Ahad, 20 Jun 2021

Malaysian Tigers lupakan Olimpik Tokyo



Oleh ROZAIDI ZULKIFLI

20 Jun 2021, 12:23 pm

PETALING JAYA: Peluang hoki Malaysia untuk menyertai Sukan Olimpik Tokyo amat tipis biarpun Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) belum memberi jawapan kerana Afrika Selatan sudah menyerahkan senarai nama pemain ke temasya berkenaan.

Naib Presiden Kesatuan Hoki Malaysia (MHC), Datuk Dr S. Shamala berkata, beliau memahami harapan yang diletakkan peminat hoki negara untuk menyaksikan Malaysian Tigers beraksi di pentas tertinggi itu sejak kali terakhir membuat penampilan di Sydney 2000.

Katanya, secara realitinya peluang Malaysia menggantikan Afrika Selatan di Olimpik Tokyo sangat tipis.

Bagi saya peluang untuk Malaysia menggantikan tempat Afrika Selatan sangat tipis dan boleh dikatakan pasukan itu 99 peratus pasti bermain di Olimpik.

Mungkin tindakan mereka menguar-uarkan masalah kewangan yang dihadapi kepada umum bagi mendapatkan bantuan supaya dana diperlukan mencukupi.

Kalau tidak silap saya, Afrika Selatan mempunyai 11 hari untuk mengesahkan penyertaan kepada FIH dan kita juga tidak mendapat maklum balas daripada FIH,” katanya kepada Mingguan Malaysia semalam.

Afrika Selatan sebelum ini kekurangan dana untuk beraksi di Tokyo dan terpaksa memohon sumbangan RM1 juta daripada orang ramai bagi melakukan persiapan serta membiayai kos penyertaan.

Situasi itu meletakkan Malaysia, pasukan No. 11 dunia berada dalam keadaan bersedia untuk ‘terbang’ ke Jepun pada bila-bila masa kerana menduduki tangga teratas senarai simpanan.

Jurulatih Afrika Selatan Garreth Ewing mengakui, pasukannya kurang persediaan untuk menghadapi Olimpik yang bermula 23 Julai ini, namun amat bersemangat mahu beraksi.1

________________________________________________

Selasa, 13 April 2021

Arul kekal 21 pemain hadapi Great Britain, Jepun

| | 13 April 2021




Penyerang berbisa, Faizal Saari antara pemain yang dikekalkan dalam skuad kebangsaan.
SERAMAI 22 pemain termasuk seorang muka baharu disenaraikan ketua jurulatih skuad hoki kebangsaan, Arul Sevaraj bagi menghadapi siri aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil bermula 17 hingga 24 April ini.
Khidmat pertahanan Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Muhammad Azri Hassan kembali ditagih untuk menguatkan barisan terakhir skuad kebangsaan sementara 21 pemain lagi dikekalkan menjelang aksi tiga penjuru menentang Great Britain dan Jepun dalam siri perlawanan tersebut.
Arul menyifatkan barisan pemain berpengalaman dan memiliki kualiti amat diperlukan pada kem latihan skuad kebangsaan bermula Khamis ini, selain melihat aksi persahabatan yang telah diatur bukan sesuatu yang mudah untuk anak buahnya.
Beliau berkata, beberapa pemain dipanggil turut masih dihimpit kecederaan ringan yang dialami sewaktu saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) yang berakhir awal bulan ini, namun ia sedang dipantau rapi pakar fisioterapi skuad kebangsaan daripada Institut Sukan Negara (ISN).
“Aksi persahabatan bersama Great Britain dan Jepun pastinya bukan mudah kerana mereka dalam fasa persiapan secara mental dan fizikal menuju Sukan Olimpik Tokyo sementara skuad negara masih dalam fasa mempersiapkan pasukan bagi kejohanan antarabangsa yang akan datang.
"Saya juga perlu pemain berpengalaman dan Muhammad Azri pemain yang bagus, beliau telah beraksi dengan cukup baik pada saingan liga baru-baru ini selain tidak asing dalam pasukan kebangsaan, jadi tidak salah saya memberi beliau peluang sekali lagi," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Muhammad Azri, 29, telah mengumpul 101 penampilan bersama skuad kebangsaan dan antara pemain yang beraksi pada aksi final temasya Sukan Asia 2018 di Indonesia.
Seramai 22 pemain yang dipanggil menyertai pasukan kebangsaan kali ini terdiri daripada 10 pemain Tenaga Nasional Berhad (TNB), tujuh pemain UniKL, tiga pemain Maybank dan dua pemain mewakili pasukan Terengganu Hockey Team (THT).
Dalam pada itu, Arul komited untuk memberikan fokus sepenuhnya termasuk kepada perkara-perkara kecil dalam membentuk kembali keampuhan skuad The Speedy Tigers.
"Ini termasuk bekerjasama dengan mereka (pemain) dari sudut rasa bertanggungjawab, kepimpinan dalam pasukan sama ada di dalam mahupun di luar padang serta membuat keputusan demi pasukan. Saya juga akan memberikan fokus bagi memperkukuhkan lagi struktur di barisan pertahanan,” katanya. - Bernama
SUMBERArtikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/133417/BERITA/Sukan/Arul-kekal-21-pemain-hadapi-Great-Britain-Jepun© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

Sabtu, 23 Januari 2021

AHF tangguh Trofi Juara-Juara Asia

MyMetroArena



BERNAMA

Kuala Lumpur: Pasukan hoki lelaki dan wanita kebangsaan perlu menunggu lebih lama sebelum dapat kembali menyertai pertandingan antarabangsa berikutan penangguhan dua kejohanan utama Asia.

Menurut Persekutuan Hoki Asia (AHF), Kejohanan Trofi Juara-juara Asia Lelaki 2021 di Dhaka, Bangladesh pada 11-19 Mac dan Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia Wanita 2021 di Donghae, Korea Selatan pada 31 Mac hingga 7 April ditangguhkan susulan pandemik Covid-19.

Badan sukan hoki Asia itu memutuskan untuk menangguhkan kedua-dua kejohanan terbabit sehingga separuh kedua tahun ini demi kepentingan keselamatan dan kesejahteraan semua peserta.

Menurut AHF, langkah beberapa negara di Asia mengenakan perintah kawalan pergerakan untuk membendung wabak itu turut menjejaskan persiapan pasukan dalam menjalani latihan.

"Ancaman situasi tidak menentu dan kurang baik dihadapi pasukan bertanding adalah satu faktor lain. AHF sentiasa berusaha menyediakan peluang seimbang kepada semua dan berikutan itu kami tidak dapat meneruskan kejohanan dalam keadaan tidak menentu ini.

"Akhirnya, varian baharu Covid-19 melumpuhkan dunia sekali lagi, dan kami tidak dapat meneruskannya dalam ancaman baharu ini," menurut AHF dalam laman sesawangnya.

AHF memaklumkan bahawa keputusan penangguhan kedua-dua kejohanan itu dipersetujui Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) sambil menambah bahawa kedua-dua kejohanan membabitkan pasukan lelaki

dan wanita itu kemungkinan berlangsung pada September dan Oktober.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 January 2021 @ 8:42 PM