Selasa, 15 September 2020

Faizal intai skuad kebangsaan

MyMetroArena



Malik Muhamad

sukan@hmetro.com.my

BEKAS penyerang pasukan hoki kebangsaan, Faizal Saari tekad mahu jadikan Kejohanan Hoki Piala Tun Abdul Razak yang bakal membuka tirainya pada Jumaat ini di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil sebagai medan terbaik buatnya untuk menambat hati pengendali pasukan kebangsaan, Arul Selvaraj.

Penyerang Terengganu itu juga mahu buktikan kelibatnya masih berbisa walaupun sebelum ini disisihkan oleh bekas ketua jurulatih kebangsaan dari Belanda, Roelant Oltmans bersama adiknya, Fitri.

"Saya rasa bangga dan berbesar hati mewakili Terengganu pada tahun ini, saya harap dengan penampilan dalam kejohanan Piala Razak ini bakal menjadi penanda aras untuk kembali mewarnai pasukan kebangsaan.

"Sebelum ini saya ada mewakili Terengganu dalam kejohanan ini (Piala Razak), tapi dua tahun lepas saya tidak dapat mewakili Terengganu kerana perlu dahulukan pasukan kebangsaan, jadi ini peluang terbaik untuk membuktikan kemampuan kerana sudah tentu saya bersemangat tinggi untuk mendapatkan Piala Razak ini yang sudah pasti menjadi rebutan semua pasukan termasuk Terengganu," katanya.

Faizal (kanan) dan adiknya, Fitri

Mengenai saingan dalam pasukannya yang turut dibarisi ramai pemain kebangsaan, Faizal yang pernah berkelana bersama kelab Mumbai Magicians di India pada 2013 menjelaskan perkara itu normal dan perlu ada dalam pasukan jika mahu meningkat.

"Bagi saya lagi banyak saingan lagi bagus kerana kita perlu bersaing secara sihat dalam pasukan untuk maju, jadi harapan saya kepada rakan sepasukan juga begitu dan paling penting kami perlu serasi ketika bermain dan fokus.

"Ini kerana saingan Piala Razak tahun ini bukan mudah buat kami sebab kita lihat pasukan lain juga seperti Kuala Lumpur dan Perak juga menyenaraikan ramai pemain kebangsaan, lagipun piala ini ada prestijnya yang tersendiri iaitu trofi paling lama.

"Tapi pasukan mana yang mengambil peluang terbaik mereka sudah pasti akan berjaya, jadi mereka yang terpilih dalam pasukan perlu menonjolkan persembahan menarik bagi memastikan piala itu menjadi milik Terengganu musim ini," katanya.

Sebelum ini Persatuan Hoki Negeri Terengganu (PHNT) menyenaraikan bekas pengendali berpengalaman kebangsaan, Tai Beng Hai untuk membimbing pasukan itu yang dibantu bekas pemain Terengganu, Nordin Musa.

Berdasarkan rekod, Terengganu yang bakal membuat perhitungan dengan Selangor dan PDRM pada Jumaat ini hanya menduduki tempat ketiga musim lalu dan naib juara pada 2018, namun dengan deretan pemain kebangsaan termasuk Akhimullah Anuar Essok, Shahrun Nabil dan penjaga gol, Zaimi Mat Deris, sudah pasti skuad itu mempunyai peluang cerah untuk merangkul kejuaraan musim ini.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 September 2020 @ 6:10 PM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan