Sabtu, 15 April 2017

Kita perlu jurulatih baru - Mirnawan

ARKIB : 11/03/2004
BEKAS ketua pasukan hoki kebangsaan, Mirnawan Nawawi berpendapat sudah tiba masanya pasukan hoki kebangsan beralih angin dengan mencari pembimbing baru yang berupaya memacu skuad negara bersaing dengan pasukan handalan dunia.
Beliau berkata, kegagalan skuad hoki negara layak ke Sukan Olimpik 2004 di Athens kelmarin membuktikan keupayaan pasukan negara sudah mencapai tahap di mana ia tidak mampu pergi lebih jauh.
``Apa yang saya maksudkan ialah apabila satu-satu pasukan dibimbing terlalu lama oleh orang yang sama, keupayaan pasukan terhenti setelah mencapai satu tahap kecemerlangan.
``Maksudnya kecemerlangan sesebuah pasukan itu terhenti atau tidak mampu pergi lebih jauh setelah ia melepasi satu peringkat kegemilangan.
``Untuk itu saya berpendapat pasukan hoki kebangsaan perlu bertukar angin setelah sekian lama dibimbing orang yang sama,'' katanya.
Kelmarin, pasukan hoki negara gagal layak ke Sukan Olimpik di Athens selepas kalah 2-1 kepada Belgium dalam perlawanan kelayakan Kumpulan B di Stadium Club de Campo, Madrid, Sepanyol.
Malaysia yang hanya perlu keputusan seri dikecewakan dengan gol kemenangan Belgium pada minit ke-50 hasil jaringan Jean-Philippe Brule.
Dalam perlawanan kelayakan terdahulu, Malaysia tewas 1-0 kepada New Zealand, kalah 5-3 kepada India, menang 3-2 ke atas Kanada dan seri 0-0 menentang Pakistan.
Malaysia tidak pernah gagal layak ke Sukan Olimpik sejak pertama kali layak pada Sukan Olimpik di Melbourne 1956.
Mirnawan turut menyifatkan kegagalan pasukan negara layak ke Olimpik 2004 sebagai detik hitam dalam sejarah sukan negara.
Menurutnya, kegagalan itu sekali gus menyebabkan pasukan negara tersisih dari kelompok pasukan terbaik dunia.
``Kita terpaksa menunggu empat tahun lagi iaitu pada Sukan Olimpik seterusnya untuk menebus kegagalan di Sepanyol,'' katanya.
Mirnawan yang pernah beraksi pada tiga Sukan Olimpik sejak 1992 berkata, kegagalan itu menyebabkan pengorbanan dan penat lelah para pemain setahun setengah menjalani persediaan ke Olimpik menjadi sia-sia.
``Sebagai pemain saya memahami betapa perit menjalani latihan untuk berdepan kejohanan besar,'' katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan