Rabu, 30 April 2014

Cabaran Juara-Juara: Peluang Malaysia 50-50

30 April 2014PERCATURAN kasar berdasarkan pencapaian tercorot dalam Kumpulan B, keupayaan Malaysia tidak begitu terserlah pada saingan suku akhir menentang New Zealand pada Kejohanan Hoki Cabaran Juara-Juara1 di Kuantan, esok.

Bagaimanapun, kapten pasukan negara Azlan Misron menanam azam tinggi untuk mengkikis sindrom 'lambat panas' yang menghantui skuad negara apabila bertemu pasukan ranking keenam dunia itu.
      
"Peluang kemenangan adalah 50-50," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Walaupun mengakui kekentalan benteng pertahanan New Zealand dan ketajaman melakukan pukulan sudut penalti, namun beliau optimis dengan kemampuan skuad negara untuk melakarkan kejutan.
      
Azlan menyifatkan corak permainan New Zealand adalah hampir sama dengan pasukan nombor satu dunia, Australia.

Sementara itu, penyerang negara Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Jalil berkongsi pendapat dengan Azlan bahawa peluang Malaysia adalah seimbang.
      
Beliau turut mengakui bahawa skuad negara 'lambat panas' apabila hanya meraih kemenangan pertama pada perlawanan akhir peringkat kumpulan selepas mengalah Kanada 4-3 semalam.

"Tidak dapat dinafikan sindrom 'lambat panas' mungkin kerana kehadiran pemain muda yang yang baru meningkat naik," katanya.
      
Dalam peringkat kumpulan, skuad negara bimbingan Muhammad Dharmaraj Abdullah, kalah kepada Perancis 3-2 dan Korea Selatan 3-1 sebelum menang tipis 4-3 ke atas Kanada.
      

Malaysia sedang membuat persiapan menghadapai Piala Dunia 2014 di The Hague, Belanda, dari 31 Mei hingga 15 Jun ini. – Bernama RUJUKAN-SINAR HARIAN 30.4.14

Tiada ulasan:

Catat Ulasan