Selasa, 13 Disember 2016

Izuan, Fairuz turut disenarai

ARKIB : 01/12/1999
DUA pemain yang digugurkan daripada skuad negara ke Piala Asia baru-baru ini, Izuan Suhardi Selamat dan Fairuz Ramli mungkin diberi peluang untuk turun menentang India dalam perlawanan ujian hari ini.

Penolong jurulatih negara, Yahya Atan berkata, satu atau dua pemain remaja Projek 2001 bakal digandingkan dengan barisan utama Malaysia yang menduduki tempat keempat kejohanan itu.

Kemasukan sekurang-kurangnya dua muka baru ini berikutan dua pemain Piala Asia, Chua Boon Huat dan Nor Saiful Zaini Nasiruddin terpaksa dikecualikan daripada dua perlawanan tersebut.

Chua ketika bermain menentang India pada penentuan tempat ketiga, tercedera pada bahu kanannya manakala Saiful meminta pengecualian atas alasan peribadi.

Izuan merupakan salah seorang daripada tiga penjaga gol yang tidak terpilih menyarung jersi negara ke Piala Asia, bersama-sama S. Kumar dan Saiful Azhar Affandi.

Sepanjang persaingan edisi kelima itu, gawang pasukan negara dikawal oleh Bintang Harapan kejohanan, Roslan Jamaluddin di samping sesekali Nasihin Nubli Ibrahim.

''Kita juga mungkin dapat menguji kemampuan Calvin Fernandez. Khidmatnya perlu dalam salah satu daripada dua ujian menentang India ini,'' kata Yahya di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, semalam.

Calvin, pemain tengah, bersara sementara kerana komitmen pengajian jurusan kedoktoran di sebuah universiti tempatan selepas Sukan Komanwel XVI di Kuala Lumpur, tahun lalu.

Dua perlawanan ujian menentang India merupakan sebahagian persediaan skuad negara menjelang misi penting tahun depan, pusingan kelayakan di Osaka pada Mac.

Di Osaka, Malaysia diletakkan dalam kumpulan B bersama-sama Pakistan, Switzerland, Belarus, Sepanyol dan Argentina.

Sebulan sebelum itu, Malaysia akan menjadi tuan rumah Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah ke-10 yang turut menampilkan juara Piala Asia, Korea Selatan, India, Pakistan, Kanada dan Jerman.

Nasib K. Logan Raj untuk turun menentang India pula masih belum dapat dipastikan setelah dia mengalami kecederaan tulang kering kaki - sebab penggugurannya daripada Piala Asia lalu.

Dua rakannya yang senasib sebelum kejohanan itu, Chairil Anwar Aziz dan Maninderjit Singh juga perlu mengambil masa yang lebih panjang untuk pulih.

Pada peringkat kumpulan B Piala Asia, Malaysia seri 1-1 dengan India sebelum tewas 2-4 dalam perlawanan penentuan tempat ketiga, Ahad lalu.

Dalam pada itu, senarai pemain Projek 2001 bagi menyertai siri lawatan ke New Zealand, turut akan ditentukan selepas perlawanan ujian kedua esok.

Projek 2001 merupakan barisan pemain remaja negara bagi menghadapi Kejohanan Piala Remaja Asia di Kuala Lumpur tahun depan dan Piala Remaja Dunia, setahun kemudian.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1201&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4SiLXWP4y © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan