Jumaat, 29 Julai 2016

Gol Chairil tutup malu


 

ARKIB : 03/04/1998

TERSUNGKUR... Pemain negara, Calvin Fernandez berusaha menguis bola daripada tampanan Yasuhiro Nobui walaupun sudah rebah sambil diperhatikan oleh Atsushi Takehara (6) dan Lam Mun Fatt. Malaysia menang 2-1 pada perlawanan ujian ketiga di Stadium Tun Razak, semalam. - Gambar AZALEZAH MALEK.

HAMBAR dan membosankan - begitulah yang mengungkap mutu persembahan Malaysia semalam sekalipun menewaskan Jepun 2-1 pada perlawanan hoki ujian ketiga di Stadium Tun Razak, Kuala Lumpur.

Kecuali dua gol sumbangan Chairil Anwar Aziz, minit pertama dan ke-26, permainan tidak teratur skuad negara semalam terus mengundang tanda tanya apakah persediaan ke Utrecht, Belanda sudah cukup untuk pusingan akhir Piala Dunia, Mei ini.

Hantaran bercelaru selain tujuh cubaan sudut penalti yang gagal, masih lagi dianggap bertambah baik berbanding pertemuan kedua oleh jurulatih negara, Volker Knapp.

''Malaysia lebih baik berbanding Selasa lalu. Pemain menguasai padang walaupun terlepas peluang.

''Boleh dikatakan semua set-pieces sudut penalti telah dicuba namun bola tidak berada pada posisi sepatutnya untuk disudahkan,'' kata Knapp.

Didesak untuk menebus kekalahan 3-4, Selasa lalu, Malaysia memulakan babak pertama dengan deruan pantas Chairil.

Pemain kelahiran Terengganu itu merembat deras menewaskan penjaga gol Jepun, Yasuhiro Nobui.

Chairil terus cemerlang apabila menggunakan kepintaran menambah gol kedua Malaysia.

Chairil memintas pukulan percuma R. Shankar dengan tampanan tepat yang mengelirukan Nobui, minit ke-26.

Sebaliknya Jepun menerusi Takahiko Yamabori sentiasa mendebarkan penjaga gol negara, Paul Lopez terutama ketika barisan belakangnya berjaya mematahkan cubaan sudut penalti Malaysia.

Asakan kilat Jepun itu berhasil apabila memperoleh penalti stroke pada minit ke-68 yang disudahkan oleh Yamabori

Malaysia akan beraksi pada ujian keempat di Stadium Hoki Seremban, 5 petang ini.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0403&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4FrIW5T7L © Utusan Melayu (M) Bhd

Khamis, 28 Julai 2016

Juara lalu kecundang


 

ARKIB : 15/03/1998

BERJAYA... Jiwa Mohan gembira meraikan jaringan gol tunggal ESA hasil pukulan sudut penalti. ESA bagaimanapun tumpas 1-2 kepada OLAK pada perlawanan pembukaan Liga Hoki Remaja (LHR), semalam. - Gambar SHAHARUDDIN ABDULLAH.

PERSATUAN Pelajar Lama Old La Salle Klang (OLAK) membuktikan kegarangan awal untuk membenam juara keseluruhan tahun lalu, Electrical Switchgear Automation (ESA) 2-1 pada perlawanan pembukaan Liga Hoki Remaja (LHR) di Stadium Tun Razak, Kuala Lumpur semalam.

Penguasaan OLAK di segenap inci padang menunjukkan betapa mereka cukup bersedia mempertahankan gelaran liga sekali gus menebus dendam lama apabila kalah 0-1 kepada ESA pada perlawanan akhir tahun lalu.

Babak pertama ternyata menjadi milik mutlak pasukan dari Selangor ini apabila barisan serangan yang diketuai oleh Syayrim Uda Karim kerap kali mendesak kubu ESA dengan larian pantas dan kelicikan mengawal bola.

Hasilnya, gawang lawan dari Pulau Pinang ini tidak mampu menahan asakan lanjut OLAK hingga menyaksikan penjaga golnya, Najib Affendy tertewas buat kali pertama.

Syayrim, salah seorang pemain skuad Remaja Malaysia Projek 2001 mengutip bola yang muntah daripada perebutan di hadapan gol untuk merembat masuk pada minit ke-21.

Jaringan sulung ini serta-merta menyuntik semangat pasukan OLAK yang turut menampilkan tiga lagi pemain Projek 2001 untuk terus 'berkampung' di kubu ESA.

Amin Rahim, Madzli Ikmar dan Faizal Daud yang menyertai Syayrim dalam skuad pelapis negara sentiasa menyelinap ke kubu ESA dengan gerakan pantas bagaimanapun kecemerlangan Najib menafikan sebarang jaringan tambahan OLAK.

Namun kerapuhan barisan pertahanan ESA terhukum kali kedua apabila minit terakhir babak pertama menyaksikan Shahrizal Mastor yang tidak dikawal langsung dalam kawasan D, merembat kencang untuk membawa OLAK mendahului 2-0.

Kesedaran ESA untuk bangkit bersaing hanya muncul sejurus babak kedua mengambil tempat biarpun jaringan menerusi pukulan sudut penalti mereka dibatalkan oleh pengadil kerana pukulan tinggi yang terlalu berbahaya.

Melihat barisan lawan terlalu pantas untuk disaingi di samping kekebalan penjaga golnya, Saiful Azhar Afandi yang seringkali menghampakan mereka, ESA mengalih tumpuan memecah kebuntuan jaringan dengan sudut penalti.

Satu tipu helah (set-pieces) yang menarik dicipta oleh Jivan Mohan ternyata membuahkan hasil sekalipun rembatannya sempat ditampan Saiful sebelum muntah kembali dalam kawasan D OLAK.

Menerpa pantas untuk memanfaatkan kesempatan itu ialah Jiwa Mohan, juga pemain Projek 2001 untuk merapatkan jurang kedudukan buat ESA.

''OLAK berjaya dalam misi pertamanya kerana sentiasa menekan lawan dengan asakan pantas. Namun kami perlu menggilap semula penyudahan sudut penalti yang agak kelam-kabut hari ini (semalam),'' kata penolong pengurus pasukannya, Joseph de Silva.

OLAK dan ESA masing-masing memperoleh 10 pukulan sudut penalti semalam dengan tujuh daripadanya merupakan percubaan tepat ke gol bagi wakil Selangor itu sementara empat kepunyaan juara bertahan keseluruhan.

''Ketiadaan K. Keevan Raj dan K. Logan Raj begitu terasa sekali dan ini menjejaskan sedikit jentera serangan ESA,'' kata pengurus pasukan ESA, Kali Kavandan Sinnan.

Larangan Persekutuan Hoki Malaysia (PHM) yang mahukan kedua-dua pemain itu menumpukan latihan dengan skuad kebangsaan menghalang mereka daripada beraksi pada LHR kali ini.

OLAK akan menghadapi pasukan jiran, Majlis Perbandaran Klang (MPK) di Stadium Pandamaran, Pelabuhan Klang untuk perlawanan keduanya, Jumaat ini.

Sementara ESA melayan kunjungan Sekolah Sukan Bukit Jalil di Stadium Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang, hari yang sama.

Oleh: ABDUL HAFIZ AHMAD

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0315&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4Fhxqiecs © Utusan Melayu (M) Bhd

Rabu, 27 Julai 2016

Sudah terlambat..

ARKIB : 07/03/1998.
SERI 1-1 dengan England, semalam mengubah sedikit nasib Malaysia pada Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah ke-8 tetapi sudah terlambat untuk sekurang-kurangnya menyaingi perebutan tempat ketiga dengan Korea Selatan.

Tanpa kemenangan semalam dan perbezaan jaringan memisahkan skuad negara daripada cabaran itu hanya meletakkan anak buah Volker Knapp ini sekadar bersaing untuk mengelak dari tempat tercorot, esok.

Apapun, selepas dibelasah teruk Jerman, Australia dan Korea sehingga menarik perhatian Menteri Belia dan Sukan, Tan Sri Muhyidin Yasin, Malaysia turun dengan persembahan yang lebih berkesan ketika menghadapi England.

Sedikit perubahan persembahan skuad negara itu masih mampu mengundang sokongan lebih 500 penyokong tempatan pada setiap kali mereka menyerang kubu lawan. Malangnya peluang yang datang itu tidak digunakan sebaiknya.

Namun kelemahan penyudah pukulan sudut pendek sebagaimana kata jurulatih negara, Volker Knapp ada benarnya apabila pemain negara gagal dalam tiga percubaan itu pada minit kedua, ketiga dan ke-12.

England sebaliknya menyempurnakan pukulan sudut pendek pertama mereka pada minit ke-13 menerusi Russel Garcia.

Penjaga gol negara, Paul Lopez patut diberi pujian apabila menidakkan hasrat England mendapatkan gol kedua setelah menepis pukulan penalti stroke oleh Garcia pada minit ke-26.

S. Kuhan akhirnya menyelamatkan maruah negara daripada terus kecundang dengan penyudahan sudut pendek yang menumpaskan penjaga gol England, Simon Mason pada minit ke-48.

Sebelum ini, Malaysia ditumpaskan oleh England 1-2 pada perlawanan ujian, 26 Februari lalu, dikuti oleh kekalahan 0-5 kepada pada ujian kedua.

''Saya mengharapkan Malaysia menang petang ini (semalam) tetapi nasib tidak menyebelahi kami walaupun mempunyai banyak peluang menambahkan jaringan,'' kata Knapp.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0307&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4Fd5nckkP

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tingkatkan strategi

ARKIB : 06/03/1998
MENTERI Belia dan Sukan, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam memberi teguran kepada Persekutuan Hoki Malaysia (MHF) agar segera berusaha memantapkan kembali pasukan negara berikutan kekalahan teruk pada kejohanan Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh.

Beliau ketika ditemui di Kuala Lumpur semalam, menyifatkan skuad negara tidak sepatutnya mengalami kekalahan sebegitu teruk khususnya menjelang pusingan akhir Piala Dunia di Utretch, Belanda pada Mei depan.

Pada kejohanan itu, pasukan negara tewas 1-5 kepada Jerman, 0-5 Australia dan kekalahan terbaru, dibelasah 8-1 oleh pasukan Korea selepas memulakan kempen pada pertandingan itu dengan cemerlang apabila mengejutkan New Zealand dengan kemenangan 4-0.

''Kita harap tidak kalah teruk pada Piala Dunia nanti. Kekalahan pada Piala Sultan Azlan Shah ini juga memberi amaran awal kepada Knapp dan Timbalan Presiden MHF, Datuk Seri P. Alagendra sendiri untuk memperkemaskan lagi skuad negara.

''Kita tidak boleh mengambil mudah bahawa kita sudah muncul juara di rantau ini dan kita sudah sedia berdepan cabaran Piala Dunia. Ia sesuatu yang berbeza,'' kata Muhyiddin.

Begitupun Muhyiddin berkata, skuad negara tetap akan memberi cabaran pada Piala Dunia kerana melepasi kelayakan untuk ke kejohanan tersebut.

''Kita akan tetap bersaing pada Piala Dunia kerana sudah layak, tetapi jangan biarkan negara kita kalah siang-siang lagi.

''Mungkin kita punya alasan kalah kali ini kerana tiada beberapa tonggak seperti Minarwan Nawawi, R. Shankar dan lainnya, tetapi kita perlu bangkit pada Piala Dunia nanti.

''Kita mahu sekurang-kurangnya berada di tangga keenam hingga 10. Kalau ini boleh dilakukan harapan meraih pingat pada Sukan Komanwel nanti lebih cerah,'' ujarnya.

Kekalahan teruk pasukan negara dikecam hebat oleh media tempatan sehingga ada yang menganggap penyertaan negara pada kejohanan terbesar di Utrecht sebagai sesuatu yang membazirkan.

Dalam pada itu, Muhyiddin meminta Persatuan Kriket Malaysia (MCA) mencari jalan menyelesaikan kemelut yang melanda sukan itu apabila para pemain negara dikatakan meminta jurulatih negara, Sadiq Mohammad dipecat kerana gagal melaksanakan tugas dengan baik.

''Saya harap Majlis Sukan Negara (MSN) dan MCA dapat segera menyelesaikan perkara ini kerana kita berada di saat genting dalam menghadapi Sukan Komanwel.

''Kita harap persiapan negara serta pemain tidak terganggu dengan masalah sebegini. MCA perlu cari jalan mengatasinya,'' ujarnya ringkas.




Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0306&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4Fd3Eo2zU © Utusan Melayu (M) Bhd

Malu, sungguh malu

ARKIB : 05/03/1998
MALAYSIA menghadapi hari paling memalukan dalam sejarah hokinya apabila dibelasah teruk 8-1 oleh Korea Selatan pada Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah ke-8 di Stadium Sultan Azlan Shah, Ipoh, semalam.

Kekalahan ini amat mengaibkan dalam pada skuad negara sekali gus membayangkan keraguan tentang kemampuan mereka untuk menghadapi pusingan akhir Piala Dunia di Utrecht, Belanda, Mei ini.

Inilah kekalahan terbesar besar menimpa skuad negara pada aksi ketiganya di Ipoh yang terus merobek luas luka selepas tumpas dengan lima gol kepada Jerman dan Australia.

Malaysia cuma 'panas' pada hari pertama kejohanan, Sabtu lalu dengan menang 4-0 ke atas New Zealand.

Gol-gol Korea Selatan semalam dijaringkan oleh Hong Kyung Seup pada minit kelima, 33 dan 50, Shin Seok Kyo (minit kesembilan dan 67), Lee Young Hwang (minit ke-21), Park Shin Heum (minit ke-63) dan Jeong Yong Kyun (minit ke-68).

Gol tunggal Malaysia dijaringkan oleh ketua pasukan, Nor Saiful Zaini Nasiruddin pada minit ke-57.

Persembahan yang ditunjukkan oleh skuad negara pada babak pertama serba tidak kena seolah-olah dipukau oleh barisan pemain Korea Selatan.

Juara bertahan itu mempamerkan permainan pantas dengan menguasai segenap penjuru padang.

Pesta gol Korea Selatan bermula apabila pukulan sudut pendek yang dilakukan oleh Hong Kyung Seup pada minit kelima, berjaya mengatasi penjaga gol negara, Paul Lopez.

Pemain negara yang masih dalam keadaan tergamam dengan gol pertama itu dikejutkan lagi pada minit kesembilan setelah pukulan sudut pendek Shin Seok Kyo meluru masuk ke dalam jaring Malaysia.

Kedua-dua gol itu seolah-olah meragut semangat pemain negara sehingga menyebabkan persembahan mereka tanpa haluan.

Korea Selatan menambah gol ketiganya apabila hantaran Hong Kyung Seup disempurnakan dengan baik oleh Lee Young Hwang pada minit ke-21.

Hong Kyung Seup menambah derita negara dengan gol keempat pada minit ke-33 apabila menolak masuk hantaran silang yang dilakukan oleh rakannya.

Pada babak kedua, Korea Selatan terus mempamerkan kegagahan dengan menambah gol kelima dan keenam melalui rembatan kencang Hong Kyung Seup minit ke-50 dan Park Shin Heum minit ke-63.

Malaysia yang amat tertekan berjaya mendapatkan Tunggalnya apabila tolakan lambung Nor Saiful Zaini pada minit ke-57 gagal diselamatkan oleh penjaga gol Korea, Kang Seong Chun.

Begitupun, Korea Selatan nyata belum puas apabila menambah dua gol lagi melalui Shin Seok Kyo ( m-67 ) dan Jeong Yong Kyun ( m-68 ).

Walaupun menang besar, pengurus pasukan, Kim Sang Ryul belum berpuas hati dengan persembahan para pemainnya kerana mempersia-siakan banyak peluang gol.

''Kami belum mencapai persembahan yang sempurna lagi kerana terdapat beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki menjelang Piala Dunia di Belanda Mei depan,'' kata Sang Ryul.

Beliau turut terkejut dengan persembahan para pemain Malaysia kerana Korea tidak pernah mencatat kemenangan besar apabila kedua-dua pasukan bertemu.

Oleh: KAMARUDDIN ISMAIL

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0305&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4Fcn54yYe © Utusan Melayu (M) Bhd

Aksi cemerlang

ARKIB : 01/03/1998
 
KUHAN... jaringkan gol ketiga Malaysia pada minit ke-60.

BANGKIT seperti harimau luka selepas dua kekalahan perlawanan persahabatan dan ujian lalu, Malaysia bertindak garang untuk membelasah New Zealand 4-0 pada hari pembukaan Hoki Piala Sultan Azlan Shah ke-8 di Stadium Sultan Azlan Shah, Ipoh, semalam.

Chairil Anwar Aziz, Apthar Singh, S. Kuhan dan Lam Mun Fatt layak ditabal sebagai wira negara kerana bertanggungjawab menghasilkan pesta kemenangan skuad negara itu menerusi rangkaian jaringan pada minit ke-12, 55, 60 dan 66.

Beberapa saat selepas wisel permulaan babak pertama dibunyikan, anak buah Volker Knapp ini dihadapkan dengan suasana cemas apabila New Zealand dihadiahkan pukulan sudut pendek.

Keadaan bertambah gawat setelah barisan pemain Malaysia dipersalahkan semasa New Zealand melakukan pukulan sudut pendek hingga memaksa pengadil menghukum mereka dengan pemberian penalti stroke kepada skuad Kiwi itu.

Namun hasrat New Zealand untuk mendahului, hampa akibat tindakan cemerlang Paul Lopez, penjaga gol negara yang berjaya menampan pukulan oleh Darren Smith itu pada minit kedua.

Selepas itu, persembahan pemain negara bertambah mantap dengan melakukan serangan yang bertali arus ke atas kubu lawan.

Usaha gigih para pemain negara akhirnya membuahkan hasil apabila Chairil menguis masuk umpanan daripada Maninderjit Singh untuk membuka tirai jaringan Malaysia pada minit ke-12.

New Zealand turut bekerja keras bagi menyamakan kedudukan tetapi kekentalan barisan belakang Malaysia terlalu kental untuk ditawan oleh penyerang mereka.

Ketua pasukan, Nor Saiful Zaini Nasiruddin yang memperolehi peluang daripada tiga pukulan sudut pendek pada minit ke-22, 27 dan 34 bagaimanapun gagal untuk melebarkan kedudukan negara.

Babak kedua menyaksikan barisan pemain Malaysia terus meningkatkan asakan mereka sehingga mengkucar-kacirkan benteng pertahanan New Zealand.

Memanfaatkan keadaan kucar-kacir itu, Aphtar Singh sempat menambah gol kedua Malaysia melalui rembatan kencangnya untuk menumpaskan penjaga gol New Zealand, Scott Anderson.

Walaupun demikian, skuad negara masih lagi hampa untuk mendapatkan gol melalui pukulan sudut pendek.

Penyudahan lima pukulan itu yang diperolehi pada minit ke-41, 42, 47, 57 dan 59 masih lagi tersasar dari pintu gol New Zealand.

Namun kemunculannya kali keenam pada babak kedua berjaya mengubah nasib malang itu setelah pukulan deras Kuhan mencecah gawang New Zealand untuk gol ketiga Malaysia.

Anderson terus tewas buat kali keempat melalui rembatan kencang Mun Fatt pada minit ke-66.

Tentu sekali kemenangan 4-0 itu menguntum senyuman lebar Knapp sambil menyatakan, arahannya yang diikuti oleh setiap pemain merupakan faktor utama mereka mampu mencipta langkah cemerlang, semalam.

''Kejohanan ini baru sahaja bermula dan banyak perlawanan yang perlu ditempuhi. Harap-harapnya, pemain negara tidak terlalu khayal dengan kemenangan ini,'' kata Knapp.

MALAYSIA: Paul Lopez, Maninderjit Singh, Calvin Fernandez, S. Kuhan, Nor Azlan Bakar, Chairil Anwar Aziz, Brian Jayhan Siva, Nor Saiful Zaini Nasiruddin, M. Kaliswaran, Apthar Singh dan A. Arul Selvaraj.

NZ: Scott Anderson, Andrew Timlin, Dion Gosling, Umesh Parag, Darren Smith, Andrew Hastie, Brett Leaver, John Radovonich, Ryan Archibald, Simon Towns dan Hymie Gill.

JADUAL HARI INI

5.35 ptg - MALAYSIA lwn Jerman; 7.35 mlm - Korea Selatan lwn England

(Semua perlawanan di Stadium Sultan Azlan Shah, Ipoh)

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0301&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4Fby8AS3J © Utusan Melayu (M) Bhd

Empat pemain jadi perhatian

ARKIB : 25/02/1998
EMPAT pemain termasuk Brian Jayhan Siva akan menjadi perhatian jurulatih negara, Volker Knapp pada perlawanan hoki persahabatan dengan Jerman di Stadium Sultan Azlan Shah, Ipoh, petang ini dalam usaha mengatasi masalah ketumpulan jentera serangan negara.

Selain Brian, Knapp juga akan meneliti keupayaan S. Nishel Kumar, Lam Mun Fatt dan M. Kaliswaran bagi mengatasi masalah ketumpulan skuad negara menyempurnakan peluang.

Jurulatih dari Jerman itu terpaksa menyelesaikan masalah tersebut menjelang Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah yang bermula Sabtu ini.

Barisan serangan negara dibelenggu masalah ketumpulan penyudah apabila dua pemain utamanya, Minarwan Nawawi dan R. Shankar masih mengalami kecederaan sekali gus diketepikan pada kejohanan kali kelapan itu.

Knapp tidak boleh mengharapkan ketua pasukan, Nor Saiful Zaini sahaja bagi mengetuai serangan kerana pemain itu juga akan bertindak turun membantu barisan pertahanan negara.

Jika Saiful dibebankan dengan tugas yang berat itu, tumpuannya dalam melakukan pukulan sudut pendek mungkin terjejas sekali gus melepaskan peluang skuad negara memperoleh gol 'mudah'.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persekutuan Hoki Malaysia (PHM), Datuk Seri P. Alagendra berkata, perlawanan persahabatan dengan Jerman akan dijalankan dalam tiga sesi.

Katanya, setiap sesi dalam perlawanan tersebut akan berlangsung selama 25 minit.

Alagendra menambah, skuad negara seterusnya akan beraksi lagi pada perlawanan ujian menentang England di stadium yang sama, esok.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0225&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_10.htm#ixzz4FbGL51Jh © Utusan Melayu (M) Bhd

Isnin, 25 Julai 2016

PHM yakin Piala Azlan Shah di Bukit Jalil

ARKIB : 15/01/1998
 
TANDA SOKONGAN... Timbalan Presiden Persekutuan Hoki Malaysia (MHF), Datuk Seri P. Alagendra (dua dari kanan) menerangkan tujuan buku diari rasmi MHF dilancarkan kepada lima pemain skuad Piala Dunia yang akan bertanding di Utrecht, Belanda pada 21 Mei hingga 1 Jun depan.

PERSEKUTUAN Hoki Malaysia (MHF) tetap yakin Kejohanaan Hoki Piala Sultan Azlan Shah ke-8 pada 28 Februari hingga 8 Mac depan, dapat diadakan di Stadium Bukit Jalil biarpun gelanggang sebenar belum diputuskan, NORZIE MOHD KHASBI melaporkan.

Timbalan Presiden MHF, Datuk Seri P. Alagendra berkata, mereka telah berbincang dengan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk menggunakan Stadium Bukit Jalil selepas pada awalnya dihalang menggunakannya kerana kerja-kerja pengubahsuaian.

''Kami masih menunggu jawapan MSN,'' katanya kepada pemberita pada sidang akhbar MHF di Kuala Lumpur, semalam.

Stadium berkenaan dihentikan operasi selama tiga bulan, bermula minggu depan kerana kerja pengubahsuaian yang dijalankan.

Bagaimanapun selepas berbincang dengan Ketua Setiuasaha Kementerian, Datuk Ahmad Bakri Sabdin beliau memberi jaminan kepada MHF untuk menggunakan stadium berkenaan.

Kejohanan ini ditunda sebelum ini kerana masalah jerebu dan sepatutnya berlangsung di Ipoh.

Sementara itu pada kejohanan itu, New Zealand akan menjadi pasukan pertama menguji skuad negara pada kejohanan sembilan hari itu selepas undian perlawanan diumumkan semalam.

Korea Selatan, yang bertanding menggantikan India akan menentang Jerman, manakala bekas juara dunia Australia pula berdepan England pada hari pembukaan.

Menurut Alagendra, dua hari sebelum kejohanan bermula pasukan negara akan menghadapi perlawanan ujian menentang England sebagai salah satu usaha mematangkan skuad kendalian Volker Knapp itu.

''Ini adalah skuad terbaik kami berbanding tahun sebelumnya.

''Keputusan perlawanan penting untuk mencetuskan semangat pemain apabila berdepan ujian sebenar di Piala Dunia, Sukan Komanwel dan Sukan Asia,'' katanya.

Tahun lalu, Malaysia menduduki tangga kelima dari enam pasukan mengambil bahagian.

Dalam pada itu, Izuan Suhardi dan Roslan Jamaluddin menyertai skuad hoki negara dalam posisi penjaga gol.

Skuad negara yang lain terdiri daripada Nor Saiful Zaini, penjaga gol veteran Paul Lopez, Nashin Nubli Ibrahim, Lailin Abu Hassan, Kerpal Singh, K Gobinathan, Maginderjit Singh, Nor Azlan Abu Bakar, Shankar Ramu, Calvin Fernandez, Arul Selvaraj, Brian Jayhan Siva, S. Kuhan, Keevan Raj, Apthar Singh, Minarwan Nawawi, Nishel Kumar, Logan Raj, Mahinder Singh, Lam Mun Fatt, M Kaliswaran dan Chairil Anwar Abd. Aziz.

Semalam MHF turut melancarkan buku diari rasminya sebagai tanda sokongan kepada skuad hoki yang berjaya melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Dunia selepas 16 tahun gagal melakukannya.

Buku berkenaan, yang dicetak sebanyak 10,000 untuk cetakan pertama akan dipasarkan dengan harga RM10 senaskah. Selain diari, ia turut mengandungi biografi pemain serta jadual kejohanan yang membabitkan skuad negara.

SUMBAR-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0115&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4FPt1ezLk © Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 22 Julai 2016

Maninderjit kembali kukuhkan skuad hoki

ARKIB : 04/01/2000
 
SEBAHAGIAN pemain kebangsaan gigih berlatih di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil semalam menjelang pusingan kelayakan Sukan Olimpik Sydney tahun ini. - Gambar ASWAD YAHYA

MANINDERJIT Singh dan Calvin Fernandez kembali mengukuhkan cabaran skuad kebangsaan ketika Chairil Anwar terpaksa diketepikan akibat kecederaan tumit untuk menyertai sesi latihan jelajah Jepun di Osaka dari 16 hingga 24 Januari ini, lapor RADZLIYANA RADZUWAN

Chairil direhatkan selama sebulan dan dijangka sembuh untuk kembali memikul cabaran pada Piala Sultan Azlan Shah di Kuala Lumpur pada 16 hingga 26 Februari ini.

Latihan pra-Olimpik itu turut mengetengahkan enam muka baru dari skuad remaja iaitu Chua Boon Huat, Keevan Raj, Logan Raj, Suhaimi Ibrahim, M. Jiwa dan Norazlan Rahim.

''Kita telah bermesyuarat dengan semua ahli jawatankuasa dan jurulatih mengenai pemilihan 18 daripada 35 pemain termasuk enam daripada skuad remaja kebangsaan tersebut,'' kata Timbalan Presiden Persekutuan Hoki Malaysia (MHF), Datuk P. Alegendra yang mengumumkan senarai nama pemain selepas tamat sesi latihan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, semalam.

Kriteria pemilihan pemain bergantung kepada tahap kecergasan yang tinggi dan mempunyai potensi untuk membantu Malaysia memenangi setiap kejohanan yang disertai.

Menurut Alegendra, kumpulan pemain yang diketuai oleh Mirnawan Nawawi akan berada di Osaka selama tujuh hari dan terlibat dalam lima perlawanan menentang skuad kebangsaan tuan rumah, Jepun sebagai persiapan menghadapi Sukan Olimpik di Sydney.

''Kita telah menetapkan empat orang pegawai yang akan turut serta dalam program ini iaitu Pengurus Besar, Poon Foke Loke, pegawai perubatan, Zulkifli Abu Samah, jurulatih, Steven Van Huizen dan seorang pembantu jurulatih yang akan diumumkan dalam masa dua atau tiga hari lagi,'' tambahnya.

Bagaimanapun katanya, pemain yang tidak terpilih ke Osaka akan terus menjalani latihan dalam negara mengikut jadual yang telah ditetapkan oleh MHF sebagai persediaan untuk Piala Sultan Azlan Shah.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0104&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4F8iPpkwO © Utusan Melayu (M) Bhd