Rabu, 30 April 2014

Dhaarma janji bangkit

KUANTAN - Ketua jurulatih skuad hoki negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah tidak menafikan prestasi hambar yang dipamerkan anak buahnya ketika berdepan dengan Korea Selatan dan Perancis dalam dua perlawanan awal kempen Cabaran Juara-Juara 1 di Stadium Hoki, Indera Mahkota di sini kelmarin dan semalam disebabkan tiada keserasian antara pemain.

Bagaimanapun, menurut Muhammad Dhaarma, pihaknya telah mengambil pelbagai pendekatan termasuk dari segi psikologi bagi memastikan penampilan aksi yang lebih mantap oleh skuad negara, bermula perlawanan malam ini.

"Semuanya berlaku disebabkan beberapa perubahan dari segi taktikal permainan. Esperimen tersebut terpaksa dilakukan dalam aksi peringkat kumpulan untuk menentukan kesebelasan terbaik sebagai persediaan menghadapi pusingan kalah mati Khamis ini.

"Ramai berpendapat berdasarkan permainan semalam, (ketika menentang Korea Selatan) pasukan kelihatan tidak bersemangat. Pemain senior dan junior dikatakan tiada persefahaman serta ada pemain yang tidak gembira, namun semua itu tidak benar," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau turut memberitahu, pasukan negara telah membuat kesilapan ketika menentang Perancis iaitu melepaskan gol dengan mudah, manakala pada perlawanan menentang Korea Selatan, enam pukulan sudut penalti gagal disempurnakan dengan baik.

"Korea Selatan memperolehi tiga pukulan sudut penalti dan mereka menjaringkan dua daripadanya. Bukan kita tidak cuba menjaringkan gol, kita telah mencipta banyak peluang cuma mungkin nasib masih tidak menyebelahi pada masa ini.

Pasukan negara tewas 2-3 kepada Perancis dalam perlawanan pertama Sabtu lalu sebelum tewas lagi 1-3 menentang Korea Selatan kelmarin untuk menduduki tangga tercorot Kumpulan B.

Tambah Dharma, pihaknya kini dalam situasi sukar untuk bertemu pasukan pilihan, iaitu New Zealand dalam pusingan seterusnya sekiranya mengekalkan kedudukan tercorot sebaik tamat perlawanan peringkat kumpulan.

"Kami akan cuba lakukan yang terbaik untuk memenangi perlawanan menentang Kanada esok (malam ini), namun ia mungkin tidak memberikan sebarang makna sekiranya Perancis menang atau seri menentang Korea Selatan dalam perlawanan sebelumnya," jelasnya.

New Zealand hampir pasti akan mengekalkan kedudukan teratas dalam kumpulan A dengan dua kemenangan dalam dua perlawanan dan pasukan di tangga teratas Kumpulan A akan bertemu pasukan tangga tercorot Kumpulan B Khamis ini. - UTUSAN ONLINE
RUJUKAN-

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140428/su_10/Dhaarma-janji-bangkit#ixzz30Pprjg5R © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan