Selasa, 30 Mei 2017

Malaysia raih mata pertama



 
ARKIB : 28/05/2005
PEMAIN Afrika Selatan, Justin King cuba menghalang pergerakan pemain Malaysia, Mohd. Madzli Ikmar dalam perlawanan peringkat awal Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah di Bukit Jalil semalam, yang berkesudahan dengan keputusan seri 1-1. - Gambar ASWAD YAHYA.

KUALA LUMPUR - Pemain serba boleh, Chua Boon Huat bermain untuk Malaysia buat kali ke-200 semalam, dan meraikannya dengan membantu skuad negara memperoleh mata pertama hasil seri 1-1 dengan Afrika Selatan pada hari kedua Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, yang dihiasi dengan keputusan seri pada kesemua perlawanan.

Selain perlawanan Malaysia-Afrika Selatan, pilihan pertama, Australia juga seri dengan Korea Selatan dan keputusan sama diperoleh pada akhir perlawanan New Zealand menentang India semalam.

Boon Huat beberapa kali mendapat peluang di depan gol, tetapi ketangkasan penjaga gol berpengalaman Afrika Selatan Chris Hibbert menggagalkan usahanya untuk memastikan Malaysia memperoleh mata penuh.

Skuad negara, yang sekali lagi merehatkan pakar pukulan penalti sudut Muhamad Amin Rahim terpaksa menunggu sehingga minit ke-52 untuk memperoleh gol menerusi pemain gantian, P. Prabahkaran dari jarak dekat.

Sebelum itu, Afrika Selatan lebih awal menemui sasaran menerusi pemain gantian, Justin King yang membuat pukulan penalti sudut dan kemudian mencipta beberapa peluang hasil serangan balas pantas.

Skuad negara jelas menguasai perlawanan babak kedua dan Hibbert banyak kali terpaksa merebahkan badan untuk menghalang percubaan-percubaan ke arah gawangnya.

Tetapi ketika permainan berbaki 18 minit, Hibbert tidak mampu menghalang apabila bola yang lebih dulu ditampan dengan badannya menggolek ke laluan Prabahkaran untuk menolak masuk dari jarak dekat, pergerakan yang bermula dari sebelah kanan padang.

``Sekarang kita mencipta lebih banyak peluang tetapi gagal membuat jaringan, oleh itu kita mesti mempertajamkan barisan depan,'' kata jurulatih skuad negara, Wallace.

Sementara itu, juara Olimpik, Australia mencipta kebangkitan dramatik pada babak kedua untuk mencipta keputusan seri 3-3 dengan Korea Selatan da-lam perlawanan paling menarik setakat ini, pada hari kedua Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil semalam.

Australia menjaringkan dua gol pada penghujung perlawanan untuk pada satu ketika meletakkan diri mereka di laluan kemenangan tetapi jaringan cantik pemain sayap, Hyo Sik You pada minit akhir menafikan mereka mata penuh.

Dengan kelebihan dua gol, Korea sepatutnya memenangi perlawanan itu, tetapi akibat sikap tidak berdisiplin Hyung Bae Han yang sengaja memukul kaki Michael Mc Cann, pasukannya nyaris berputih mata.

Eun Seong Hong menjaringkan kedua-dua gol awal Korea menerusi gerakan cantik, masing-masing pada minit ke-19 dan 38 manakala Australia dilihat untuk untuk menyaingi permainan pantas pasukan lawan.

Australia merapatkan jurang gol pada minit ke-52 menerusi pukulan penalti sudut Luke Doerner tetapi kemudian menemui jalan buntu untuk menambah jaringan.

Bagaimanapun kekasaran pemain tengah, Bae Han ke atas Mc Cann pada minit ke-62 menyebabkan dia menerima kad kuning dan berehat di luar.

Peluang itu dipergunakan sepenuhnya oleh Australia untuk memulakan asakan lebih berkesan dan Mc Cann menyentuh masuk bola pukulan penalti sudut yang melantun pada minit ke-63 untuk menjadikan kedudukan 2-2. Tiga minit kemudian Travis Brooks meletakkan pasukan nombor dua dunia itu di depan apabila memukul masuk bola pada minit ke-66.

Ketika menyangka mereka sudah mendapat gol kemenangan, Australia pula terpaksa bermain dengan sepuluh orang apabila penyerangnya, Jamie Dwyer dilayangkan kad kuning pada minit ke-67 dan kesempatan itu diambil oleh Korea untuk memastikan mereka berkongsi mata apabila Sik You merembat masuk pada minit ke-69.

Australia yang menang 3-1 ke atas Malaysia kelmarin kini mengumpul empat mata manakala Korea, yang akan bertemu Pakistan hari ini, dengan satu mata menerusi perlawanan pertama mereka.

Sementara itu India bangkit dengan dua gol pada babak kedua untuk mencatat keputusan seri 2-2 dengan New Zealand dalam perlawanan yang berlangsung lebih awal.

Ketinggalan dengan dua gol sebelum rehat, juara 1995 itu mengerah seluruh tenaga apabila permainan disambung dan memperoleh gol semangat pada minit ke-42, terima kasih kepada percubaan cantik Rajpal Singh.

Usaha berterusan India membuahkan hasil ketika permainan berbaki lima minit apabila Prabhjot Singh yang mengutip bola di dalan kawasan D menewaskan seorang pemain pertahanan sebelum merembat melepasi kawalan penjaga gol, Paul Woolford.

Sebelum itu, New Zealand mendahului menerusi jaringan padang Darren Smith pada minit ke-21 dan Bevan Hari empat minit kemudian tetapi gagal mengekalkan rentak selepas rehat.

MALAYSIA - Roslan Jamaluddin, Chua Boon Huat, K. Logan Raj, S. Kuhan, Nor Azlan Bakar, Jiwa Mohan, Mohd. Madzli Ikmar, Mohd. Rodhanizam Mat Radzi, Jivan Mohan, Mohd. Fairuz Ramli, Azlan Misron

AFRIKA SELATAN - Chris Hibbert, Roscoe Katz, Ken Forbes, Bruce Jacobs, Emile Smith, Steve Philips, Eric Rose-Innes, John McInroy, Ian Symons, Craig Fulton, Justin King

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0528&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4iYgQIPfq
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan