Isnin, 23 Oktober 2017

Pendedahan berguna skuad remaja



 
ARKIB 24.1.2008
Oleh SHAHRIL NIZAM ABDULLAH
shahril@kosmo.com.my
PEMAIN negara, Ismail Mohd. Fareez cuba menghalang kemaraan pemain Belanda, Beerman Lodewijk pada aksi di Stadium Hoki Nasional di Bukit Jalil semalam.

JURULATIH skuad hoki remaja negara, V. Muraleedharan bersikap positif walaupun skuad bimbingannya itu tewas 0-4 kepada Belanda pada Kejohanan Hoki Remaja Undangan Lapan Negara Dunia semalam.

Biarpun mengalami kekalahan keempat dalam lima penampilan itu, Muraleedharan tetap menganggap ia satu pendedahan yang amat berguna buat anak buahnya pada kejohanan peringkat antarabangsa.

Ini kerana, apa yang paling diutamakannya ialah peningkatan yang dipamerkan oleh pemainnya dalam usaha membentuk persefahaman yang mantap.

"Jika dilihat kepada standard pasukan kita dan pasukan remaja dunia lain, memang ada banyak perbezaan," kata Muraleedharan.

"Tetapi jika dinilai dengan persiapan kami yang hanya mengambil masa selama tiga minggu sebelum kejohanan ini, saya rasa pencapaian kita masih lagi baik dan memuaskan hati saya.

"Keputusan perlawanan tidak berapa penting kerana fokus utama kami ialah membentuk pasukan yang mantap menjelang Kejohanan Hoki Remaja Dunia tahun depan.

"Saya dapati pemain kita juga telah mempamerkan peningkatan dalam setiap perlawanan pada kejohanan ini," ujarnya.

Begitupun, apa yang merisaukan jurulatih skuad remaja Sekolah Sukan Bukit Jalil itu ialah tahap kecergasan dan stamina pemainnya yang kurang memuaskan.

"Tahap stamina dan kecergasan pemain kita masih lagi kurang memuaskan. Ini yang perlu dipertingkatkan lagi.

"Malah, pada babak kedua tadi (menentang Belanda) pun kita gagal menyaingi kepantasan pihak lawan, sekali gus menyebabkan kita bolos tiga gol.

"Kita harus beri mereka sedikit masa lagi untuk mematangkan lagi gaya permainan pasukan ini," kata Muraleedharan.

Skuad remaja negara yang ketinggalan 0-1 pada babak pertama cuba bangkit dengan tempo permainan yang pantas dan lebih agresif pada babak kedua.

Namun, selain gagal menyaingi tempo pemain Belanda, kegagalan menyudahkan peluang yang terhidang di depan pintu gol turut menjadi penyebab kegagalan mereka.

"Saya akui penyudah kita masih lagi tumpul. Pemain bukannya tidak ada idea atau kurang keyakinan, mereka cuma hilang konsentrasi apabila berada di depan gol lawan.

"Pemain Belanda juga bermain dengan pantas dan kita gagal menyaingi mereka. Tapi keseluruhannya saya puas hati kerana mereka masih belum putus asa dan terus berjuang mencari gol. Itu sikap positif yang harus diberi pujian," katanya lagi.

Hari ini skuad negara akan berdepan satu lagi pasukan pilihan, India sebelum berdepan Jerman pada perlawanan terakhir Sabtu ini.

SUMBERArtikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0124&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4wLNvurmG
Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan