Selasa, 29 November 2016

Nasihin atau Roslan penunggu gawang?

1999
ARKIB : 01/04/1999
TEMPOH sehari lagi menjelang Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah ke-9 membangkitkan debaran kencang buat dua penjaga gol negara, Roslan Jamaluddin dan Nasihin Nubli Ibrahim.

Persembahan kedua-duanya yang sama hebat turut mengheret ketua jurulatih, Stephen van Huizen kebingungan untuk menamakan siapa paling layak dalam kesebelasan utama mengawal gawang Malaysia.

Namun Nasihin dianggap mampu memintas Roslan jika tempoh aksi pada perlawanan persahabatan menentang Kanada kelmarin diambil kira.

Berbanding Roslan yang hanya turun di penghujung babak ketiga perlawanan, Nasihin bermain sepanjang dua babak sebelumnya dalam perlawanan yang berkesudahan seri 2-2 itu.

Menentang New Zealand esok untuk perlawanan pembukaan mungkin menjadi detik permulaan terbaik Nasihin, 24, kembali ke posisi yang kerap terlepas dari tangannya itu.

Pada Piala Dunia di Utrecht, Nasihin sering berputih mata untuk memberi peluang kepada Paul Lopez dan terus memanaskan bangku simpanan dalam hampir semua perlawanan Sukan Komanwel, September lalu.

Andainya ini terjadi, Piala Sultan Azlan akan mencatat penampilan sulung dalam perlawanan antarabangsa sebenar buat Nasihin pada tahun ini setelah direhatkan daripada Kejohanan Akhbar El Yom di Kaherah, Mesir, Februari lalu.

''Nasihin tampak bermain baik kebelakangan ini,'' kata Stephen ketika ditemui selepas majlis pelancaran Kelab Penyokong Hoki Malaysia di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, semalam.

''Tapi ini tidak bermakna prestasi Roslan menjadi sebaliknya. Saya akan menunggu sehingga Jumaat ini (esok) untuk membuat penentuan siapa penjaga gol utama,'' tambah Stephen.

Peluang juga condong untuk menyebelahi Nasihin apabila Stephen mendapati Roslan mengalami sedikit kecederaan pada tumitnya ketika ini.

Malaysia mempunyai rekod yang setara dengan New Zealand sepanjang tahun lalu apabila masing-masing mencatatkan satu kemenangan.

Skuad negara menang 4-0 pada Piala Sultan Azlan di Ipoh tetapi tumpas 2-3 untuk penentuan tempat kesembilan hingga ke-12 di Utrecht.

Stephen juga melepaskan Nor Azlan Rahim untuk perlawanan persahabatan Projek 2001 menentang Kanada, semalam sambil menyelitkan peringatan penting buat pemain remaja itu.

''Azlan dinasihat supaya tidak memandang serius atau bermain sepenuh masa dalam perlawanan itu. Dia bebas bermain kerana Projek kekurangan pemain,'' tambahnya.

Projek yang dibentuk bagi menghadapi Piala Asia Remaja dan pusingan kelayakan Piala Dunia Remaja 2001, dibelasah teruk 14-1 oleh Kanada.

Skuad remaja bimbingan Colin Sta Maria itu mendapat gol tunggalnya menerusi Mohd. Fairuz Ramli.

Oleh: ABDUL HAFIZ AHMAD

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0401&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4RPKBQX1I © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan