Rabu, 31 Mei 2017

Malaysia perit sebelum menang



ARKIB : 09/07/2005

ROTTERDAM, Belanda - Malaysia diberi tentangan sengit sebelum menang tipis 2-1 ke atas Mesir dalam perlawanan klasifikasi kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja di sini, semalam tetapi keputusan itu sudah memastikan sekurang-kurangnya kedudukan kesepuluh keseluruhan untuk kejohanan edisi kelapan itu berada dalam genggaman.

Jaringan padang menerusi Kelvinder Singh pada minit ke-36 disusuli Ismail Abu sepuluh minit kemudian membolehkan Malaysia beraksi untuk penentuan tempat kesembilan dan sepuluh dengan lawan dari England yang menang 3-1 dengan Belgium.

Mesir mencuri satu gol menerusi jaringan padang pada minit ke-69 oleh Mahmoud Hanafy.

Dengan keputusan semalam, Malaysia kini sudah boleh menarik nafas lega apabila sekurang-kurangnya memperbaiki pencapaian di tempat ke-12 pada kejohanan edisi ketujuh di Hobart, Australia pada 2001.

Jurulatih negara, Sarjit Singh berkata, keadaan padang yang terlalu basah akibat hujan sehingga memaksa permainan dilangsungkan 45 minit lewat menjejaskan rentak permainan Malaysia.

Pada perlawanan semalam, Malaysia memperoleh tiga pukulan sudut penalti dibabak pertama tetapi kesemuanya gagal disempurnakan oleh penjaring terbanyak Zulkfli Rejab.

Mesir turut berpeluang mencipta jaringan menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-15 tetapi bola tinggi Mahmoud Elbadry berjata ditepis penjaga gol Kairul Nizam Ibrahim.

Ismail Abu mengukuhkan kedudukan sepuluh minit kemudian juga menerusi jaringan pada hasil gerakan dari sebelah kanan pintu gol lawan.

Mesir dilihat mampu merapatkan kedudukan pada minit ke-51 apabila dihadiahkan pukulan penalti tetapi tolakan Mohmed Abd El Hamid berjaya ditepis penjaga gol negara, Kairul Nizam.

Malaysia memperoleh dua pukulan sudut penalti di babak kedua tetapi penjaring terbanyak, Zulkifli Rejab gagal dalam kedua-dua percubaan.

Mesir akhirnya memperoleh jaringan tunggal pada minit ke-69 selepas menampan tolakan rakan sepasukan, Mohamed Hussein.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0709&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4iiOR0VBr
© Utusan Melayu (M) Bhd

Seri bukan faktor penentu



ARKIB : 04/07/2005
Daripada Sayed Hesham Idris 
ROTTERDAM, Belanda - Malaysia menghidupkan sisa-sia peluang untuk mara ke separuh akhir kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja apabila mengutip satu mata dalam perlawanan pembukaan pusingan kedua Kumpulan F selepas seri 3-3 dengan Australia dalam satu perlawanan menarik, di sini, semalam.

Begitupun laluan Malaysia ke separuh akhir tetap samar apabila perlu menang dalam dua perlawanan pusingan kedua berikutnya iaitu menentang Belgium esok diikuti Pakistan, sehari kemudian untuk mengutip tujuh mata maksimum.

Sekalipun berjaya meraih kesemua tujuh mata yang berpotensi untuk dimenangi, nasib Malaysia untuk menduduki kelompok empat pasukan terbaik kejohanan masih bergantung kepada kepada lain-lain keputusan perlawanan pasukan dalam kumpulan yang memiliki klebihan kerana mempunyai mata yang dibawa dari pusingan pertama iaitu Australia (6), Argentina (6), Jerman (3), Pakistan (3). Malaysia dan Belgium mara ke pusingan kedua tanpa sebarang mata apabila hanya menang satu perlawanan pusingan pertama.

Jurulatih kebangsaan, Sarjit Singh nyata berpuas hati dengan keupayaan pemain mengikat pasukan pilihan Australia untuk menghidupkan peluang menduduki kelompok empat pasukan terbaik kejohanan kali ini.

Pada perlawanan paling menarik yang dipamer pasukan negara setakat ini di kejohanan itu semalam, Malaysia menguasai sebahagian besar permainan dan dilihat mampu menjinakkan Australia.

Pada perlawanan yang turut disaksikan oleh Presiden Persekutuan Hoki Malaysia (PHM), Raja Nazrin Shah, Malaysia mengejutkan Australia pada minit kelima dengan jaringan pembukaan menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh penjaring terbanyak pasukan negara, Zulkifli Mohd Rejab.

Jaringan pendahulu itu nyata menyuntik semangat anak buah Sarjit Singh untuk terus memburu gol menerusi beberapa gerakan menarik oleh pemain barisan depan yang diterajui Tengku Tajudin Tengku Jalil, Azli Misron dan Ismail Abu tetapi Australia kental bertahan.

Jika tidak kerana ketangkasan penjaga gol, Kairul Nizam Ibrahim Australia memperoleh jaringan penyamaan awal apabila Kairul membuat jangkaan tepat menampan bola pukulan Joel Carroll pada minit ke-19.

Pasukan negara mempersia-sia peluang menambah jaringan apabila memperoleh dua pukulan sudut penalti pada minit ke-23 dan ke-26 tetapi tolakan Zulkifli dapat dibaca oleh penjaga gol lawan, Ben Creese.

Australia akhirnya menemui jaringan penyamaan untuk kedudukan 1-1 pada minit ke-28 apabila Colin Hennessey mudah menolak bola yang melepasi penjaga gol negara, Kairul Nizam selepas keadaan kelam kabut di depan pintu gol.

Babak kedua sekali lagi menyaksikan pasukan negara mencipta beberapa gerakan kreatif dan akhirnya Malaysia sekali lagi di depan sekali lagi menerusi Zulkifli pada minit ke-42 hasil pukulan sudut penalti.

Asakan bertalu-talu Australia membawa hasil apabila ketua pasukan, Mark Knowles tidak mempersia-siakan gerakan di depan pintu gol Malaysia untuk jaringan penyamaan 2-2 pada minit ke 55.

Tempoh 15 minit terakhir perlawanan menyaksikan kedua-dua pasukan saling menyerang dan Australia buat pertama kali mendahului pasukan negara apabila Iain Davidson mencipta jaringan menerusi gerakan dari sebelah kiri pintu gol pada minit ke-61.

Semangat pemain negara tidak goyah dan tidak mahu menamatkan perlawanan dengan kekalahan apabila Zulkfli memastikan gol penyamaan untuk kedudukan 3-3, iaitu jaringan hatrik pada perlawanan semalam, juga gol kelapan sepanjang kejohanan juga menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-63.

Harapan Malaysia untuk memenangi perlawanan tidak kesampaian apabila bola pukulan Ismail Abu yang menggegar gawang Australia hasil gerakan pukulan sudut penalti pada minit terakhir perlawanan, dibatalkan. - Utusan

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0704&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4ihpQZtSg
© Utusan Melayu (M) Bhd

Hoki Piala Dunia Remaja - PHM umum skuad terbaik



ARKIB : 19/06/2005

RAJA NAZRIN SHAH memberikan kata-kata perangsang kepada pemain-pemain yang tersenarai ke Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja, di Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR - Pemain penyerang, Ahmad Anuar Sham Kamar dan pemain tengah, Md. Izwan Hassan digugurkan daripada skuad ``terbaik pernah dilahirkan oleh Malaysia'' yang akan beraksi dalam Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja apabila senarai akhir diumumkan semalam.

Mereka bagaimanapun akan tetap berada di Rotterdam, Belanda sepanjang kejohanan itu berlangsung, dari 29 Jun hingga 10 Julai.

Skuad negara yang diketuai oleh pemain pertahanan, Engku Abd. Malek Engku Mohamad selaku ketua pasukan akan berlepas pada Rabu ini.

Presiden Persekutuan Hoki Malaysia (PHM) Raja Nazrin Shah berkata, Majlis Sukan Negara (MSN) telah bermurah hati dengan membenarkan kedua-dua pemain itu turut ke Rotterdam dan mereka akan tinggal bersama-sama para pegawai.

Mengenai kemampuan pasukan negara, Raja Nazrin berkata: ``Pemain-pemain ini mempunyai kemampuan untuk bermain dengan baik. Mereka adalah setaraf dengan pasukan-pasukan lain.

``Saya telah menyaksikan mereka bermain dengan baik dan mereka pernah menewaskan pasukan terbaik. Mereka mempunyai kebolehan dan kecergasan untuk bersaing dengan mana-mana pasukan.''

Raja Nazrin bagaimanapun enggan meletakkan sasaran tertentu untuk skuad yang dibimbing oleh bekas pemain kebangsaan, Sarjit Singh ini.

``Saya tidak mahu menetapkan sasaran... tetapi saya yakin mereka boleh pergi jauh.

``Mereka adalah pasukan remaja terbaik pernah dilahirkan oleh Malaysia,'' kata Raja Nazrin.

``Saya tidak akan bersama mereka pada pusingan

Piala Dunia Remaja menampilkan 16 pasukan yang dibahagikan kepada empat kumpulan.

Malaysia berada dalam Kumpulan B bersama-sama Jerman, Afrika Selatan dan naib juara kejohanan lepas, Argentina. Tiga pasukan teratas setiap kumpulan akan bermain di pusingan kedua.

``Oleh kerana ada komitmen lain, saya tidak akan berada bersama-sama mereka pada pusingan pertama. Saya akan hanya berada di Rotterdam pada pusingan kedua, yang mana saya harap mereka berjaya layak,'' kata Raja Nazrin.

Pada kejohanan lepas di Hobart, Australia, Malaysia menduduki tempat ke-12.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0619&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4iekno7lv
© Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 30 Mei 2017

Kuhan buat Pakistan merana



 
ARKIB : 04/06/2005
Kuhan buat Pakistan merana
KETUA pasukan Malaysia, S Kuhan diraikan oleh rakan sepasukannya selepas menjaringkan gol kemenangan semasa perlawanan antara Malaysia dengan Pakistan perlawanan terakhir peringkat kumpulan Piala Sultan Azlan Shah di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil semalam.

KUALA LUMPUR - Jaringan kemenangan ketua pasukan, S. Kuhan meranapkan impian Pakistan untuk mara ke perlawanan akhir Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah kali ke-14 selepas tewas mengejut 1-0 kepada Malaysia dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil di sini, semalam.

Jaringan Kuhan itu adalah kemenangan paling manis buat Malaysia yang kali terakhir menewaskan gergasi hoki dunia itu pada temasya Sukan Asia di Busan pada tahun 2000 dengan keputusan 4-2.

Pakistan pastinya kecewa dengan kekalahan itu sedangkan bekas juara kejohanan ini mengharapkan keputusan seri sahaja untuk menempah tempat ke perlawanan akhir.

Kemenangan itu membolehkan Korea mara ke perlawanan akhir bertemu Australia malam esok.

Jaringan kemenangan menerusi pukulan sudut penalti ketua pasukan Malaysia, S. Kuhan pada minit ke-40 terus meranapkan impian Pakistan untuk mara ke perlawanan akhir.

Kemenangan itu meletakkan Malaysia berada di tangga kelima di hadapan India dan Afrika Selatan.

Pakistan yang tidak kalah sepanjang 10 hari kejohanan berlangsung tidak mampu untuk bangkit menyamakan kedudukan walaupun menguasai pentas saingan.

Ketiadaan penyerang utama, Shakeel Abbassi akibat kecederaan menjejaskan rentak permainan Pakistan.

Sebelum ini, skuad kebangsaan menewaskan India 4-1 dalam perlawanan pusingan awal.

Buat Pakistan kekalahan itu membolehkan Korea mara ke perlawanan akhir bertemu juara bertahan Australia dalam perlawanan akhir malam esok selepas pasukan itu menempah tiket menewaskan India 1-0 dalam perlawanan terdahulu.

Kemenangan itu memastikan Australia di tangga teratas kumpulan dengan 14 mata daripada enam perlawanan manakala Pakistan dan India terikat dengan 13 mata.

Korea pula dalam perlawanan terdahulu menewaskan Afrika Selatan 3-2 dan keputusan itu membolehkan mereka layak ke perlawanan akhir buat pertama kali selepas tahun 2001.

Mereka layak mengatasi Pakistan atas perbezaan gol.

Pakistan pula cuma mengharapkan keputusan seri untuk mereka layak ke perlawanan akhir buat kali kedua berturut-turut

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0604&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4iZgsw0eu
© Utusan Melayu (M) Bhd