Selasa, 13 Disember 2016

ARKIB : 23/11/1999 Kita layak ke separuh akhir


 

PEMAIN pertahanan Malaysia, Nor Azlan Bakar (No 6) mengawal keadaan manakala penjaga gol, Roslan Jamaluddin bersedia menghalang pintunya dari dibolosi ketika menentang Jepun pada perlawanan hoki Piala Asia di Bukit Jalil semalam. Malaysia dan Jepun seri 2-2.

PEMAIN pertahanan, S. Kuhan membawa Malaysia melangkah ke separuh akhir Kejohanan Hoki Piala Asia buat kali kedua selepas 1993, apabila jaringannya pada minit ke-62 mengikat Jepun 2-2 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, semalam.

Malaysia yang memerlukan seri dalam perlawanan ketiga ini, ketinggalan 2-0 atas corak permainan pantas Jepun pada babak pertama, skuad Stephen van Huizen bangkit pada babak kedua dengan persembahan bertenaga.

Shuji Fukasawa meletakkan Jepun di depan pada minit ke-14 menerusi pukulan sudut penalti, sebelum Shinji Iwata melebarkan jaringan menerusi gol padang minit ke-21.

Chua Boon Huat memberi semangat kepada rakan sepasukan apabila jaringannya menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-55, merapatkan jurang gol ketika Jepun semakin menggila mengasak.

Dan Kuhan, pemain yang sering menyelamatkan skuad negara pada saat genting, tenang melakukan pukulan ke gawang untuk menyamakan kedudukan, juga menerusi pukulan sudut penalti minit ke-62.

''Saya gembira dengan semangat juang yang ditunjukkan pasukan kita pada babak kedua. Kita hampir kalah tetapi semangat itu menyelamatkan kita,'' kata Stephen.

Kejayaan itu meletakkan Malaysia antara dua pasukan ke separuh akhir dengan lima mata, selepas menang 8-1 ke atas Hong Kong dan mengikat India 1-1. Jepun belum mengutip sebarang mata.

Pertemuan dua pasukan itu adalah yang kedua dalam tempoh dua tahun ini selepas Sukan Asia di Bangkok, tahun lalu. Di Bangkok, Malaysia diikat Jepun 1-1, menyaksikan skuad negara tersingkir awal dari temasya itu.

Fukusawa menolak kencang selepas pukulan pertama sudut penalti dihalang Zam Zam Ali tetapi bola meluncur keluar kepada Fukusawa untuk gol pertama Jepun minit ke-14.

Tujuh minit selepas itu, Yamabori melepasi dua pemain Malaysia dari sebelah kiri kawasan D sebelum melorongkan bola ke tengah, sempat dikuis pertahanan negara tetapi Iwata tidak membuang masa menolak masuk gol kedua Jepun.

Babak pertama jelas tidak memihak kepada Malaysia, cuma hantaran cantik Keevan Raj ke depan gawang pada minit ke-23, sedikit menggugat pintu gol Jepun tetapi Suhairi lewat menghulurkan kayunya.

Malaysia terpaksa menunggu pukulan sudut penalti keempat selepas tidak memperoleh sebarang peluang pada babak pertama, untuk merapatkan jaringan.

Boon Huat menolak masuk bola muntah percubaan Kuhan untuk Malaysia kembali bangkit memberi cabaran. Bagaimanapun, dua lagi sudut penalti gagal diambil peluang skuad negara untuk menyamakan kedudukan.

Begitu pun, empat lagi pukulan sudut penalti yang menyusul, menghadirkan gol penyamaan Malaysia. Kuhan tidak mensia-siakannya dengan menolak rendah.

Bangladesh yang sudah terkeluar daripada saingan ke separuh akhir, membelasah Sri Lanka 7-1. Gol Bangladesh dijaringkan menerusi lima gol padang dan dua sudut penalti.

MALAYSIA: Roslan Jamaluddin, Chua Boon Huat, Zam Zam Ali, S. Kuhan, Norazlan Bakar, Shaiful Azli Rahman, Nor Saiful Zaini, Suhaimi Ibrahim (M. Kaliswaran), Keevan Raj, Suhairi Saidi, Mirnawan Nawawi.

JEPUN: Jun Takahashi, Akihiko Hirata, Atsushi Takehara, Daisuke Hokaze, Akira Takahashi, Shuji Fukasawa, Kenichi Katayama, Takahiko Yamabori, Shinji Iwata, Takoyuki Sakai, Naohike Tobilta.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1123&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4ShdzsW32 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan