Selasa, 28 November 2017

Jepun sekat langkah Malaysia dengan kemenangan 3-1

ARKIB : 15/07/2008
HYDERABAD - Malaysia gagal melangkah ke peringkat separuh akhir Kejohanan Hoki Remaja Piala Asia selepas tewas 1-3 kepada Jepun di Stadium Gachibowli di sini, semalam.

Walaupun Malaysia mendahului pada minit ke-19 menerusi ledakan Mohd. Marhan Mohd. Jalil hasil gol padang, pasukan muda itu gagal menyaingi kepantasan dan kemahiran pemain Jepun.

Jepun yang hanya memerlukan keputusan seri untuk melangkah ke perlawanan separuh akhir, menyamakan kedudukan pada minit ke-28 menerusi gol padang oleh Ken Yoshikawa.

Ryota Kubos menjaringkan gol kedua Jepun pada minit ke-35 menerusi pukulan sudut penalti, dan Yoshikawa sekali lagi bertindak cemerlang untuk menjaringkan gol ketiga Jepun pada minit ke-60.

Dalam perlawanan Kumpulan B, semalam Pakistan menumpaskan Bangladesh 8-2 untuk mara ke separuh akhir, dan satu lagi pasukan yang akan beraksi di peringkat separuh akhir dalam kumpulan itu ialah Korea Selatan.

Dalam Kumpulan A selain Jepun, tuan rumah yang juga penyandang juara, India, melayakkan diri ke peringkat separuh akhir.

Sementara itu, Malaysia sebagai tuan rumah bersama Kejohanan Hoki Remaja Piala Dunia tahun depan, secara automatik layak ke kejohanan itu nanti. Malaysia dan Singapura akan menjadi tuan rumah bersama Kejohanan Hoki Remaja Piala Dunia 2009.

- Bernama
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0715&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4zjtbRxmJ

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan