Selasa, 22 September 2020

Piala Razak : Perak, Selangor seri

MyMetroArena



Ferzalfie Fauzi

ferzalfie@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Walaupun seri 2-2 menentang Selangor pada aksi terakhir peringkat kumpulan, Perak tetap berasa lega kerana salah satu objektif mereka di Kejohanan Hoki Piala Tun Abdul Razak tercapai iaitu melayakkan diri ke suku akhir.

Menurut jurulatih Perak, Roslan Jamaluddin, beliau bersyukur kerana anak buahnya berjaya berdepan skuad Selangor yang dilihatnya sangat berdisiplin.

"Walaupun perlawanan agak seimbang saya tidak nafikan kita ada banyak terlepas peluang untuk menjaringkan gol. Pasukan Selangor pula berdisiplin cuba gagal menambahkan jaringan," katanya selepas perlawanan tamat.

Ujar bekas penjaga gol kebangsaan itu, selepas ini mereka perlu mempertingkatkan lagi ketajaman di depan gol apabila beraksi di suku akhir.

"Jadi kami harus lebih fokus pada perlawanan akan datang. Bagaimanapun, saya tetap puas hati walaupun di bahagian pertahanan terdapat beberapa kesilapan dilakukan," katanya.

Dalam aksi petang tadi di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, pasukan Selangor berada di depan hasil gol padang Zafri Afiq Nor Azlan pada minit ke-24.

Bagaimanapun, gol penyamaan Perak berjaya disumbang pemain kebangsaan, Azrai Aizad Abu Kamal pada minit ke-31.

Selangor sekali lagi kembali di depan kali ini menerusi jaringan padang Syamil Azim Dzulkafly pada minit ke-35, sebelum Perak menyamakan kedudukan lima minit kemudian hasil pukulan sudut penalti Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan.

Mengiringi Perak ke suku akhir dari Kumpulan B ialah Sabah yang berjaya membelasah Johor 5-0.

sumber-Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 September 2020 @ 8:23 PM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan