Sabtu, 15 April 2017

Kita gagal ke Olimpik

 PEMAIN pertahanan Malaysia, Nor Azlan Bakar (kanan) berusaha menghalang kemaraan penyerang Belgium, Mike Dewever dari memasuki kawasan bahaya pada perlawanan terakhir masing-masing dalam Kumpulan B hoki kelayakan Olimpik di Madrid semalam. Belgium menang 2-1. - Gambar AFP.
SKUAD hoki lelaki negara mencacatkan sejarah gemilangnya sebelum ini apabila buat pertama kali gagal layak ke Sukan Olimpik setelah tewas 2-1 kepada Belgium di pusingan kelayakan di Madrid semalam.
Malaysia tidak pernah gagal ke Sukan Olimpik sejak hoki dipertandingkan pada 1956 di Melbourne.
Malaysia hanya memerlukan keputusan seri daripada perlawanan terakhirnya dalam Kumpulan B itu untuk terus berada dalam persaingan merebut tempat kelima hingga lapan.
Kekalahan itu menyebabkan Malaysia akan bersaing dalam perebutan tempat kesembilan hingga dua belas - yang tidak membawa sebarang makna.
Malaysia memulakan perlawanan dengan mendahului Belgium dari segi kedudukan dalam kumpulan B. Skuad negara berada di tangga keempat dengan empat mata manakala Belgium kelima dengan tiga mata.
Bagaimanapun, pencabar mereka dari Eropah itu pantas menguasai permainan apabila Patrice Houssein menjaringkan gol pertama perlawanan pada minit ke-13 dengan pukulan lambung selepas bola melantun setelah terkena penjaga gol, Roslan Jamaluddin.
Malaysia bangkit dengan asakan garang dan berjaya mendapatkan tiga pukulan penalti sudut dalam tempoh tujuh minit terakhir babak pertama, dan ketua pasukan, S. Kuhan menemui sasaran menerusi pukulan kedua untuk mengikat kedudukan sebelum rehat.
Tetapi, ketika gerakan Roslan terus menyelamatkan Malaysia daripada beberapa serangan, Belgium akhirnya memperoleh gol kemenangan menerusi Jean-Philippe Brule hasil serangan balas daripada kegagalan skuad negara menyempurnakan pukulan penalti sudut minit ke-50.
Pusingan kelayakan di Madrid menyediakan tujuh tempat untuk ke Athens dengan dua pasukan teratas setiap kumpulan layak secara automatik. - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan