Isnin, 11 Disember 2017

Tiada niat jahat – Mirnawan

ARKIB : 17/10/2008
Oleh HISYAMUDDIN AYUB
KUALA LUMPUR – Bekas pemain hoki terkemuka negara, Mirnawan Nawawi menegaskan bahawa kertas cadangan yang diserahkan oleh 102 bekas pemain hoki kebangsaan yang turut dikenali sebagai Kumpulan 102 kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob semalam tidak mempunyai sebarang niat jahat.

Katanya, dokumen setebal 99 muka surat itu tidak bertujuan untuk menjatuhkan mana-mana pihak, tetapi sebaliknya hanyalah satu keprihatinan daripada kumpulan tersebut yang ingin melihat sukan hoki negara kembali menyerlah seperti yang pernah dikecapi suatu masa dahulu.

“Kertas cadangan yang diserahkan itu akan diterangkan secara terperinci pada 22 Oktober pada pukul 11 pagi di Parlimen merupakan inisiatif kumpulan ini dan tidak mempunyai agenda terselindung.

“Selepas penyerahan itu hari ini (semalam) secara automatik, kumpulan ini dibubarkan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Sehubungan itu katanya, tidak timbul soal Kumpulan 102 itu mahu mengambil alih kedudukan dalam Persekutuan Hoki Malaysia (PHM) kerana kumpulan tersebut hanyalah bersifat sementara.

Tanpa mahu memberitahu isi butiran kertas cadangan yang dikemukakan oleh Kumpulan 102 itu, Mirnawan berkata, ia hanya melibatkan cadangan penambahbaikan pengurusan sukan hoki negara, secara menyeluruh.

Katanya, ahli kumpulan itu telah memberi cadangan terbaik berhubung semua elemen yang berkait dengan sukan hoki di negara ini, sama ada ia meliputi kekuatan atau kelemahan yang dimiliki.

“Tugas kami (Kumpulan 102) adalah untuk memastikan pihak tertentu mengangkat kembali maruah sukan hoki negara dan sebagai sumbangan bekas pemain negara yang ingin melihat hoki kembali menyerlah di persada dunia,” katanya.

Namun begitu katanya, jika ada ahli kumpulan itu masih ingin memperjuangkan cadangan yang telah dikemukakan, ia akan hanya melibatkan individu tersebut sahaja.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1017&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz50wryxSKS

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan