Jumaat, 14 Februari 2014

Buruan status naib juara MJHL

Oleh MUHAMMAD ZUHAILY BADLISHAH
zuhaily.badlishah@kosmo.com.my
AKSI menarik pertemuan antara UniKL Young Guns dan SSTMI Juniors di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil minggu lalu.

ATAS kertas, Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI-Thunderbolt) hampir pasti menutup kalendar Liga Hoki Remaja Kebangsaan (MJHL) 2014 selaku juara Divisyen Satu.

Namun, persoalan kini terarah kepada penentuan naib juara Divisyen Satu antara Universiti Kuala Lumpur (UniKL Young Guns) dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Lebih menarik, kedua-dua pasukan itu akan bertembung sesama sendiri di Stadium Hoki Kuala Lumpur (KLHA) esok, sekali gus bakal membawa pulang wang tunai RM10,000.

Penolong pengurus MBPJ, Zanal Abidin Ismail jelas mahukan anak-anak buahnya menamatkan kempen liga musim ini dengan mengekalkan tempat kedua seperti mana kejayaan yang dicapai mereka musim lalu.

"Nak jadi juara sudah terlepas. Jadi, sudah pasti kami akan memberikan tentangan habis-habisan kepada UniKL Young Guns, Sabtu ini (esok) untuk mengekalkan tempat kedua.

"Perlawanan itu juga akan melihat kepada prestasi sebenar para pemain untuk bersaing dalam kempen Piala MILO selepas ini," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Sementara itu, jurulatih UniKL Young Guns, Mohd. Rodzhanizam Mat Radzi pula menganggap pertemuan menentang MBPJ ibarat perlawanan 'hidup mati'.

Jelas Rodzhanizam, skuad bimbingannya akan 'berputih mata' muncul naib juara jika tewas kepada MBPJ biarpun menang besar ke atas Majlis Bandaraya Ipoh (MBI-Anderson) Ahad ini bagi melengkapkan enam perlawanan liga musim ini.

"Kami tak boleh tewas dan perlu menang dalam kedua-dua perlawanan minggu ini (menentang MBPJ dan MBI-Anderson).

"Jika kami menang dua perlawanan itu, kelebihan berada di tangan kami kerana kami mempunyai jumlah jaringan yang besar.

"Saya harap para pemain bermain bersungguh-sungguh untuk merealisasikan misi muncul naib juara musim ini," katanya.

MBPJ kini berada di tangga kedua liga di belakang juara bertahan, SSTMI-Thunderbolt dan mempunyai kelebihan tiga mata ke atas UniKL Young Guns yang berada di tangga ketiga.
SUMBER:http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.KOSMO ONLINE 14.2.14


Tiada ulasan:

Catat Ulasan