Sabtu, 25 November 2017

Skuad kita tercorot

ARKIB : 16/05/2008
IPOH - Malaysia menduduki tangga tercorot selepas tumpas 2-4 kepada Belgium pada Kejohanan Hoki Piala Azlan Shah, semalam, lapor KAMARUDDIN ISMAIL.

Skuad bimbingan jurulatih, Sarjit Singh dikejutkan dengan gol pertama Belgium menerusi Charles Vandeweghe pada minit ke-20.

Para pemain negara telah bekerja keras bagi mengekang kemaraan pemain-pemain Belgium yang semakin bersemangat.

Bagaimanapun, Malaysia bangkit menyamakan kedudukan melalui pukulan sudut pendek Mohd. Amin Rahim pada minit ke-25.

Belgium yang akan beraksi dalam Sukan Olimpik Beijing kembali di depan apabila rembatan kencang Vandeweghe gagal diselamatkan oleh penjaga gol S. Kumar pada minit ke-43.

Kedudukan tersebut tidak kekal lama apabila pakar pukulan sudut pendek negara, Mohd. Amin bingkas menyamakan kedudukan pada minit ke-46 menerusi pukulan sudut pendek.

Belgium terus memburu gol dan berjaya mendapatkan gol ketiga melalui pukulan sudut pendek yang disempurnakan oleh Jerome Dekeyser pada minit ke-52.

Pasukan lawan terus mengukuhkan kedudukan apabila Jerome Truyens menjaringkan gol keempat pada minit ke-68.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0516&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4zWHsLJwj

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan