Sabtu, 17 Disember 2016

Mohd. Nasihin ukir nama di Osaka

ARKIB : 16/03/2000
NAMA Mohd. Nasihin Nubli kini meniti bibir peminat dan jurulatih hoki luar negara selain penjaga gol Jepun, Jun Takahashi yang memberi aksi cemerlang menyekat beberapa percubaan berbahaya lawan pada perlawanan hoki kelayakan Olimpik di Stadium Hoki Nagai, Osaka, semalam.

Penjaga gol kedua negara itu bertindak pantas menyekat usaha lawan dalam memburu jaringan ketika diturunkan buat kali pertama dan hanya membenarkan dua gol membolosi gawang Malaysia sewaktu mengalahkan Switzerland 4- 2, kelmarin.

Semalam, dia sekali lagi menjadi penghalang buat Pakistan untuk melakukan jaringan lebih besar ketika Malaysia tumpas 2-5, khususnya apabila menyelamatkan lebih enam pukulan sudut penalti.

Pengurus pasukan Pakistan, Islahuddin Siddiqul turut memuji kecekapan Mohd. Nasihin yang disifatkan penghalang utama buat pasukan itu untuk membolosi gawang negara.

''Kami hanya mampu menghasilkan dua gol menerusi pukulan penalti, jika tidak kerana kehebatan penjaga gol Malaysia itu pastinya Pakistan dapat melakukan lebih banyak jaringan.

''Dia memberi aksi cukup cemerlang dan menyukarkan barisan serangan kami untuk membolosi gawangnya. Saya anggap dia pemain terbaik perlawanan ini,'' katanya yang kagum dengan persembahan Mohd. Nasihin.

Pemain flicker terbaik dunia, Sohail Abbas mengakui aksi kemas penjaga gol negara itu mengecewakannya selepas gagal menjaringkan sebarang gol menerusi pukulan sudut penalti ketika berdepan Malaysia.

''Saya sudah berusaha sedaya upaya, tetapi dia mengawal kemas gawang dan tidak memberi ruang bagi saya untuk menguis masuk bola pukulan sudut penalti.

''Bagi saya, dia (Mohd. Nasihin) adalah penjaga gol terbaik yang Malaysia miliki kerana tindakan cemerlangnya berjaya menyekat banyak percubaan berbahaya lawan,'' ujarnya.

Mohd. Nasihin turut menarik perhatian jurulatih Switzerland, Paul Schnider yang menganggap kekalahan pasukan itu diakibatkan oleh kecermelangan penjaga gol negara.

''Kami sukar mendapatkan gol menerusi pukulan sudut penalti yang berjaya diselamatkan oleh penjaga gol Malaysia itu. Dia memberi aksi menakjubkan.

''Dia adalah penghalang utama. Kami sudah cuba pelbagai cara untuk memperdayakannya, tetapi tumpuannya cukup tajam terhadap bola yang menghala ke arah pintu gol,'' ujarnya Schneider.

Apapun, pujian juga harus diberikan terhadap barisan negara yang mempamerkan peningkatan dalam setiap perlawanan untuk memburu tempat ke Sukan Olimpik dan diharap mereka dapat meneruskan aksi cemerlang pada pertemuan play-off nanti. Syabas! - Utusan



Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0316&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4T6ogdjwu © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan