Rabu, 30 April 2014

Malaysia tewas di tangan Perancis

27 April 2014
MALAYSIA menerima tamparan hebat pada kempen Kejohanan Hoki Cabaran Juara-Juara 1 apabila kalah 3-2 kepada Perancis pada perlawanan Kumpulan B di Stadium  Hoki Indera Mahkota di Kuantan malam tadi.

Perancis, yang menduduki ranking ke-17 dunia, bermula garang apabila Olivier Sanchez membuka jaringan menerusi gol padang pada minit ke-34 untuk mendahului 1-0 pada babak pertama.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Malaysia menggandakan usaha sebaik sahaja bermula babak kedua sebelum menyamakan kedudukan menerusi Tengku Ahmad Tajudin Abdul Jalil pada minit ke-44.

Enam minit kemudian, Malaysia merampas kedudukan pendahulu menerusi jaringan padang oleh Faizal Saari pada minit ke-50.

Kegembiraan Malaysia bagaimanapun tidak kekal lama apabila Perancis menyamakan kedudukan 2-2 menerusi pukulan sudut penalti yang dilakukan oleh Victor Charlet pada minit ke-53.

Selang tiga minit kemudian, Hugo Genestet muncul wira apabila mengesahkan kemenangan Perancis dengan jaringan penalti strok pada minit ke-64.

Jurulatih negara, Muhammad Dharma Raj Abdullah berkata, nasib tidak menyebelahi pasukannya yang menduduki ranking ke-13 dunia.

"Kita telah cuba dengan sedaya upaya memperbaiki kelemahan yang ada namun disebabkan terlalu bermain dengan berhati-hati dan ditambah keadaan pemain gugup ekoran perlawanan pertama saya tidak menyalahkan mereka.

"Apa yang lebih penting selepas ini kita akan perlu memberi tumpuan kepada perlawanan menentang Korea Selatan esok (hari ini)," katanya.

Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan B, naib juara dua kali, Korea Selatan terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 3-3 dengan Kanada.

Dalam saingan Kumpulan A, New Zealand mengalahkan Ireland 2-1 dan Jepun pula berjaya mengatasi Poland 3-2.

Pada perlawanan kedua saingan peringkat kumpulan hari ini, Malaysia menentang Korea Selatan, Kanada bertemu menentang Perancis.


Aksi kumpulan A pula menyaksikan Jepun menentang New Zealand dan Ireland bertemu Poland. – Bernama SINAR HARIAN 1.5.14

Tiada ulasan:

Catat Ulasan