Isnin, 20 Januari 2014

'Saya bertarung dengan penyakit'

 

 REVINGTON (tiga dari kiri) berjabat tangan dengan Nur Azmi selepas mengadakan sidang akhbar khas mengenai keputusannya meletakkan jawatan selaku jurulatih skuad senior hoki negara di Bukit Jalil semalam.

'JODOH' Paul Revington bersama Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) tidak bertahan lama selepas pengendali kelahiran Afrika Selatan itu sah melepaskan jawatannya berkuat kuasa semalam.

Biarpun enggan mengulas lanjut punca sebenar beliau meletakkan jawatan, Revington sekadar memberikan penjelasan masalah kesihatan memaksanya berbuat demikian.

Bagaimanapun, pengendali berusia 41 tahun itu tetap meluahkan rasa sedih apabila mengakui terpaksa melepaskan jawatan demi kebaikan semua pihak.

"Saya bertarung dengan penyakit yang berkaitan tekanan tinggi sejak Jun tahun lalu. Ia memberi- kan kesan kepada kesihatan dan emosi saya. Amat sukar untuk saya menerangkan lebih lanjut mengenai masalah ini.

"Tahun ini merupakan tahun yang getir buat Malaysia. Saya akan menjadi seorang yang mementingkan diri sendiri jika tidak melepaskan jawatan ini kerana dengan keadaan sekarang, saya tidak mampu memberikan seratus peratus yang terbaik kepada pasukan.

"Memang saya akui kecewa kerana terpaksa berundur daripada tugas ini.

"Saya akan terus memberikan bantuan dan sokongan kepada MHC sekiranya diperlukan," kata- nya pada sidang akhbar khas di Pejabat MHC di Stadium Hoki, Bukit Jalil semalam.

Sementara itu, Timbalan Presiden MHC, Datuk Nur Azmi Ahmad berkata, pengganti kepada Revington telah diputuskan sele- pas mengadakan perbincangan dengan Presiden MHC, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah kelmarin.

Jelasnya, penolong jurulatih yang baru dilantik baru-baru ini, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah dinaikkan pangkat menggantikan tempat bekas jurulatih Ireland itu dan dibantu oleh Nor Azlan Bakar dan K. Gobinathan.

Jawatan ketua jurulatih skuad Projek 2016 pula akan digalas oleh rakan karib Revington, Arul Selvaraj.

"Ini merupakan langkah terbaik dilakukan Revington. Beliau menyerahkan surat peletakan jawatan lebih awal bagi memboleh- kan kami dapat membuat persia- pan lebih awal terhadap pasukan.

"Situasi ini juga tidak memberikan tekanan kepada pihak MHC dan sasaran kami tetap tidak berubah iaitu kedudukan 10 terbaik pada Piala Dunia 2014 dan pingat emas Sukan Asia September depan,"

KOSMO ONLINE 21.1.14

Sabtu, 18 Januari 2014

India simpan taring - Dharma Raj


PEMAIN negara, Muhd. Rashid Baharom (kanan) melepasi halangan dua pemain India dalam perlawanan Piala Sultan Johor di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru, semalam. - MINGGUAN/AMIN FARIJ HASAN
JOHOR BAHRU - Jurulatih skuad remaja kebangsaan, Muhammad Dharma Raj Abdullah percaya, India menyimpan kekuatan sebenar mereka ketika mengikat Malaysia 3-3 dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor 2013 di Stadium Hoki Taman Daya, di sini semalam.
Pada ketika kedua-dua pasukan sudahpun mengesahkan tiket perlawanan akhir lebih awal, Dharma Raj percaya, India hanya akan menunjukkan taring mereka pada perlawanan akhir hari ini.
"Pasukan India akan mempamerkan aksi sebenar mereka esok (hari ini) dengan menurunkan semua pemain utama mereka, jadi kita juga menjanjikan persembahan terbaik kalau mahu merebut kejuaraan," katanya.
Pertemuan semalam menyaksikan India terlebih membuka tirai jaringan seawal minit ke-10 menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan pemain Satbir Singh sebelum mereka menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-31 menerusi Ramandeep Singh.
Malaysia memiliki beberapa peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan, namun keampuhan benteng pertahanan pasukan India menafikan setiap percubaan yang dilakukan skuad remaja negara.
Separuh masa kedua India terus mempamerkan aksi garang apabila terus menggandakan asakan bagi menambah bilangan jaringan namun kali ini ketangkasan pertahanan tuan rumah menidakkan setiap percubaan.
Skuad negara berjaya merapatkan jurang jaringan pada minit ke-62 apabila Muhd. Shahril Saabah berjaya menyempurnakan pukulan sudut penalti menjadikan kedudukan 2-1 dan Muhd. Rashid Baharom menjadikan kedudukan 2-2 dua minit kemudian.
Gol ketiga tuan rumah hadir pada minit ke-68 menerusi Muhd. Shahril namun kegembiraan itu tidak berkekalan apabila India kembali menyamakan kedudukan menerusi jaringan Yousuf Affan pada minit terakhir permainan.
Dharma Raj mengakui, perlawanan semalam agak sukar kerana ia berlangsung sehari sebelum perlawanan akhir dan pemain memerlukan rehat yang cukup bagi pertemuan tersebut.
Biarpun memuji persembahan anak-anak buahnya yang berjaya memperolehi tiga gol dan hampir mencipta kemenangan meskipun ketinggalan 2-0 pada babak pertama, namun beliau menegaskan, India sebenarnya tidak mempamerkan kekuatan sebenar kerana banyak merehatkan pemain-pemain utama dan menurunkan skuad simpanan mereka.
Sementara itu dalam satu lagi perlawanan semalam, Pakistan menewaskan Argentina dengan keputusan 4-1.

RUJUKAN Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20130929/su_08/India-simpan-taring---Dharma-Raj#ixzz2gErgVZuA 
© Utusan Melayu (M) Bhd 29.9.13