Sabtu, 17 Disember 2016

Detik gemilang -- Mirnawan, Saiful tunjuk aksi terbaik bantu Malaysia atasi Jepun

ARKIB : 19/03/2000
MELANGKAH ke Sukan Olimpik Sydney menjadi detik gemilang buat dua bekas pemain skuad Olimpik Barcelona 1992, Mirnawan Nawawi dan Nor Saiful Zaini Nasiruddin yang bakal mewakili negara buat kali ketiga berturut-turut.

Mirnawan, 28, dan Nor Saiful, 34, memberikan persembahan terbaik untuk memastikan Malaysia mencatat kemenangan 2-1 ke atas Jepun, semalam, sekali gus layak ke Olimpik.

''Jika tiada halangan saya dan Nor Saiful akan beraksi kali ketiga di Olimpik dan saya berjanji memberikan persembahan terbaik di Sydney nanti,'' kata Mirnawan yang juga ketua pasukan negara.

''Kami berjuang hingga tamat permainan dan ia lebih getir berbanding persaingan kelayakan di Auckland pada 1992 mahupun di Barcelona 1996, tetapi syukur kepada Tuhan kerana kami berjaya melakukannya,'' kata Nor Saiful.

Bagi penjaring gol kemenangan Malaysia, S. Kuhan, 24, pula kejayaan itu paling penting sepanjang kariernya dan menghadiahkan kemenangan itu buat semua penyokong Malaysia.

''Gol kemenangan ini paling penting sepanjang pembabitan saya dalam hoki. Saya tujukan kejayaan ini untuk pegawai, rakan sepasukan dan seluruh rakyat Malaysia yang memberi sokongan terhadap perjuangan kami di sini,'' ujar Kuhan.

Pemain pertahanan, Nor Azlan Bakar, 22, bersyukur kepada Tuhan kerana membolehkan kejayaan itu menyebelahi Malaysia.

''Saya bersyukur kepada Tuhan yang merestui perjuangan kami, selain kerjasama mantap sepasukan yang membuahkan hasil untuk kami ke Sukan Olimpik,'' ujarnya.

Pengurus pasukan, R. Yogeswaran lega dengan kejayaan itu walaupun Malaysia diberi tentangan sengit pasukan tuan rumah.

''Saya rasa cukup lega. Kejayaan ini hasil semangat berpasukan yang tinggi. Ia juga menaikkan martabat hoki di Malaysia,'' katanya.

Sebaik tamat sidang akhbar semalam, barisan pemain negara dengan penuh semangat menyanyikan lagu 'Barisan Kita' khusus untuk wartawan yang memberi sokongan kepada skuad negara. - Utusan

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0319&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4T6s8bxSM © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan