Oleh MUHAMMAD ZUHAILY BADLISHAH
zuhaily.badlishah@kosmo.com.my
AKSI menarik pertemuan antara
UniKL Young Guns dan SSTMI Juniors di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil minggu
lalu.
ATAS kertas, Sekolah Sukan
Tunku Mahkota Ismail (SSTMI-Thunderbolt) hampir pasti menutup kalendar Liga
Hoki Remaja Kebangsaan (MJHL) 2014 selaku juara Divisyen Satu.
Namun, persoalan kini terarah
kepada penentuan naib juara Divisyen Satu antara Universiti Kuala Lumpur (UniKL
Young Guns) dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Lebih menarik, kedua-dua
pasukan itu akan bertembung sesama sendiri di Stadium Hoki Kuala Lumpur (KLHA)
esok, sekali gus bakal membawa pulang wang tunai RM10,000.
Penolong pengurus MBPJ, Zanal
Abidin Ismail jelas mahukan anak-anak buahnya menamatkan kempen liga musim ini
dengan mengekalkan tempat kedua seperti mana kejayaan yang dicapai mereka musim
lalu.
"Nak jadi juara sudah
terlepas. Jadi, sudah pasti kami akan memberikan tentangan habis-habisan kepada
UniKL Young Guns, Sabtu ini (esok) untuk mengekalkan tempat kedua.
"Perlawanan itu juga akan
melihat kepada prestasi sebenar para pemain untuk bersaing dalam kempen Piala
MILO selepas ini," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Sementara itu, jurulatih UniKL
Young Guns, Mohd. Rodzhanizam Mat Radzi pula menganggap pertemuan menentang
MBPJ ibarat perlawanan 'hidup mati'.
Jelas Rodzhanizam, skuad
bimbingannya akan 'berputih mata' muncul naib juara jika tewas kepada MBPJ
biarpun menang besar ke atas Majlis Bandaraya Ipoh (MBI-Anderson) Ahad ini bagi
melengkapkan enam perlawanan liga musim ini.
"Kami tak boleh tewas dan
perlu menang dalam kedua-dua perlawanan minggu ini (menentang MBPJ dan
MBI-Anderson).
"Jika kami menang dua perlawanan
itu, kelebihan berada di tangan kami kerana kami mempunyai jumlah jaringan yang
besar.
"Saya harap para pemain
bermain bersungguh-sungguh untuk merealisasikan misi muncul naib juara musim
ini," katanya.
MBPJ kini berada di tangga
kedua liga di belakang juara bertahan, SSTMI-Thunderbolt dan mempunyai
kelebihan tiga mata ke atas UniKL Young Guns yang berada di tangga ketiga.
SUMBER:http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.KOSMO
ONLINE 14.2.14