Ahad, 7 Mei 2017

Hoki: Malaysia atasi Belgium 3-2

ARKIB : 27/01/2005
KUALA LUMPUR - Skuad hoki negara terus mencipta kekaguman di mata pemain-pemain Belgium dan pengurusan mereka apabila mempamerkan permainan terbaik nya untuk menang 3-2 ke atas pasukan dari Eropah itu dalam perlawanan ujian keempat di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, semalam.
Ia adalah kemenangan ketiga anak-anak buah Wallace Tan ke atas Belgium daripada empat perlawanan. Sebelum ini mereka menang dua perlawanan pertama dengan keputusan 2-0 dan dalam perlawanan ketiga kelmarin seri 1-1.
Pada ujian terakhir semalam, skuad negara mempamerkan gaya permainan menarik yang dihiasi kawalan bola kemas serta kelincahan menggelecek pemain lawan serta larian pantas untuk membuatkan pihak lawan hilang punca untuk sepanjang 40 minit pertama.
Mohd. Rodhanizam Mat Radzi serta Mohd. Faizal Daud meletakkan skuad negara mendahului 2-0 pada babak pertama, masing-masing menerusi jaringan padang dan penlti sudut minit ke-11 dan 34.
Kemudian, pemain pertahanan Hairul Nizam Rani melebarkan penguasaan menerusi gol antarabangsa pertamanya hasil pukulan penalti sudut minit ke-37.
Belgium, yang membuat persiapan untuk menghadapi Kejohanan Eropah pada September, bagaimanapun bangkit selepas keletihan mula menguasai pemain-pemain negara dan membalas menerusi pakar penalti sudut Jean-Philippe Brule pada minit ke-40 dan percubaan kilat John Goldberg lima minit sebelum permainan tamat.
Brule merupakan pemain yang menghampakan skuad negara ketika pertandingan kelayakan Sukan Olimpik di Madrid, Sepanyol pada tahun lepas. Jaringan penyerang di Madrid itu, yang kini diletakkan sebagai fulbek, menyaksikan Malaysia kalah 2-1 sekali gus tersingkir dari mara ke Olimpik Athens.
``Separuh masa pertama tidak begitu baik bagi kami,'' kata jurulatih Belgium, Giles Bonnet selepas perlawanan. ``Permainan babak kedua lebih baik dan permainan pasukan saya lebih konsisten.''
``Kami berharap untuk meneruskan permainan bagus seperti semalam (kelmarin) tetapi Malaysia tidak membenarkan kami.
``Cuaca panas juga tidak membantu manakala pemain-pemain Malaysia terlalu pantas.''
Jurulatih negara, Wallace pula gembira kerana anak-anak didiknya menunjukkan lebih tumpuan terhadap permainan, setelah mencatat keputusan seri dalam pertemuan ketiga.
``Mereka lebih serius hari ini berbanding semalam (kelmarin),'' katanya.
``Gol kedua Belgium itu jelas diperoleh selepas pemain-pemain kita kepenatan.
``Bagaimanapun secara keseluruhan saya gembira dengan permainan mereka walaupun masih banyak yang perlu dilakukan dalam latihan seterusnya.''
Malaysia dan Belgium dijangka bertemu lagi di Beijing, China dalam persaingan kelayakan Piala Dunia tahun depan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan