Selasa, 30 Mei 2017

Kita tumbangkan Pakistan



 
ARKIB : 24/05/2005

Oleh A. JAILANI ABDULLAH
KETUA pasukan negara, S. Kuhan (tengah) cuba menenangkan kemarahan pemain-pemain Pakistan berikutan insiden tolak-menolak ketika perlawanan hoki persahabatan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil semalam yang dimenangi Malaysia dengan keputusan 4-3. - Gambar ABDUL RAHMAN SALLEH.


KUALA LUMPUR - Perlawanan hoki persahabatan Malaysia menentang Pakistan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil semalam nyaris bertukar menjadi perlawanan tinju apabila pemain kedua-dua pasukan saling bertolak-tolakan berikutan satu insiden antara Saiful Azli Abdul Rahman dengan Mohamed Saqlain.

Malaysia menang perlawanan menarik itu dengan keputusan 4-3, dan dengan insiden tolak-menolak yang berlaku semalam pasti menambah sengit pertembungan kedua-dua pasukan dalam kejohanan hoki Piala Sultan Azlan Shah yang bermula Khamis ini.

Pada kejohanan berprestij itu, Malaysia dan Pakistan dijadualkan bertemu pada 3 Jun, perlawanan terakhir masing-masing di peringkat awal kejohanan.

Malaysia mendahului 4-3 ketika memasuki suku pertama babak kedua apabila Saiful Azli kelihatan sengaja memukul kaki ketua pasukan Pakistan, Mohamed Saqlain yang kemudiannya tumbang.

Rakan-rakan Saqlain meluru ke arah Saiful diikuti oleh pemain-pemain Malaysia dan berlaku tolak-menolak antara mereka sebelum pengadil dan ketua pasukan negara, S. Kuhan meredakan keadaan kedua-dua pihak. Suasana tegang itu berlanjutan kira-kira lima minit.

Kejadian itu dilihat berpunca apabila Saiful, antara pemain paling tenang dan dianggap `budak baik' dalam pasukan negara, tidak tahan dengan provokasi Saqlain yang menolak bola ke arahnya apabila pengadil memberikan pukulan percuma.

Gaya memprovokasi pihak lawan dianggap sudah menjadi sebahagian sikap pemain-pemain Pakistan apabila mereka ketinggalan.

Kejadian dan juga kemenangan semalam sudah pasti menghangatkan lagi suasana apabila kedua-dua pasukan bertemu dalam kejohanan Piala Sultan Azlan Shah nanti, yang bermula Khamis ini.

Gol-gol Malaysia semalam diperoleh menerusi Mohd. Fairuz Ramli, K. Logan Raj dan dua jaringan pakar penalti sudut, Muhammad Amin Rahim, jaringan yang begitu menggembirakan jurulatih pasukan, Wallace Tan.

``Pasukan kita telah bermain dengan baik dan mereka juga berjaya menyerap tekanan,'' kata Wallace selepas perlawanan.

``Dua gol padang dan dua gol penalti sudut cukup bagus untuk pasukan,'' katanya lagi, yang turut menyifatkan sentuhan Muhammad Amin semakin bagus.

Wallace mempunyai perlawanan de-ngan New Zealand di tempat yang sama pada pukul 6 petang ini sebelum memutuskan 18 pemain yang akan menggalas cabaran nanti.

``Saya akan membuat keputusan menggugurkan seorang pemain untuk menggenapkan 18 pemain selepas perlawanan dengan New Zealand esok (hari ini). Dia mungkin dari barisan pertahanan atau penyerang,'' jelas Wallace.

Sebanyak tujuh pasukan mengambil bahagian pada kejohanan dari 26 Mei - 5 Jun itu. Selain Malaysia dan Pakistan turut bertanding ialah juara Olimpik, Australia, India, Korea Selatan, Afrika Selatan dan New Zealand, kesemuanya berada pada ranking yang lebih baik berbanding pasukan negara.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0524&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4iYBkOLZr
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan