang mengukuhkan jumlah jaringan mereka menerusi pemain pertahanan gantian, Tobias Hentschel pada minit ke-69.

Kemenangan itu membolehkan Jerman merampas kedudukan tangga teratas daripada Pakistan berbekalkan kelebihan perbezaan jumlah gol. Malaysia pula di tangga keempat dengan satu mata setelah seri kelmarin seri dengan Sepanyol, yang menduduki tangga ketiga dengan empat mata.

JERMAN - Arnold Clemens, Philipp Crone, Bjoern Michel, Christoph Eimer, Bjoern Emmerling, Dr. Michel Green, Tibor Weissenborn, Florian Kunz, Timo Wess, Christoph Bechmann, Matthias Witthaus

MALAYSIA - S. Kumar, Muhamad Amin Rahim, Chua Boon Huat, K. Logan Raj, S. Kuhan, K. Gobinathan, Jiwa Mohan, K. Keevan Raj, Ismail Abu, Azlan Misron, Norazlan Rahim.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0110&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4djXb1hPB
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan