Selasa, 30 Mei 2017

Keletihan punca Malaysia kalah



 
ARKIB : 31/05/2005
Keletihan punca Malaysia kalah
Oleh A. JAILANI ABDULLAH
PEMAIN Malaysia, Jiwa Mohan (kiri) berebut bola dengan pemain Korea Selatan, Sung Hoon Yoon semasa perlawanan pusingan awal Hoki Piala Sultan Azlan Shah di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, semalam. Malaysia tewas 4-0. - Gambar ASWAD YAHYA.


KUALA LUMPUR - Aneh. Hanya sehari selepas menunjukkan persembahan cemerlang, permainan skuad negara merudum dengan teruk apabila bertemu Korea Selatan pada hari kelima Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, semalam.

Keputusan perlawanan pun sudah cukup untuk menggambarkan segala-galanya. Malaysia kalah 4-0.

Skuad negara seperti tiada perancangan dan tidak tahu apa sebenarnya yang mereka lakukan. Pemain-pemain kita kaku.

Kemenangan besar 4-1 ke atas India kelmarin gagal dijadikan penyuntik semangat apabila bertemu Korea, yang hanya menunggu masa yang sesuai untuk mengganas.

Malaysia yang keletihan selepas bertemu India sepatutnya sudah sedar akan keadaan diri sendiri dan sewajarnya perancangan sudah dibuat untuk menghalang Korea, yang lebih cergas setelah mendapat rehat satu hari.

Sebaliknya, dalam kepenatan anak-anak didik Wallace Tan cuba bermain dengan gaya biasa tetapi tidak mencapai hasrat.

Korea pula bermain dengan tenang pada babak pertama, seperti harimau yang sabar menunggu mangsanya menyerah. Mereka hanya mula bertindak garang pada babak kedua di kala keletihan sudah menguasai pemain-pemain negara sepenuhnya.

Kesabaran Korea berhasil apabila menjaringkan empat gol selepas rehat.

Segala-galanya bagai tidak kena bagi skuad negara sejak sebelum permainan dimulakan apabila penjaga gol berpengalaman, Roslan Jamaluddin terpaksa direhatkan kerana mengalami kecederaan pangkal paha ketika sedang memanaskan badan dan digantikan oleh penjaga gol muda, S. Kumar.

Begitupun, barisan pertahanan menyelamatkan keadaan bagi skuad negara pada babak pertama untuk kedudukan kekal tanpa jaringan sebelum rehat.

Bagaimanapun, barisan tengah dan depan gagal menyerlah seperti ketika menang 4-1 ke atas India kelmarin dan hanya pukulan penalti sudut ketua pasukan, S. Kuhan pada minit ke-30 dan percubaan Mohd. Fairuz Ramli menguji penjaga gol, Dong Sik Ko.

Namun, hanya itu yang mampu dilakukan oleh skuad negara apabila Korea kembali ke padang dengan rentak lebih kemas untuk menguasai sepenuhnya babak kedua, dan Sik Ko menjadi penonton.

Korea mendapat dua gol pertama menerusi pemain gantian, Jong Hyun Jang yang menyempurnakan penalti sudut minit ke-44 dan 47.

Tambah semangat dengan jaringan itu, pemain-pemain Korea menyerbu ke kawasan D skuad tuan rumah.

Serangan demi serangan mereka membuahkan hasil pada minit ke-53 apabila pemain gantian, Eun Seong Hong menghasilkan gol ketiga dan diikuti jaringan Jong Ho Seo dua minit sebelum permainan tamat.

``Malaysia telah bermain dengan baik ketika menentang India, jadi keputusan ini sudah tentu mengejutkan saya,'' kata pengurus Korea, Sung Jun Cho.

Jurulatih skuad negara, Wallace pula berkata keletihan adalah faktor yang mempengaruhi rentak permainan dan keputusan semalam.

``Kita keletihan selepas bertemu India semalam (kelmarin) manakala Korea pula mendapat satu hari rehat,'' kata Wallace.

``Kami juga terpaksa menyenaraikan Kumar pada saat-saat akhir kerana Roslan mengalami kecederaan pangkal paha ketika sedang memanaskan badan,'' katanya lagi.

Kemenangan itu membuka peluang Korea untuk mara ke perlawanan akhir.

``Kami harap New Zealand mampu menewaskan Pakistan dan Pakistan pula menewaskan Australia,'' kata Jun Cho sambil ketawa.

``Saya berpuas hati dengan persembahan anak-anak buahnya saya selepas tiga perlawanan. Saya menjangka kami akan menang ke atas India esok (hari ini). Mereka bukanlah pasukan yang kuat kali ini kerana tidak ramai pemain senior yang dibawa,'' katanya lagi.

Malaysia pula akan berehat hari ini sebelum bertemu New Zealand esok dan kemudian berdepan dengan Pakistan pada Jumaat.

Sementara itu New Zealand menewaskan Afrika Selatan 2-0 sekali gus melonjak dua anak tangga ke tempat keempat, mengatasi Malaysia di tempat kelima manakala Korea di anak tangga ketiga.

Ketiga-tiga pasukan mengumpul empat mata tetapi perbezaan jaringan menjadi pemisah.

Gol-gol New Zealand dijaringkan olehPhilips Burrows dan Ryan Archibald, masing-masing pada minit ke-10 dan 49.

MALAYSIA - Roslan Jamaluddin, Chua Boon Huat, K. Logan Raj, S. Kuhan, Nor Azlan Bakar, Jiwa Mohan, Mohd. Madzli Ikmar Mohd. Nor, Mohd. Rodhanizam Mat Radzi, Jivan Mohan, Mohd. Fairuz Ramli, Azlan Misron.

KOREA SELATAN - Dong Sik Ko, Jong Bok Cha, Hyung Bae Han, Nam Yong Lee, Jong Ho Seo, Seong Jung Kang, Sung Hoon Yoon, Hyo Sik You, Kyung Seok Kim, Dae Keun Oh, Byung Hoon Kim.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0531&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4iZYP2QVz
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan