Jumaat, 19 Januari 2018

Malaysia menang tipis ke atas Singapura


 

ARKIB : 14/03/2009
Malaysia menang tipis ke atas Singapura
Oleh ARIF NIZAM ABDULLAH
utusanjohor@utusan.com.my
PENYERANG Malaysia, Saari Faizal (kanan) dihalang pemain pertahanan Singapura, Mohd. Ali Muhammad Faris pada Kejohanan Hoki Remaja Undangan Empat di Stadium Taman Daya, Johor Bahru semalam. Malaysia menang 2-1. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU - Malaysia melengkapkan jadual perlawanan Kejohanan Hoki Remaja Undangan Empat Negara dengan kemenangan tipis 2-1 ke atas Singapura di Stadium Hoki Taman Daya di sini, semalam.

Tewas dua perlawanan awal kepada India dan Pakistan, kejayaan skuad bimbingan K.Rajan tidak memberi sebarang makna apabila kedua-dua pasukan akan bertemu sekali pada penentuan tempat ketiga dan keempat, petang esok.

Malaysia bermula garang apabila mendahului seawal minit ke-5 perlawanan menerusi ledakan Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin hasil gol padang selepas berjaya mengelecek dua pertahanan lawan.

Namun tempo permainan skuad remaja bawah 21 itu kembali mendatar dan keputusan 1-0 kekal hingga separuh masa pertama.

Empat minit babak kedua bersambung, Singapura yang dilatih oleh bekas pemain negara, Lim Chiow Chuan hampir menyamakan kedudukan namun kecekapan penjaga gol, Abdul Hakim Adnan berjaya menafikan pukulan sudut penalti pemain lawan.

Malaysia terus berada di depan pada minit ke-47 apabila Faizal Saari menjaringkan gol kedua Malaysia menerusi gerakan cantik hasilan pukulan sudut penalti yang mengelirukan penjaga gol lawan, Lee Quan Hwa.

Selepas gol itu, perlawanan tiba-tiba menjadi rancak apabila kedua-dua pasukan saling bertukar serangan namun Abdul Hakim tetap ampuh mengawal gawang apabila melayang badan menepis pukulan sudut penalti pemain lawan pada minit ke-51.

Singapura bagaimanapun mendapat sedikit penawar apabila pukulan sudut penalti yang diambil Silas Abdul Razak menerjah tepat ke dalam jaring tuan rumah pada minit ke-59.

Malaysia mampu menjarakkan kedudukan pada minit ke-60 namun pukulan kilas Izwan Firdaus terkena tiang gol Singapura manakala dua minit berselang, peluang berdepan satu dengan satu antara penjaga gol lawan juga tidak dapat disempurnakan oleh pemain sama dan memaksa keputusan 2-1 kekal hingga ke wisel penamat.

Sementara itu pada perlawanan terdahulu, India menewaskan Pakistan 3-1 bagi mengekalkan kemenangan bersih tiga perlawanan.

Kedua-dua pasukan akan bertemu pada perlawanan akhir esok apabila berjaya menduduki dua pasukan teratas kumpulan.



SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0314&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz54gN0eHOr

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan