Isnin, 23 Oktober 2017

Pendedahan berguna skuad remaja



 
ARKIB 24.1.2008
Oleh SHAHRIL NIZAM ABDULLAH
shahril@kosmo.com.my
PEMAIN negara, Ismail Mohd. Fareez cuba menghalang kemaraan pemain Belanda, Beerman Lodewijk pada aksi di Stadium Hoki Nasional di Bukit Jalil semalam.

JURULATIH skuad hoki remaja negara, V. Muraleedharan bersikap positif walaupun skuad bimbingannya itu tewas 0-4 kepada Belanda pada Kejohanan Hoki Remaja Undangan Lapan Negara Dunia semalam.

Biarpun mengalami kekalahan keempat dalam lima penampilan itu, Muraleedharan tetap menganggap ia satu pendedahan yang amat berguna buat anak buahnya pada kejohanan peringkat antarabangsa.

Ini kerana, apa yang paling diutamakannya ialah peningkatan yang dipamerkan oleh pemainnya dalam usaha membentuk persefahaman yang mantap.

"Jika dilihat kepada standard pasukan kita dan pasukan remaja dunia lain, memang ada banyak perbezaan," kata Muraleedharan.

"Tetapi jika dinilai dengan persiapan kami yang hanya mengambil masa selama tiga minggu sebelum kejohanan ini, saya rasa pencapaian kita masih lagi baik dan memuaskan hati saya.

"Keputusan perlawanan tidak berapa penting kerana fokus utama kami ialah membentuk pasukan yang mantap menjelang Kejohanan Hoki Remaja Dunia tahun depan.

"Saya dapati pemain kita juga telah mempamerkan peningkatan dalam setiap perlawanan pada kejohanan ini," ujarnya.

Begitupun, apa yang merisaukan jurulatih skuad remaja Sekolah Sukan Bukit Jalil itu ialah tahap kecergasan dan stamina pemainnya yang kurang memuaskan.

"Tahap stamina dan kecergasan pemain kita masih lagi kurang memuaskan. Ini yang perlu dipertingkatkan lagi.

"Malah, pada babak kedua tadi (menentang Belanda) pun kita gagal menyaingi kepantasan pihak lawan, sekali gus menyebabkan kita bolos tiga gol.

"Kita harus beri mereka sedikit masa lagi untuk mematangkan lagi gaya permainan pasukan ini," kata Muraleedharan.

Skuad remaja negara yang ketinggalan 0-1 pada babak pertama cuba bangkit dengan tempo permainan yang pantas dan lebih agresif pada babak kedua.

Namun, selain gagal menyaingi tempo pemain Belanda, kegagalan menyudahkan peluang yang terhidang di depan pintu gol turut menjadi penyebab kegagalan mereka.

"Saya akui penyudah kita masih lagi tumpul. Pemain bukannya tidak ada idea atau kurang keyakinan, mereka cuma hilang konsentrasi apabila berada di depan gol lawan.

"Pemain Belanda juga bermain dengan pantas dan kita gagal menyaingi mereka. Tapi keseluruhannya saya puas hati kerana mereka masih belum putus asa dan terus berjuang mencari gol. Itu sikap positif yang harus diberi pujian," katanya lagi.

Hari ini skuad negara akan berdepan satu lagi pasukan pilihan, India sebelum berdepan Jerman pada perlawanan terakhir Sabtu ini.

SUMBERArtikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0124&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4wLNvurmG
Hakcipta terpelihara

Jumaat, 20 Oktober 2017

Skuad hoki buka tirai belasah Myanmar 8-0



ARKIB : 09/12/2007

BANGKOK – Bekas ketua pasukan hoki negara, S. Kuhan membuat penampilan semula dengan menjaringkan dua gol sewaktu Malaysia membelasah Myanmar 8-0 pada perlawanan pembukaan di Pusat Sukan Permaisuri Sirkit di Pathumthani, semalam

Pakar pukulan sudut penalti itu yang digugurkan sewaktu Sukan Asia Doha, membuka tirai jaringan pada minit kelapan dan sekali lagi 19 minit selepas itu sebelum Hafifi Hafiz Hanafi menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-28 dan Mohd Riduan Nasir menjadikan kedudukan 4-0 pada minit ke-32.

Gol-gol Malaysia pada separuh masa kedua dijaringkan Mohd Sufian Mohamad (minit ke-46 dan 50), Muhammad Amerrul Aziz (minit ke-47) dan G. Sasitheran (minit ke-64).

Pada Sukan SEA, hanya sekali Malaysia gagal meraih emas iaitu pada 1973 di Singapura.

Dengan kebanyakan pemain utama beraksi pada Trofi Juara-Juara di Kuala Lumpur, Malaysia menghantar pemain-pemain muda pada Sukan SEA kali ini dan memanggil semula Kuhan, K. Logan Raj dan K. Keevan Raj.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1209&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4w3FAvLSa
© Utusan Melayu (M) Bhd

Rabu, 18 Oktober 2017

Malaysia kecundang lagi



ARKIB : 03/12/2007

KUALA LUMPUR – Britain bangkit daripada ketinggalan satu gol apabila menjaringkan tiga gol, termasuk gol kontroversi, selepas rehat untuk memusnahkan impian skuad negara mencatat kemenangan pertama pada kejohanan hoki Trofi Juara-juara apabila menang 3-2 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil semalam.

Ben Hawes menghancurkan harapan Malaysia apabila menjaringkan gol kemenangan Britain pada minit 67, empat minit selepas anak-anak didik Sarjit Singh menyamakan kedudukan 2-2.

Ia adalah kemenangan pertama Britain manakala Malaysia masih belum mengutip mata selepas tiga perlawanan.

Malaysia mengekalkan rentak berani dengan menyerang sejak awal dan kelihatan mampu meraih mata pertama apabila penyerang lincah Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil menyambung pukulan bebas ketua pasukan Mohd. Mazli Ikmar Mohd. Nor untuk gol sulung perlawanan pada minit 13.

Gawang skuad negara kemudiannya diancam apabila Britain mendapat dua penalti sudut namun semuanya dapat dibendung untuk mendahului 1-0 ketika babak pertama tamat.

Malaysia melepaskan dua peluang untuk mengukuhkan kedudukan apabila pemain pertahanan Baljit Singh Sarjab menyaksikan pukulan penalti sudutnya ditampan kemas oleh penjaga gol lawan Ali McGregor pada minit 37 dan 38.

Sebaliknya, serangan kilat Britain berjaya meletakkan mereka di depan dalam tempoh dua minit. Stephen Dick menyamakan kedudukan pada minit 50 menerusi gol kontroversi apabila kelihatan gagal menyentuh bola yang meleret laju dari luar kawasan D dan menyebabkan pengadil pada mulanya teragak-agak untuk mengesahkan jaringan sebelum Rob Moore menambah gol kedua pada minit 52.

Pada minit 53, Malaysia kehilangan penyerang berpengalaman Chua Boon Huat yang dihantar ke bangku pesalah namun tidak menggugat semangat rakan-rakannya yang berjaya menyamakan kedudukan 10 minit kemudian apabila serangan balas dari kanan menyaksikan Tengku Ahmad Tajuddin berjaya menerobos ke kawasan D sebelum bola masuk ke haluan Mohd. Shahrun Nabil Abdullah untuk menjaringkan gol dari jarak dekat.

Bagaimanapun, hajat peminat untuk menyaksikan skuad negara sekurang-kurangnya mencatat seri musnah empat minit kemudian apabila Hawes memukul kencang dari hujung Kawasan D pasukan negara untuk menewaskan S. Kumar buat kali ketiga.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1203&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_08.htm#ixzz4vu7UjS9B
© Utusan Melayu (M) Bhd

Malaysia kalah bermaruah



ARKIB : 30/11/2007

Oleh A. JAILANI ABDULLAH

KUALA LUMPUR – Malaysia kalah 2-0 kepada Australia pada perlawanan pembukaan mereka dalam Kejohanan Hoki Trofi Juara-Juara tetapi menunjukkan permainan terpuji, semalam.

Ia adalah perlawanan antara pasukan nombor satu dunia dengan pasukan di ranking ke-15, antara juara Olimpik dengan juara Sukan SEA. Meskipun Malaysia tewas tetapi memberikan persembahan menarik.

Jelas, Australia mendapati mereka terlalu sukar untuk menjinakkan saingan anak- anak buah Sarjit Singh yang saiz mereka jauh lebih kecil.

Malah, pemain-pemain muda negara mempamerkan aksi berbeza berbanding masa lampau dengan menyerang sejak awal dan beberapa kali menggamatkan Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil menerusi serangan mereka walaupun tidak berupaya memecah kubu skuad Kanggaru itu.

Australia pula terpaksa menunggu sehingga minit ke-20 untuk memperoleh gol pertama menerusi serangan dari kanan yang diakhiri oleh pukulan jarak dekat Russell Ford setelah dua penalti sudut mereka sebelum itu gagal menembusi kawalan penjaga gol, S. Kumar.

Malaysia turut memperoleh peluang terbaik untuk menghasilkan gol pada babak pertama tetapi pukulan penalti sudut pemain pertahanan, Jiwa Mohan tepat ke tubuh penjaga gol Daniel McPherson.

Australia, yang dibarisi oleh pemain-pemain berpengalaman, pada awalnya dijangka akan menghujani kubu Malaysia dengan serangan pada babak kedua, sifat normal mereka dalam mana-mana perlawanan tetapi benteng skuad negara yang dipimpin oleh ketua pasukan Mohd. Madzli Ikmar Mohd. Nor jelas sudah bersedia.

Bagaimanapun, mereka tidak mampu menghalang serangan solo pemain bertubuh sasa Travis Brooks yang membuat larian dari tengah padang, menewaskan empat pemain sebelum merembat kencang ke sebelah kanan Kumar untuk gol kedua pada minit ke-63.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1130&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz4vsZJvB2g
© Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 15 Oktober 2017

Skuad hoki negara gagal ke final



ARKIB : 09/09/2007

CHENNAI, India – Harapan Malaysia untuk melayakkan diri ke final hoki lelaki Piala Asia berkubur apabila tewas 1-2 kepada Korea Selatan di separuh akhir, semalam.

Walaupun mendapat sokongan daripada bekas Presiden Persekutuan Hoki Malaysia, Sultan Azlan Shah, ia masih gagal menyuntik semangat pemain untuk mencipta kemenangan.

Korea Selatan yang turun beraksi berbekalkan reputasi selaku juara Sukan Asia tidak perlu menunggu lama untuk di depan.

Mereka hanya memerlukan tujuh minit di babak pertama untuk menjaringkan gol menerusi Oh Dae-keun.

Gol tersebut menyentap semangat Malaysia untuk bangkit dengan mengasak hebat mencari gol penyamaan.

Namun gol yang dicari hanya menjelma tiga minit selepas babak kedua bermula menerusi ketua pasukan, Azlon Misron.

Azlan bijak menampan bola deras rakan sepasukan untuk menewaskan penjaga gol lawan yang tergamam.

Kedudukan terikat menyaksikan kedua-dua pasukan begitu berhati-hati mengatur gerakan selepas itu.

Malangnya kesilapan barisan pertahanan Malaysia membawa padah untuk menghadiahkan gol kemenangan buat Korea Selatan.

Yoon Sung-hoon yang berjaya memungut bola yang cuba dikeluarkan secara tidak kemas oleh pertahanan Malaysia muncul wira.

Pemain itu pantas melarikan bola ke dalam kawasan D skuad negara sebelum melepaskan pukulan flik yang mengelirukan untuk gol kemenangan.

– AP

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0909&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4vZMyaDrI
© Utusan Melayu (M) Bhd